Pernah Ada 8

1.7K 162 3
                                    

Daripada memahami, Kamilia berubah menjadi benci. Benci melihat cara Aswad menghadapi masalah yang mendatang.

Lelaki itu rupanya lebih hebat mengeraskan hati dan mendinginkan rasa.

Aswad jadi semakin gila kerja. Keluar awal pagi dan pulangnya pula lewat malam. Memang bekerja atau membuang masa entah di mana, tiada siapa tahu.

"Semalam Puan Mona cakap dengan mak, dia risaukan Aswad."

Pembuka kata Cik Mah membuat pekerjaan Kamilia terhenti. Pisau yang digunakan untuk mengupas bawang diletak ke tepi.

"Hari tu Milia cakap pada mak, Milia dengan dia dah sepakat nak terima semua ni dengan berlapang dada. Tapi kenapa mak tengok Aswad macam orang hilang arah?"

Kamilia diam. Tak tahu bagaimana mahu dijawab soalan itu. Aswad sajakah yang hilang arah? Aswad saja yang punya hati? Aswad fikir dia saja punya hak untuk memberontak dan menunjukkan pada dunia yang dia adalah mangsa keadaan?

"Puan Mona cakap apa?" Senada saja Kamilia bertanya apa yang diluahkan oleh ibu Aswad pada emaknya.

Giliran Cik Mah pula terdiam. Menyusun ayat supaya tidak semua yang diketahuinya terluah keluar. Dia tak mahu memberitahu dia mengesyaki isteri majikannya itu juga tahu tentang hubungan Aswad dan Kamilia.

"Itu saja. Dia risau. Takut Aswad jatuh sakit. Balik lewat setiap hari, mandi pun lambat. Kan tak elok tu untuk kesihatan."

"Dia bukan budak kecil, mak. Tahulah dia jaga diri."

Bawang yang siap dikupas, dibawa ke singki. Satu persatu Kamilia basuh dan belah empat. Mudah untuk dikisar nanti.

"Nak pula mak sembang pasal dia dengan Milia. Bukan selalunya mak akan elak sebut nama dia kat depan Milia ke?" Sengaja Kamilia mengusik untuk mewarnakan semula suasana yang berubah mendung apabila menyebut tentang kisah penghuni rumah besar itu.

"Ayah Milia cakap, sampai bila nak mengelak sebut tentang dia depan Milia. Kena belajar terima hakikat. Kalau mak mengelak sangat sebut tentang ni, takut nanti Milia rasa mak ni pandang rendah anak sendiri. Mak patut percaya anak mak tahu bezakan apa yang betul dan apa yang salah."

Perlahan Kamilia mampir ke belakang Cik Mah yang duduk di meja dapur. Dipeluk bahu si emak erat.

"Terima kasib sebab mak dengan ayah percayakan Milia."

Cik Mah menepuk lengan anaknya yang melingkar di bahu.

"Kita bukan orang senang Milia. Jadi mak tahu Milia boleh hadap semua ni sebab kita dah terbiasa hidup sekadar ada. Bersyukur bila dapat, berlapang dada bila sesuatu tu tak ditakdirkan jadi milik kita. Tapi Aswad tak macam kita. Mungkin seumur hidup dia ni, dia tak pernah lagi berhadapan dengan masalah macam ni. Dia tak pernah dinafikan apa yang dia mahu. Mesti agak payah dia nak terima hakikat. Tambah lagi bila tak ada sesiapa boleh dijadikan teman bercerita. Tak ada yang tahu apa dia sedang lalui sekarang ni."

"Emmm..." Kamilia menggumam kecil. Cik Mah pun nampaknya bersimpati dengan nasib Aswad. Namun disebabkan mereka bukan sesiapa dalam rumah itu, tak ada apa yang dapat mereka lakukan untuk membantu.

"Puan Mona tak pernah cakap apa –"

"Kita tahu setakat apa yang perlu kita tahu saja. Lain daripada tu, tak perlu cuba nak selidik."

Terus terbantut soalan Kamilia bila disekat begitu oleh si emak. Pelukannya dilepaskan. Dia kembali menyambung kerja yang tergendala.

"Opah telefon mak semalam. Tanya Milia tak mahu ke balik duduk kampung seminggu dua sebelum buka sem baru."

"Boleh juga. Milia boleh terus balik kolej dari rumah Opah. Dekat sikit." Laju Kamilia memberikan persetujuan. Dia sebenarnya tahu mengapa Cik Mah seperti tidak mahu dia berlama-lama di rumah.

Majlis pertunangan Aswad diadakan betul-betul seminggu sebelum semester baru bermula. Walaupun Cik Mah tahu Kamilia mampu mengawal rasa, dia tidaklah senaif itu untuk tidak memahami hati si anak.

Seluas dan selapang mana pun hati Kamilia menerima takdir, pasti sisa perasaan yang masih ada itu akan bertukar menjadi duri. Menyucuk-nyucuk hati kalau terpaksa berpijak di tanah yang sama pada hari pertunangan kekasih hatinya sendiri.

Kamilia perlu pergi jauh dari situ untuk kebaikan semua pihak.

Pernah Ada (✔)Where stories live. Discover now