●15●

4.5K 377 50
                                    

[Ku Han muncul next chapter. Jangan tnya mana dia dlm chapter ni. Okay have fun!]

"Assalamualaikum!" Tuan Fateh menyusun kasutnya dan juga kasut saiz kecil milik Rana. Dia melangkah masuk ke dalam vila sambil mendukung anak mereka. Pelik. Mengapa sunyi? Tiada susuk tubuh Raisha di tingkat bawah.

"Ibu tidur kot, Rana..."

Rana menarik muncung. Dia baru nak menunjuk mainan baru yang daddy beli untuknya tadi.

Tuan Fateh masuk ke dalam lif. Butang 1 ditekan. Sebaik saja pintu lif terbuka, dia menolak pintu bilik mereka.

"Love?" Katil yang kosong itu diletakkan anak mereka. Dia mula mencari isterinya yang tiba-tiba saja menghilangkan diri. Nak kata keluar, kereta Elantra isterinya ada di garaj.

"Love tengah mandi ke?" Sambil dia mengetuk pintu bilik mandi. Apabila tombol dipulas, tidak berkunci.

Hairan. Di bilik mandi juga tiada. Dia kembali ke katil, duduk di sebelah anak mereka sambil mengeluarkan telefon pintar dari poket jaket.

Nombor isterinya dihubungi.

"The number you h..."

Tit! Tuan Fateh menggosok tengkuk.

"Mana ibu ni, Rana?" Dia risaukan keadaan isterinya. Tiba-tiba hilang tanpa jejak. Nak kata lari rumah? Tak mungkin. Pakaian dan keperluan isterinya ada.

"Bubu mana?" Rana bergolek di atas katil sambil memeluk bantal golek. Tuan Fateh senyum kelat lalu dia turun dari katil.

"Rana tunggu sini sekejap tau? Jangan pergi mana-mana. Daddy nak turun sekejap." Dia mengusap lembut kepala anak mereka lalu dikucup sekali. Tingkat bawah dituju kembali. Mungkin isterinya berada di laundry room. Dia saja yang tidak perasan. Kan?

Dia cuba menyedapkan hati. Baru beberapa langkah ke dapur, dia terdengar derapan kaki dari pintu utama.

"Maaf, tuan. Saya datang bawa barang-barang yang tuan suruh tadi."

Wajah pembantunya, Ghani terpampang di layar mata. Tuan Fateh baru teringat yang dia ingin membuat kejutan buat si isteri.

"Oh, I lupa. You set-up dekat tepi kolam. Sekejap lagi I tolong."

"Baik, tuan."

Tuan Fateh kembali mencari isterinya. Namun langkahnya terhenti apabila telefon pintar bergetar, tanda ada notifikasi yang masuk.

"Saya keluar sekejap. Maaf."

Mesej itu membuatkan Tuan Fateh menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tahu isterinya baik-baik saja.

Tak lama selepas itu, senyuman di bibir mula diukir. Kacak. Sekarang ini dia harus menyiapkan sesuatu untuk Raisha. Bagus juga isterinya keluar rumah, bolehlah dia melakukan perancangannya dengan tenang.


Lemah-longlai Raisha menapak masuk ke dalam vila yang gah itu. Salam diberi perlahan, hanya telinganya saja yang mendengar. Saat sudah mendekati ruang tamu, baru dia perasan keadaan dalam vila itu agak suram. Hanya lampu dari tangga saja yang menyala.

Belum pernah lagi mereka menutup langsir baldu yang memisahkan ruang dalam vila dengan ruang santai di tepi kolam renang. Namun disebabkan dia malas untuk mengambil tahu semua itu dengan keadaannya yang tidak stabil, dia gagahkan diri untuk menapak ke lif. Baru saja jari menekan butang lif, pinggang terasa dirangkul dari belakang. Bahunya tersentak seketika namun dari bau haruman itu Raisha sudah mengenali gerangan yang memeluknya.

𝐓𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚 𝐊𝐚𝐬𝐢𝐡, 𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 {𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍}Where stories live. Discover now