Bab 9

23.3K 211 0
                                    

"Nak keluar, tak keluar. Eh, susahnya. Nak keluar, tak keluar. Eee, macam mana ni?" Yuhanis bercakap sendiri. Berfikir untuk keluar atau tidak.

Yuhanis menguak langsir tingkap biliknya. Pemandangan pekarangan belakang rumah ditenung. Cuaca sangat baik pagi ini. Kalau dia dapat keluar tentu dia dapat bersama Sara dan Suri hari ini. Hujung minggu tentu mereka tidak ke sekolah. Yusri pula tentu tidak akan melepaskan peluang pergi bekerja kerana pada hujung minggu dia mendapat double pay.

Cuma, masalahnya sekarang Mr. Rock juga tidak bekerja pada hujung minggu. Bagaimana dia hendak meloloskan diri tanpa dilihat? Dia bukannya halimunan. Jika sekarang Mr. Rock sudah melepak di port kesukaannya, bolehkah Yuhanis melenggang di depan matanya untuk keluar rumah?

Isy, leceh betul! gumam Yuhanis.

Sebelum ini Yuhanis tidak kesah jika dia perlu berperap aje di dalam bila tiba hujung minggu. Macam-macam benda dia boleh buat untuk memenuhi masa. Paling tak pun Yuhanis buat tahi mata.

Setelah hubungannya rapat dengan Suri dan Sara, Yuhanis berasa rugi pula jika dia hanya duduk menghabiskan masa di rumah. Dia mahu menolong mengemas rumah adik-adiknya. Dia merancang untuk mengupah orang mengecat rumah adik-adiknya itu. Terlalu banyak yang hendak Yuhanis lakukan.

Yuhanis memerhatikan pintu pagar belakang yang kelihatan dari tingkap biliknya. Pintu kecil aje tapi mesti berkunci punya. Bukan dia tak kenal sikap Mr. Rock yang sangat perfect tu. Semua yang boleh dikunci, wajib dikunci. Hati Yuhanis aje orang tu tak nak kunci. Kalaulah Mr. Rock sudi mengunci hatiku dalam hatimu. Kecil tapak tangan, nyiru Yuhanis tadahkan. Jika zaman sekarang sukar hendak mencari nyiru, boleh guna besen kut.

Ewah, ewah. Mengigau ke apa kau ni, Yuhanis? Mengigau di siang hari agaknya.

Yuhanis menggaru-garu kepalanya. Bukannya kerana gatal. Dah jadi kebiasaan sejak dua menjak bersua muka dengan Mr. Rock. Yuhanis mula berkira-kira. Mungkin kunci pintu pagar itu tersimpan di mana-mana kabinet dapur. Kalau dicari, mesti boleh jumpa. Jika tiada, mungkin ada sekali dengan gugusan kunci di kabinet depan.

Nak mencari itulah yang jadi masalahnya. Macamlah Mr. Rock akan duduk diam sambil goyang kaki dan tengok aje Yuhanis menyelongkar rumahnya. Nak sakit telinga, bolehlah cuba. Hidup seharusnya dilalui dengan ketenangan, kegembiraan dan keamanan. Yuhanis tidak suka kecoh-kecoh. Lebih-lebih lagi buat kecoh. Lagi-lagi kalau telinganya yang nak menanggung.

Yuhanis duduk semula di atas katilnya. Novel di bawah bantal ditarik keluar. Yuhanis menyelak tempat yang ditandanya untuk menyambung pembacaanya yang telah dua hari ditinggalkan. Baru tiga muka surat, dia berhenti.

Yuhanis tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembacaannya. Hero entah ke mana. Heroin entah ke mana. Bila nak jumpa part happy ending? Jawabnya lambat lagilah. Novel ditutup lantas diletakkan semula di bawah bantal. Ligat kepala Yuhanis berfikir tentang kunci yang ingin dicari. Lebih baik dia pergi meninjau untuk kepastian.

Yuhanis melangkah menghampiri pintu bilik. Perlahan-lahan Yuhanis membuka pintu. Setengah inci aje. Tak nampak apa-apapun. Yuhanis memberanikan dirinya membuka daun pintu sedikit luas. Seinci lagi. Dan seinci lagi. Masih tak nampak apa-apa. Maknanya tiada siapa-siapa di dapur.

Haaa, bagus... Tapi di ruang tamu bagaimana? soal Yuhanis dalam hati.

Yuhanis memasang telinga. Sunyi sepi. Mungkin Mr. Rock masih di alam mimpi. Hujung minggu, faham-faham ajelah. Peluang masih ada, bisik hati Yuhanis. Belum cuba, belum tahu.

Semangat Yuhanis mencanak. Dia segera bersiap. Beg galasnya disandang. Kasut siap dijinjit. Perlahan-lahan pintu dibuka. Yuhanis kena berani. Apa benda pun kena berusaha. Yeah! Memang tiada orang.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginWhere stories live. Discover now