Pinggan Tak Retak, Nasi Tak D...

Por karyaseni2u

415K 3.9K 187

Tajuk: Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin Penulis: Umi Syidah Muka Surat : 864 Penerbit: Karyaseni ISBN:... Más

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 10

24K 210 1
Por karyaseni2u

Mizan merenung bungkusan nasi dan lauk yang tidak berusik. Matanya menoleh ke arah pintu bilik di tepi dapur. Boleh tahan juga budak ni tak keluar-keluar bilik, bisik hati Mizan. Tadi Mizan belikan nasi semasa dia keluar makan tengah hari, sampai ke petang makanan masih terletak di atas meja. Orang tak sudi, Mizan nak buat macam mana.

Suka hati kaulah. Nak makan ke, tak nak makan ke, aku peduli apa?

Mizan menjeling tajam dengan hati yang membara ke arah pintu bilik yang tidak berdosa itu. Nasib baik pintu tu tak rentung.

Penat aje buat baik. Tak bersambut. Hari tu pun macam tu juga. Masuk ni, sudah dua kali. Lain kali jangan harap aku nak fikir pasal budak tu lagi. Dia merungut melepaskan geram. Geram yang datang tak payah dijemput. Kesabaran aje yang datang terkemut-kemut.

Yuhanis keluar ke? Atau masih bertapa? Perlu ke aku jemput gadis itu makan? Eee, apa pasal dia tiba-tiba nak ambil tahu pasal budak tu pula? Lantak dialah. Bukan ke selama ini, pandai aje budak tu nak hidup? Siap beragar-agar bagai. Siap berpuding lagi. Sampaikan ane dan aci, jiran depan rumah pun sudah terhutang budi. Nasib baik Thanalingam a/l Muthusamy tak masuk meminang!

Mizan jadi serba salah. Setengah hati rasa nak buat baik, setengah hati pula rasa nak marah aje.

Ah, tak faham aku, rungut hatinya.

Mizan beredar ke ruang tamu. Sudah siap pasang badan tapi tiba-tiba datang rasa malas pula hendak keluar. Hati sedang geram, tak sedar jiwa kacau meragam. Remote TV dicapai. Tekan ajelah. Tengok aje apa yang keluar.

Drama Melayu muncul di kaca TV. Layan aje. Beberapa minit berlalu, Mizan mula tak lalu hendak menonton lagi. Rasa bosan bertamu bila menonton babak suami isteri bergaduh. Kalau tak ada adegan bergaduh, tak jadi drama agaknya, bebel Mizan. Sampaikan tv pun kena marah. Mizan tahankan mata menonton juga. Itu dah kira bosan tahap gaban. Tengok aje siapa yang kena makan penampar. Si suami dera isteri ke, atau si isteri dera suami?

Mizan terus menonton drama di kaca tv dengan rasa meluat sambil menopang dagu. Terjerit-jerit sang isteri menjawab amarah dan maki hamun sang suami. Beginikah keadaan rumah tangga orang Melayu?

Ya Allah, Mizan tiba-tiba teringat. Betapa dia terlupa akan kisah dirinya sendiri. Mizan meraup mukanya. Rumah tangganya pun berakhir seperti dalam drama. Rasa serik nak kahwin tapi, terkahwin juga. Budak itulah punya pasal. Sampai sanggup menyerbu ke biliknya dan merayu-rayu. Nak juga kahwin dengannya. Kesian pada emak aje yang membuatkan dia terpaksa mengalah. Kalau tidak, jangan harap!

Tiba-tiba Mizan ternampak ada kelibat seseorang berdiri di luar pagar di hadapan rumahnya. Panjang leher Mizan meninjau. Orang di luar kelihatan tercangak-cangak dan teragak-agak. Mizan bangun dari sofa lalu mengintai dari tingkap.

Siapa, ya? Hesy, budak itulah! Yuhanis? Aik! Keluar rupa-rupanya minah ni. Bila masa pula minah tu keluar? Ingatkan baik sangat berkurung 24 jam dalam bilik. Bila masa pula dia menyelinap keluar? Mizan tertanya-tanya.

Tiba-tiba teringin pula Mizan melihat reaksi Yuhanis bertembung empat mata dengannya. Hari tu Yuhanis melarikan diri sebelum sempat dia memakirkan keretanya.

Takut betul budak ni nak jumpa aku. Macamlah aku ni jahat sangat, bebel Mizan.

Tak apa, tak apa. Kalau aku usik minah ni kali ini, macam mana, ya? Hmmm, menarik. Tentu menarik. Kalau buat drama, part ni pasti menarik. Mizan tersenyum jahat. Bosannya beransur pergi sebab sudah ada kerja menarik yang hendak dibuat.

Macam orang yang tak ada kerja Mizan menunggu dengan sabar. Menunggu apa reaksi Yuhanis jika Mizan tetap di tempatnya, duduk di ruang tamu itu. Mizan tidak akan berganjak dari sofa itu. Mata Mizan memerhati Yuhanis yang masih teragak-agak hendak masuk ke pekarangan rumah. Masih terkial-kial di luar pagar.

Kalau Yuhanis tak masuk juga, bagaimana? Takkan dia nak duduk di luar sampai malam? Lambat-laun tentu dia terpaksa masuk juga.

Kalau Yuhanis masuk, aku nak buat apa, ya? Nak jerkah? Nak marah? Eh, gila apa nak marah-marah? Minah tu bukan urusan aku pun.

Kalau Yuhanis tegur, apa aku patut buat, eh? Buat tak tau? Atau jawab dan cakap baik-baik. Eh, mana boleh! Aku tak nak buat baik, nanti orang naik kepala.

Mizan bersoal jawab sendirian. Jawapannya tetap sama. Dia dah serik... Mizan tak mahu pisang berbuah dua kali. Lainlah jika dia seorang pekebun. Pasti dia suka jika semua pokok pisangnya boleh berbuah dua kali.

Mizan mencapai telefon bimbitnya yang berbunyi dari poket seluar. Matanya masih memerhati Yuhanis di luar pagar. Bilalah budak ni nak masuk? gerutu hati Mizan sambil menekan butang hijau tanpa melihat siapa pemanggilnya. Mungkin panggilan dari Sharif mengajaknya keluar. Tak pun panggilan dari Zulkifli.

"Helo," sapa Mizan acuh tak acuh dengan mata memandang tajam ke arah Yuhanis yang sedang mendekati pintu pagar. Haaa, tahu juga kau nak masuk ya?

"Hello to you too. Assalamualaikum, abang." Kedengaran suara manja di hujung talian.

Mizan terduduk tegak di atas sofa. Dia tak sangka. Dia tak jangka. Matanya nampak Yuhanis sudah melangkah ke halaman rumah! Mata di sana, telinga di sini.

Mizan terkedu. Mizan tak terkata. Salam pun dia tak jawab. Masih pandai bagi salam. Hmmm, baguslah. Itu yang terdetik dalam hati Mizan. Dia sempat melihat Yuhanis menutup pintu pagar. Siap kunci mangga lagi.

"Abang Mizan. Ini Suraya la." Suara manja itu mencecah gegendang telinga Mizan lagi. Berjela lanjutnya.

Begitu lembut dan manja sekali suara bekas isterinya. Mizan menggeleng-gelengkan kepalanya. Pandainya perempuan ini berlakon. Seperti tiada apa-apa sengketa antara mereka berdua. Begitu senang sekali dia melupakan kecurangan yang telah dilakukannya sehingga runtuh rumah tangga yang dibina atas nama cinta. Perhatian Mizan masih tertumpu kepada Yuhanis yang sudah berada di hadapan pintu rumah. Tengah buka kasut.

"Yes? So, what?" tanya Mizan hambar. Tiada minat. Matanya masih terarah kepada Yuhanis yang sedang menjinjit kasutnya pula sekarang. Yuhanis kelihatan melangkah masuk dengan tertunduk-tunduk seperti cuba melarikan mata dari memandangnya.

Tiba-tiba telefon Yuhanis pula berbunyi. Dia menggagau telefon bimbitnya dalam beg galas. Matanya turut sama buat-buat sibuk mencari. Sambil menjawab telefon, Yuhanis melangkah masuk ke dalam rumah. Dia sempat mencuri pandang sekilas ke arah Mr. Rock dengan hujung matanya. Mr. Rock juga sedang bercakap di telefon. Leganya!

Yuhanis segera mengambil peluang ini untuk melarikan diri masuk ke biliknya. Dia cuba berlagak biasa. Kakinya melangkah panjang dan laju sekali. Bukan Yuhanis tidak mahu menyapa Mr. Rock Cuma dia tidak tahu bagaimana. Bukan dia tidak mahu berbahasa cuma dia takut tersilap langkah. Nanti dituduh menggatal pula.

"Waalaikumussalam. Hani sihat. Terima kasih. Ada di mana ni?" Yuhanis menjawab perlahan salam yang diberi sambil melangkah ke ruang tamu. Terpaksa pula melintas di hadapan Mr. Rock. Kecut perut Yuhanis dibuatnya.

Di sana terpaksa, di sini pula rasa terseksa. Eee, entah apa-apa, gerutu hati Yuhanis.

Wrong timing betullah Abang Nizam ni, rungut Yuhanis. Namun panggilan ini ada juga eloknya. Blessing in disguise.

Kalau tak jawab, nanti Nizam akan berasa hati. Selalunya Nizam akan bertanya dan menyangka yang bukan-bukan. Lebih baik jawab aje, kurang sikit masalah. Yuhanis cuba mendengar cerita Nizam hari ni. Lagipun dia perlu buat-buat sibuk ketika ini, untuk mengelak dari masalah juga. Sibuk bercakap di telefon, boleh buat-buat tak nampak Mr. Rock.

Alhamdulillah, syukur, bisik hati Yuhanis. Bersyukur dengan rencana Allah. Tidak sempat jadi halimunan pun tidak mengapa. Nampaknya Mr. Rock juga sedang sibuk. Atau pura-pura sibuk kerana hendak mengelak dari bertegur sapa dengannya. Bagus juga begitu. Tak payahlah Yuhanis hendak berhai-hai dengan Mr. Rock. Strategi mereka sama nampaknya.

"Abang, Su nak jumpa abang. Dah lama betul kita tak jumpa. Abang tak rindu Su, ke? Su rindu abang sangat-sangat." Nada suara Suraya seperti waktu mereka mula-mula berkenalan dahulu. Lembut dan menggoda, tapi Mizan sudah tidak mendengar dan tak peduli apa yang Suraya katakan.

Matanya merenung Yuhanis yang sudah berada di hadapannya. Berbulu matanya. Yuhanis langsung tidak memandangnya. Apatah lagi menyapanya. Apa? Ingat dia tunggul kayu ke? Tak beradab! Tak hormat orang langsung!

Hatinya mendongkol geram. Sedikit pun Yuhanis tidak menunjukkan rasa hormat kepadanya sebagai seorang suami. Ingat aku monyet ke? gerutu Mizan dalam hati.

Mizan jadi hangat hati. Kedua-dua mata dan hati Mizan sudah sama naik berbulu. Semuanya gara-gara perempuan! Yuhanis sikit pun tidak seperti pujian emak dan ayahnya. Baik budi pekerti. Hah! Tak sopan langsung! Macamlah sibuk sangat. Tengah bercakap di telefon aje pun. Tiba-tiba Mizan terfikirkan... Nizam?!

Mizan yang sudah naik angin terus menjerit. "Sorry, aku busy sekarang! Don't you ever call me again!"

"Oh, monyet kau!" Terpacul latah dari mulut Yuhanis. Dia terkejut sangat-sangat hingga terangkat kepalanya memandang Mizan di hadapan.

Hendak mengelak sangat dari memandang terus terbuntang matanya memandang Mizan. Bukan salah dia. Siapa suruh tiba-tiba jerit kuat-kuat macam tu? Kan dah kena panggil monyet. Yuhanis menggigit bibir. Seriau beb!

Mizan turut terkejut mendengar perkataan monyet yang keluar daripada mulut Yuhanis. Matanya merenung tajam ke muka Yuhanis. Minah ni macam tahu-tahu saja apa yang aku fikirkan. Mizan dan Yuhanis berpandangan. Kelu lidah kedua-duanya.

Melatah rupa-rupanya minah ni. Mata Mizan tajam menatap riak wajah Yuhanis. Atau sengaja ambil peluang nak kenakan aku? Bulat mata Yuhanis memandang wajah Mizan. Alamak, nak kena jerit lagi ke? soal Yuhanis sendirian.

"Hani! Hani! Kenapa ni? Apa yang terjadi? Hani? Ada monyet ke?" Nada suara di hujung talian jelas kerisauan.

"Ops, sorry. Tak ada apa-apa. Apa, monyet? Errr, bukan monyet. Tapi... Maksud Hani..." Yuhanis melangkah laju ke biliknya. Muka terasa panas. Jantung berdegap-degup. Susahnya keadaan sekarang.

Nak jawab apa kat Abang Nizam, ya? Ada monyet? Hahaha.

Mizan melempar telefonnya ke atas katil. Hatinya tengah bengang. Bengang ganda dua. Bengang sebab perempuan! Dia menghenyakkan punggungnya di atas katil. Rambutnya yang sudah disikat kemas, disugun-sugun. Sudahnya rambutnya berubah fesyen, dah hampir serupa fesyen rambut rakyat-rakyat di Tanjung Rambutan.

Dia meraup mukanya dengan kasar. Dia tak faham mengapa dia jadi begini. Rasa begini. Berperasaan begini tiba-tiba.

Adakah dia berperasaan begini kerana Suraya menghubunginya? Atau kerana Nizam menghubungi Yuhanis?

Mizan mendongak ke siling sambil memicit-micit tengkuknya. Dia yakin perasaan yang sedang menyerangnya ketika ini bukan kerana Suraya. Tidak sama sekali. Sudah lama nama itu dibuang daripada kotak memorinya. Perempuan seperti Suraya tidak sesuai untuk dijadikan isteri. Kalau masa boleh diputar kembali, dia tak ingin sesekali mengenali perempuan seperti Suraya.

Kalau bukan Suraya, siapa lagi?

Minah tu? Yuhanis? Huh! Tak ada maknanya. Lagipun, apa halnya dia nak naik angin pasal minah tu?

Sebab Yuhanis isterinya?

Ah, bukan. Bukannya dia yang terhegeh-hegeh nak kahwin dengan minah tu pun. Kahwin pun kerana terpaksa.

Habis tu kenapa Mizan begitu? Naik angin macam disampuk hantu. Tak suka Yuhanis? Itu dah tentu. Jadi, takkanlah nak kata cemburu?

Cemburu!

Tiba-tiba perkataan keramat itu terlintas dalam kepalanya. Berulang kali. Dia mencebik. Tak kuasa dia nak cemburu.

No way. No way.

No. Titik. Fullstop.

Usai sembahyang subuh Yuhanis membaca al-Quran seperti biasa. Cuma hari ni dia hanya baca tiga baris ayat sahaja. Dia harus bersegera. Dia perlu keluar sebelum hari cerah.

Dia berpakaian seperti mahu berjoging. Beg sandangnya tak perlu dibawa. Biar nampak real. Cuma bawa purse kecil yang disimpan di dalam kocek seluarnya.

Yuhanis pasti Mr. Rock masih di biliknya. Gelap-gelita seluruh dapur dan ruang tamu. Terjingkit-jingkit dia melangkah keluar. Nak kunci pintu pun jenuh dia berdoa agar tiada sebarang bunyi yang keluar. Lepas satu bab. Lega.

Bab kedua tentulah pintu pagar. Yuhanis mendongak melihat bilik utama di tingkat atas. Sambil membuka kunci Yuhanis mengetap gigi menahan debar.

Janganlah Mr. Rock menjengah ke bawah ni, doa Yuhanis. Tapi kalau terjadi juga, nak kata apa? Dia harus bersedia. Segala kejayaan mesti ada perancangan dan persediaan.

Hai, I nak pergi joging. Yuhanis sudah ada satu persediaan.

Hmmm, yalah tu. Kejayaan yang belum pasti lagi. Jangan-jangan mencicit lari seperti orang dikejar anjing. Akhirnya semua misinya berjalan lancar tanpa gangguan.

"Wah! Bestnya, Kak Hani!" jerit Sara sambil terlompat-lompat gembira.

"Yes, yes. Bestnya. Kita nak pergi mana, Kak Hani?" Suri tersengih sambil memaut lengan Yuhanis. Tak sabar hendak tahu jawapannya.

"Cakap aje Sara dengan Suri nak pergi mana. Kak Hani ikut," kata Yuhanis.

"Wuuui! Sara dengan Suri yang nak bawa Kak Hani pergi jalan-jalan rupa-rupanya. Bunyi macam Kak Hani nak ikut aje tu. Ini siapa yang nak bawa siapa sebenarnya?" tanya Yusri selamba. Memang dia ni mat selamba.

Sara, Suri dan Yuhanis sudah ketawa panjang. Yusri buat-buat makan macam dah setahun kelaparan. Mulut Yusri penuh dengan mi goreng. Sudah tentu Yusri tak boleh nak ketawa. Sibuk mengunyah sambil menyembunyikan sengihan.

"Betul abang tak mahu ikut kami ni?" tanya Suri sambil memerhati abangnya yang sedang mengunyah mi goreng.

"Abang kena kerja. Kak Timah tak ada hari ni. Kak Timah ambil cuti sebab ada hal. Lain kali abang ikut, okey? Sara dengan Suri pergi bersiap, boleh Kak Hani sarapan. Boleh teman abang makan sekejap. Nanti jangan nakal-nakal tau, dengar cakap Kak Hani," pesan Yusri kepada adik-adiknya.

Yuhanis dan Yusri berbalas senyum melihat gelagat Sara dan Suri. Kedua-duanya bergegas ke bilik mereka. Riuh suara mereka berbincang dengan ceria. Suasana sunyi seketika apabila pintu bilik mereka ditutup.

Yusri merenung ke arah Yuhanis seketika. Dia kelihatan seperti hendak mengatakan sesuatu, tapi dia teragak-agak.

"Yusri, Kak Hani dah siap bekal mi goreng untuk bawa pergi kerja. Boleh buat makan tengah hari. Kak Hani tapau lebih ni, nanti boleh kongsi dengan Kak Yah," kata Yuhanis. Bekal sudah siap dimasukkan ke dalam beg plastik dan diletakkan di tepi meja.

"Kak Hani, Yusri nak u..."

"Ah... Sudah, sudah. Kalau Yusri cakap lagi sekali terima kasih pada akak, Kak Hani nak balik sekarang juga."

"Apalah Kak Hani ni, orang cakap terima kasih pun nak merajuk sampai nak balik pula. Karang Yusri merajuk juga, hah baru Yusri pun boleh ikut akak balik sekali. Bolehkan, kan, kan? Hihihi."

Yuhanis tergelak mendengar kata-kata Yusri. Ada-ada saja jawapannya jika berbalas cakap dengan Si Yusri ni. Lucu pula tu. Tak kering gusi Yuhanis bila bersama Yusri.

"Kak Hani, semalam kan abang handsome yang nak mengurat akak hari tu kan, datang tanya pasal akak lagi tau. Pandai pula tu, bisik-bisik kat Yusri, katanya tak mahu orang lain tahu. Macam-macam dia tanya kat Yusri. Apa nama penuh akak. Berapa umur akak. Tinggal di mana. Ada alamat tak. Dah ada yang punya tak, dah tunang ke, dah kahwin ke belum. Jenuh jugalah Yusri melayan, sampai tak jadi kerja dibuatnya."

"Alah Yusri, cakap ajelah Kak Hani dah kahwin. Senang, habis cerita," ujar Yuhanis sambil mencapai teko lalu menuang air teh O ke dalam cawannya. Air teh O itu kemudiannya disisip perlahan sambil mata merenung Yusri, menanti apa lagi yang akan disampaikan Yusri.

"Eh, buat apa nak tipu, kak? Abang tu baik tau, sudahlah handsome, kaya pula tu. Janganlah lepaskan peluang ni, kak. Zaman sekarang bukan senang nak cari calon suami yang ada complete package macam abang ni. Rugi tau kalau dia terlepas ke tangan orang lain."

"Apalah Yusri ni, Kak Hani kata Kak Hani dah kahwin, Yusri tak nak percaya pula. Tapi selalu aje tanya akak dah kahwin ke belum. Alah, tak nak percaya, sudah. Tapi untuk pengetahuan Yusri, handsome belum tentu baik. Kaya pun belum tentu ikhlas. Yang penting perkahwinan adalah untuk seumur hidup. Perlu ada cinta dan kesefahaman, hormat-menghormati. Percaya mem..."

Tiba-tiba Yusri mengangkat tangan kirinya, lalu memotong kata-kata Yuhanis.

"Okey, okey. Cukup dulu sampai kat situ kak. Nanti bila Yusri dah nak kahwin baru Yusri tanya akak balik. Sekarang ni, Yusri STPM pun tak lepas lagi. Nanti tercemar pula minda Yusri bila cakap pasal bab cinta," ujar Yusri sudah mengaku kalah.

"Haaa, siapa yang mula dulu tadi? Yusri, kan?" soal Yuhanis kembali. Sudu di tangannya diketuk-ketuk di tepi pinggan Yusri.

"Yalah, salah Yusri. Tapi Kak Hani ni cakap macam pro aje bab kahwin ni."

"Itulah orang cakap tak nak percaya. Serius ni, Kak Hani betul-betul dah kahwin, dah ada suami. Kalau single, awal-awal lagi Kak Hani dah pikat abang handsome tu, tau? Tak payah nak tunggu Yusri buat promosi."

"Handsome? Jadi, Kak Hani mengakulah Abang Omar tu handsome? Okeylah nanti kalau dia jumpa dan tanya Kak Hani, haaa jawab sendiri."

"Omar?"

"Minat nampak? Tak apa. Yusri boleh tolong bagi tip sikit pada Kak Hani. Omar tu nama yang dia bagi tahu kami di kedai dobi. Kalau abang tu ada nama lain, tak tahulah pula. Ada pangkat Datuk ke. Anak Datuk ke. Raja ke atau anak raja ke, dia tak pernah sebut. Kiranya Abang Omar ni jenis yang tak meninggi diri. Pakai kereta BMW. Maknanya dia bukan orang sembarangan. Tentu dia orang kaya, tak pun anak orang kaya. Tak pun kerja pangkat besar. Kalau orang tak berduit mana boleh pakai kereta macam tu, ya tak? Yusri ada nombor telefon dia, Kak Hani boleh tanya lain-lain pada dia sendiri kalau berminat." Beria-ia Yusri bercerita tentang abang handsome.

"Yusri beria-ia nak akak berkawan dengan abang handsome ni ada apa-apa ke?"

"Ada apa-apanya, kak?"

"Kutlah dapat komisen dari abang handsome tu sebab buat kerja promosi ni," usik Yuhanis.

"Ish akak ni, ada ke macam tu. Akak kawan ke, kahwin ke dengan dia, Yusri tak dapat apa-apa. Cuma Yusri suka sebab..."

"Apa?"

"Nanti ada orang yang boleh jaga akak... Jaga sehingga akhir hayat. Yusri tak yakin Yusri boleh jaga akak. Sekarang ni pun tengoklah, Yusri dan adik-adik hanya menyusahkan akak aje." Perlahan suara Yusri meluah rasa. Tiada kata-kata lucu kali ini. Ada nada sebak di hujung kata-katanya.

"Yusri, Kak Hani kan dah dewasa. Kak Hani dah biasa berdikari."

"Dewasa? Yalah tu. Umur akak baru 24 tahun. Hmmm, tuanya. Yusri dah 19 tahun. Betullah, akak memang dah tualah." Yusri memerli Yuhanis.

"Okey, okey. Kak Hani tua sikit dari Yusri. Kak Hani nak jaga Yusri, Sara dan Suri. Kak Hani harap Yusri dan adik-adik sudi terima Kak Hani jadi kakak angkat.

"Tak, tak. Bukan macam tu. Yusri yang sepatutnya ucap terima kasih banyak-banyak sebab akak sudi terima Yusri, Sara dan Suri jadi keluarga akak. Jadi adik-adik akak..." kata-kata Yusri terhenti.

"Taraaa," Sara dan Suri berdiri di depan meja dengan pakaian sedondon. Seluar sukan dan T-shirt putih yang sudah tidak berapa putih.

"Samalah tu," kata Yuhanis perlahan kepada Yusri tapi matanya merenung sayu pada si kembar. Bergaya beria dengan pakaian lusuh. Kalau orang lain, pakaian begini sudah tidak dipakai lagi.

Yuhanis menelan air liur, hatinya sayu. Apapun Yuhanis sudah mendapat adik-adik baru. Mulai sekarang Yuhanis berjanji untuk menjaga kebajikan mereka semua. Allah telah menemukan mereka dengannya. Seperti Allah memberi pengganti buat arwah Yusri Amri, Sarimah dan Surina untuknya.

Alhamdulillah. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Seguir leyendo

También te gustarán

301K 9.5K 30
Kerana terlalu sakit hati dipermainkan dengan bekas kekasihnya, Daniel, Ayra nekad utk menggoda bapa Daniel, Dato Zakery. Namun, ia terperangkap d...
65.3K 8K 15
"Airis dah terlanjur dan sekarang Airis mengandung." Siapakah yang menanggung semua ini jikalau bukan gadis muda ni. Belum sempat Airis memberitahu p...
513K 17.6K 69
( In editing process...) 𝐀𝐑 - 𝐑𝐀𝐘𝐘𝐀𝐍 - "I'm looking for the right one, Nadra. Then, I'll straight off to propose her, marry her and treat her...
160K 6.2K 80
1𝓼𝓽 𝓼𝓽𝓸𝓻𝔂 𝓫𝔂 𝓯𝓵𝓸𝓵𝓮𝓼𝔂𝓪 𝐀𝐋𝐄𝐄𝐒𝐀 𝐙𝐔𝐋𝐀𝐈𝐊𝐇𝐀 Mempunyai masa silam yang teruk. Dia seumpama iblis bertopengkan malaikat. Namu...