Pernah Ada 16

2K 179 20
                                    

Balik dari kerja petang itu, Kamilia lihat Kamarul sudah siap menanti di pangkin. Spontan terlontar keluhan dari bibir.

Mengapa setia Kamarul sukar digugah? Walaupun berkali-kali ditolak, tetap menunggu hingga Kamilia mahu membuka hati.

"Hai." Hanya senyum tipis Kamilia berikan pada Kamarul sebaik saja keluar dari kereta.

"Hai." Sama juga balasan lelaki itu.

"Bila balik?" Acuh tak acuh Kamilia menyoal sambil berdiri. Dia tidak mahu duduk. Itu semua akan menunjukkan yang dia menyambut mesra dan mahu memanjangkan perbualan.

"Semalam."

Kamilia mengangguk kecil. Dia memandang sekeliling. Mencari kalau Opah berada di luar.

"Opah masuk bancuh air. Saya dah cakap tak payah. Menyusahkan pula." Kamarul usap belakang leher. Serba salah apabila kedatangannya membuatkan Opah terpaksa bersusah payah. Makin bertambah rasa segan kerana dia sebenarnya datang untuk melihat si gadis yang membuatkan malamnya tidak lena sejak tahun lepas.

"Oh ya? Takpelah. Saya masuk tolong Opah." Laju akal Kamilia mencari alasan untuk mengelak.

Dia bukannya tidak sukakan lelaki ini. Cuma dia jadi tidak senang kerana tahu Kamarul mengharapkan lebih daripadanya. Sesuatu yang Kamilia tidak mampu untuk berikan kepada sesiapa pun kerana ianya sudah menjadi milik orang lain.

"Lia."

Bibir Kamilia menipis. Menahan wajah dari menunjukkan reaksi tidak senang.

"Saya masih menunggu."

"Tunggu apa?" Tak dapat dikawal emosi, Kamilia membidas tajam. Dia berpusing memandang Kamarul yang nampak sedikit terkejut diterjah begitu.

"Tunggu hati awak terbuka." Sebentar saja Kamarul kembali tenang menjawab. Dia tahu Kamilia tidak selesa ditekan begitu. Tapi dia akan tetap mencuba kerana dia yakin hanya dengan cara itu saja Kamilia akan cuba belajar menerima nama baru dalam hidupnya.

"Kamarul." Bahu Kamilia nampak jatuh. Berat menyandang harapan yang Kamarul letakkan di situ. "Tolonglah faham. Saya tak berminat."

"Saya faham, Lia."

"Kalau faham, kenapa masih tak penat mencuba?"

"Sebab hati manusia mudah berubah. Saya mahu jadi yang pertama ada di depan awak semasa hati awak terbuka semula untuk menerima seseorang."

Kamilia hempas keluhan berat. Direnung lama wajah Kamarul yang baru selepas bermadah seperti seorang pencinta sejati. Mungkin dia perlu berterus terang.

"Hari ni saya jumpa dia."

Dahi Kamarul berkerut sedikit. Tak dapat menangkap siapa gerangan 'dia' yang baru Kamilia sebut.

"Dia yang buatkan saya masih tak boleh terima orang lain."

Terus hilang garis keliru di dahi Kamarul. Baru faham.

"Bila saya jumpa dia semula, saya baru sedar tentang sesuatu."

Diam.

Kamilia ambil masa untuk meluahkan apa yang bermain dalam fikirannya sepanjang hari ini selepas bertemu Aswad tadi.

"Saya mungkin dah dapat terima hakikat yang kami takkan bersama. Tapi sebenarnya hati saya tetap tak berjaya buang nama dia. Bayang-bayang dia akan sentiasa mengekori saya." Melihat Aswad yang berubah sikap menjadi seorang yang memendam dan berdendam, Kamilia tidak dapat mengelak untuk ikut sama menyalahkan diri sendiri.

Cinta jenis apa yang pernah dan masih bercambah di antara mereka ini? Kamilia yang terlalu banyak memberi hingga menyebabkan Aswad menjadi Majnun, atau Aswad yang terlalu kerap bermimpi indah sehinggakan tidak mampu lagi kembali ke alam nyata?

Pernah Ada (✔)Where stories live. Discover now