NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

Bab 10

14.7K 96 0

Mizan merenung bungkusan nasi dan lauk yang tidak berusik. Matanya menoleh ke arah pintu bilik di tepi dapur. Boleh tahan juga budak ni tak keluar-keluar bilik, bisik hati Mizan. Tadi Mizan belikan nasi semasa dia keluar makan tengah hari, sampai ke petang makanan masih terletak di atas meja. Orang tak sudi, Mizan nak buat macam mana.

Suka hati kaulah. Nak makan ke, tak nak makan ke, aku peduli apa?

Mizan menjeling tajam dengan hati yang membara ke arah pintu bilik yang tidak berdosa itu. Nasib baik pintu tu tak rentung.

Penat aje buat baik. Tak bersambut. Hari tu pun macam tu juga. Masuk ni, sudah dua kali. Lain kali jangan harap aku nak fikir pasal budak tu lagi. Dia merungut melepaskan geram. Geram yang datang tak payah dijemput. Kesabaran aje yang datang terkemut-kemut.

Yuhanis keluar ke? Atau masih bertapa? Perlu ke aku jemput gadis itu makan? Eee, apa pasal dia tiba-tiba nak ambil tahu pasal budak tu pula? Lantak dialah. Bukan ke selama ini, pandai aje budak tu nak hidup? Siap beragar-agar bagai. Siap berpuding lagi. Sampaikan ane dan aci, jiran depan rumah pun sudah terhutang budi. Nasib baik Thanalingam a/l Muthusamy tak masuk meminang!

Mizan jadi serba salah. Setengah hati rasa nak buat baik, setengah hati pula rasa nak marah aje.

Ah, tak faham aku, rungut hatinya.

Mizan beredar ke ruang tamu. Sudah siap pasang badan tapi tiba-tiba datang rasa malas pula hendak keluar. Hati sedang geram, tak sedar jiwa kacau meragam. Remote TV dicapai. Tekan ajelah. Tengok aje apa yang keluar.

Drama Melayu muncul di kaca TV. Layan aje. Beberapa minit berlalu, Mizan mula tak lalu hendak menonton lagi. Rasa bosan bertamu bila menonton babak suami isteri bergaduh. Kalau tak ada adegan bergaduh, tak jadi drama agaknya, bebel Mizan. Sampaikan tv pun kena marah. Mizan tahankan mata menonton juga. Itu dah kira bosan tahap gaban. Tengok aje siapa yang kena makan penampar. Si suami dera isteri ke, atau si isteri dera suami?

Mizan terus menonton drama di kaca tv dengan rasa meluat sambil menopang dagu. Terjerit-jerit sang isteri menjawab amarah dan maki hamun sang suami. Beginikah keadaan rumah tangga orang Melayu?

Ya Allah, Mizan tiba-tiba teringat. Betapa dia terlupa akan kisah dirinya sendiri. Mizan meraup mukanya. Rumah tangganya pun berakhir seperti dalam drama. Rasa serik nak kahwin tapi, terkahwin juga. Budak itulah punya pasal. Sampai sanggup menyerbu ke biliknya dan merayu-rayu. Nak juga kahwin dengannya. Kesian pada emak aje yang membuatkan dia terpaksa mengalah. Kalau tidak, jangan harap!

Tiba-tiba Mizan ternampak ada kelibat seseorang berdiri di luar pagar di hadapan rumahnya. Panjang leher Mizan meninjau. Orang di luar kelihatan tercangak-cangak dan teragak-agak. Mizan bangun dari sofa lalu mengintai dari tingkap.

Siapa, ya? Hesy, budak itulah! Yuhanis? Aik! Keluar rupa-rupanya minah ni. Bila masa pula minah tu keluar? Ingatkan baik sangat berkurung 24 jam dalam bilik. Bila masa pula dia menyelinap keluar? Mizan tertanya-tanya.

Tiba-tiba teringin pula Mizan melihat reaksi Yuhanis bertembung empat mata dengannya. Hari tu Yuhanis melarikan diri sebelum sempat dia memakirkan keretanya.

Takut betul budak ni nak jumpa aku. Macamlah aku ni jahat sangat, bebel Mizan.

Tak apa, tak apa. Kalau aku usik minah ni kali ini, macam mana, ya? Hmmm, menarik. Tentu menarik. Kalau buat drama, part ni pasti menarik. Mizan tersenyum jahat. Bosannya beransur pergi sebab sudah ada kerja menarik yang hendak dibuat.

Macam orang yang tak ada kerja Mizan menunggu dengan sabar. Menunggu apa reaksi Yuhanis jika Mizan tetap di tempatnya, duduk di ruang tamu itu. Mizan tidak akan berganjak dari sofa itu. Mata Mizan memerhati Yuhanis yang masih teragak-agak hendak masuk ke pekarangan rumah. Masih terkial-kial di luar pagar.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!