Bab 7

19.1K 143 0

Yuhanis memotong dan menyusun agar-agar laici ke dalam beberapa bekas plastik. Seketika tangannya berhenti. Matanya disorotkan lagi ke pintu peti sejuk. Masuk ini, sudah tiga kali Yuhanis membaca nota yang dilekatkan di situ. Sampai naik hafal apa yang tercoret di nota itu di kepalanya.

Thank you sebab sudi hantar dan ambil pakaian saya dari kedai dobi.

Thank you! No terima kasih, sebab tiada kasih yang hendak diberi! Ala, tak heran. Jika disuruh terima kasihnya pun, kena fikir 1001 kali. Yang paling utama sebab hairan. Macam mana pula tiba-tiba nak berkasih. Hah! Tak apa, tak apa. Thank you itu sudah memadai. Yuhanis berlawak sendirian dalam hati, seperti yang selalu dibuatnya sejak tinggal di rumah ini.

Hmmm, kira okey jugalah. Tahu rupa-rupanya Mr. Rock nak cakap thank you, ingatkan tak reti. Hilang sikit geram dalam hati Yuhanis.

Yuhanis menutup bekas-bekas yang sudah dipenuhi agar-agar, kemudian dia memasukkan semua bekas itu ke dalam dua beg plastik.

Hanya tinggal satu loyang agar-agar laici yang tidak diusik. Simpan untuk Mr. Rock sebab sudah terpinjam semua perkakas dapur dan juga peti sejuknya semalaman. Yuhanis tidak tahu sama ada Mr. Rock suka atau tidak agar-agar laici. Mungkin semalam Mr. Rock sudah ternampak tapi tak nak pula dia merasa walaupun sepotong. Segan kut, fikir Yuhanis.

Oh, lala. Kesiannya. Lantas Yuhanis memotong setengah loyang dan menyusun agar-agar laici tersebut ke atas sebuah pinggan besar. Selepas itu loyang dan sepinggan besar agar-agar yang sudah siap dipotong dimasukkan semula ke dalam peti sejuk. Perlahan-lahan pintu peti sejuk ditutup. Yuhanis berdiri menatap nota sekali lagi sambil berfikir seketika.

Yuhanis tersenyum nakal. Dia melangkah ke biliknya dan keluar semula dengan sebuah buku lakar. Yuhanis mengoyak sekeping kertas. Dia menulis sesuatu di atas kertas tersebut. Seketika kemudian kertas itu bertukar tempat dengan nota di pintu peti sejuk.

Macam nak berbalas-balas surat cinta pula rasanya. Eee, tak adanya. Malam sikit, sanggah Yuhanis sendirian.

Sebenarnya sengaja Yuhanis hendak menceriakan hidup Mr. Rock yang serius semacam. Kalau boleh senyum sikit tentu muka Mr. Rock yang handsome tu boleh bertambah sikit lagi kehandsoman dia. Hahaha. Kalau dia dengar, tak pasal-pasal menyinga pula Mr. Rock tu. Bertukar jadi The Lion King pula. Lagi pun handsome ke Mr. Rock tu? Kalau Mr. The Rock film star tu memanglah handsome. Body pula, mak aiii, mengancam habis.

Tersenyum-senyum Yuhanis sendirian sambil menyimpan nota kedua dari Mr. Rock ke dalam buku lakarnya. Yuhanis membelek lakaran-lakaran wajah Mr. Rock yang telah memenuhi beberapa helaian dalam buku lakarannya itu. Semua muka serius dan muka sedang marah. Memang Yuhanis tak pernah tengok Mr. Rock senyum.

Boleh retak mukanya kalau senyum kut? Tak pun, tsunami melanda Kampung Sungai Rokam sampai ke Ampang ni. Hihihi. Jahatlah kau ni, Yuhanis. Yuhanis berjenaka sendirian lagi. Itulah, cakap sorang-sorang. Berlawak pun sorang-sorang. Dah rasa macam orang tak betul pula.

"Alhamdulillah. Sedapnya."

Yuhanis tersenyum puas melihat Yusri tak berhenti menyuap agar-agar laici ke dalam mulut. Isi di dalam bekas di hadapannya sudah tinggal separuh. Makan sampai tertutup-tutup mata. Dan entah berapa kali berulang-ulang menyebut sedapnya. Sedap-sedap. Menghayati sungguh.

"Terima kasih, Kak Hani. Pandai akak buat kuih ni, ya? Tak pernah-pernah Yusri makan kuih sesedap ini. Sedap sangat-sangat," puji Yusri lagi sambil mengunyah. Di tangannya sudah memegang sepotong agar-agar, siap sedia untuk disuap ke mulutnya lagi.

"Kuih pula, orang sebut agar-agarlah. Okey, kalau dah suka sangat, Yusri habiskan satu bekas tu. Satu bekas lagi ni, untuk Kak Timah," ujar Yuhanis.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!