Pernah Ada 11

1.8K 146 9
                                    

Kamilia mula diserang homesick.

Sudah enam bulan Kamilia tidak balik. Setiap kali dia ada masa untuk pulang bercuti, Cik Mah akan menyuruh Kamilia balik ke rumah Opah.

"Balik rumah Opah. Nanti mak balik sana." Arahan emaknya tegas. Langsung tidak dapat dibantah.

Kamilia tak mahu bertanya lebih. Dia tahu ada sesuatu yang menyebabkan Cik Mah bertegas tidak membenarkan dia pulang ke sana. Mungkinkah berkait dengan Aswad?

Mustahil.

Hal di antara mereka sudah tamat. Terakhir Kamilia dengar, Aswad sudah selamat bertunang. Namun sehingga hari ini masih tidak diletakkan tarikh akad nikah.

Aswad sengaja melengah. Kamilia tahu itu. Dia yakin lelaki itu sengaja memanjangkan tempoh pertunangannya untuk menunjukkan pada dunia tentang hatinya yang masih tidak rela.

Telefon di atas meja study tiba-tiba bergetar. Tak mahu bangkit dari baringnya, Kamilia cuma menghulur tangan menarik gajet itu. Namun mesej yang baru masuk itu membuatkan dia sepantas kilat bangun duduk.

Aswad?

Berkali-kali Kamilia memeriksa waktu mesej masuk. Mana tahu kalau-kalau itu adalah mesej lama. Mungkin dia yang tersalah buka.

Tapi tidak. Memang benar Aswad baru menghantar mesej kepadanya.

+ Can we meet?

Aswad mahu berjumpa? Di mana?

+ Saya ada di bawah.

Tangan Kamilia naik menutup mulut yang terlopong kecil. Terkejut. Kelam-kabut dia turun dari katil dan keluar berlari ke hujung koridor. Dari tingkat tiga dia ternampak kereta berwarna biru yang cukup dikenalinya di perkarangan kolej.

Jantung Kamilia berdegup kencang. Mula hilang arah. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Jalan terakhir, Kamilia menelefon Cik Mah. Bukan untuk meminta izin, tapi untuk bertanya apa yang perlu dia lakukan dalam keadaan itu.

"Aswad cari Milia kat sana?"

Kamilia diam. Tahu soalan itu sebenarnya kerana emaknya ikut sama terkejut, bukan untuk dijawab.

"Jangan Milia. Dia tunangan orang."

"Milia tahu." Lemah suara Kamilia membalas. Tak perlu diingatkan pun, setiap hari dia akan mengulang hakikat itu dalam kepala.

"Kalau Aswad tak boleh rasionalkan fikiran dia, Milia kena jadi yang boleh berfikir. Jangan timbulkan masalah."

Nasihat akhir emaknya itu Kamilia sematkan kemas-kemas dalam hati. Mesej Aswad dibalas sebaik saja talian terputus.

- Maaf, saya tak ada di kolej

Lebih baik dia menipu dengan harapan Aswad akan beredar tanpa rasa sakit di hati.

Tiada balasan dari Aswad, tapi Kamilia lihat kereta biru yang berada di bawah bangunan hostelnya itu perlahan-lahan berundur, membuat U-turn dan meluncur keluar dari situ.



MALAM itu Kamilia tidak boleh tidur. Ligat berguling di atas katil sehinggakan teman sebiliknya yang sedang membaca novel menggunakan lampu kecil di katil sebelah menegur.

"Kenapa kau? Tak boleh tidur?"

Kamilia mengiring ke kanan. Dipandang saja Syakira tanpa menjawab. Terang lagi bersuluh matanya terbuka luas. Pastilah dia tak boleh tidur.

"Lampu aku kacau kau ke?"

"Tak." Pantas Kamilia membalas bila dilihatnya Syakira sudah berura hendak menutup lampu membacanya.

Pernah Ada (✔)Where stories live. Discover now