Pernah Ada 13

1.9K 164 7
                                    

Bulan berganti bulan, cuaca panas berganti musim hujan, Maya masih -

Tipikal.

Kamilia tersenyum sendiri sebelum memadam semula ayat yang baru ditaip. Satu persatu huruf di dalam ayat itu terpadam. Semangatnya mahu mengasah minat menulis yang sudah ditinggalkan sejak zaman sekolah dulu mula luntur. Sejak semalam tidak ada satu ayat pun berjaya ditulis.

Ktak! Ktak! Ktak! papan kekunci berbunyi apabila ditekan kuat dengan hujung telunjuk.

Seketika Kamilia termenung melihat skrin yang kembali kosong. Tanpa sedar dia menaip lirik lagu yang sedang diputarkan oleh radio.


Jujur saja kutak mampu

Hilangkan wajahmu dihatiku

Meski malam mengganggu

Hilangkan senyummu dimataku

Kusedari aku cin –


Tarian jemari di atas papan kekunci terhenti. Kamilia disentak keluar dari akal tidak warasnya oleh suara jeritan budak-budak bermain.

Rumah Opahnya memang menjadi laluan utama budak-budak ke kawasan lembu meragut. Di situ mereka bebas berlari ke sana sini. Selesa juga untuk mereka bermain wau ketika angin bertiup kencang.

Kamilia bangun menuju ke tingkap. Dia bertenggek di birai tingkap sambil melihat ke padang sana. Angin bertiup lembut menampar wajah. Damai sungguh suasana kampung. Berbeza dengan kawasan bandar sana yang bunyi kenderaan pun boleh terdengar sehingga ke dinihari.

Sendirian begitu, ingatan Kamilia kembali terbang ke rumah keluarganya. Rumah yang terletak di bahagian belakang rumah Tuan Ghazali. Rumah yang menjadi saksi dia mula mengenali perasaan cinta.

Apa khabar Aswad di sana?

Beberapa hari selepas lelaki itu mencarik hatinya menjadi cebisan halus dulu, Kamilia mendapat satu lagi perkhabaran duka.

Kaki Aswad mungkin tidak dapat digunakan seperti biasa lagi selepas kemalangan itu. Tak hairanlah mengapa lelaki itu langsung tidak bergerak dari atas katilnya semasa Kamilia melawah tempoh hari. Baring dan duduknya semua disandarkan penuh pada fungsi katil yang boleh bergerak naik dan turun.

Berbulan Kamilia menahan diri daripada bertanya khabar lelaki itu daripada Cik Mah. Apa pun yang berlaku, dia tidak mahu tahu lagi. Apa bezanya kalaupun dia tahu? Dia sudah berjanji untuk menamatkan semua kisah lamanya dengan lelaki itu. Itu jugalah yang sedang dia lakukan sekarang.

Berpegang pada tekad dan janjinya pada diri sendiri.

"Lia."

"Ya, Opah." Laju Kamilia menyahut. Tak pernah menangguh jika yang memanggil adalah Si Opah. Dia tak mahu sampai Opah terpaksa bersusah payah memanjat tangga naik ke tingkat atas.

"Kamarul datang. Dia tunggu kat pangkin. Bawa sekali menyicah pelam tadi. Mana tahu dia suka makan masam."

Kamilia ketawa lucu. Jarang ada lelaki yang suka makanan masam. Tapi kalau itu yang diarah oleh Opah, dia akan menurut.

"Okey, Opah. Nanti Milia bawakan sekali air." Bergegas Kamilia menjauh dari tingkap. Takut Kamarul tiba-tiba muncul.

Ada masanya Kamarul suka berjalan mengelilingi rumah Opah. Datang hantu rajinnya, daun kering akan dicakar sehingga bersih dan dibakar. Terkejut dengan perlakuan lelaki itu, selepas itu Kamilia terus sembunyikan pencakar itu di tempat lain. Tidak lagi disandarkan ke batang pokok.

Selesai membancuh sirap ais dalam jag besar, Kamilia menyusun semuanya ke dalam talam besar. Jug, beberapa cawan plastik, pelam, pisau dan sambal menyicah. Air dibuat lebih untuk dipelawa kepada budak-budak yang balik daripada bermain.

Sepanjang cuti semesternya, melayan anak-anak kampung itu sudah menjadi kerja tetap Kamilia. Kadang dibancuhkan air, kadang digoreng keropok ikan. Apa pun yang dihidang, semuanya licin dalam sekelip mata. Membuatkan Kamilia rasa puas dan bersemangat untuk melakukan perkara yang sama keesokan hari.

"Saya angkatkan."

Baru saja Kamilia hendak mengangkat talam, suara Kamarul muncul dari belakang. Bergegas dia beranjak ke tepi untuk memberi laluan.

"Patutlah saya kecur air liur tengok pelam bergayut kat pokok. Rupanya langkah kanan hari ni. Ada orang nak ajak menyicah. Milia buat sendiri ke? Mesti sedap ni..."

Kamilia tersenyum kecil. Tidak terlalu melayan, tidak juga mahu memberi galakan. Cucu kepada adik Opah yang satu ini memang dari dulu sering dikagumi ramai anak dara di kampung itu kerana luarannya yang sentiasa nampak tenang dan santai. Percakapannya pun sentiasa kedengaran berhemah dan menyejukkan telinga yang mendengar.

Semua itu mengingatkan Kamilia pada seseorang yang berada nun di sana. Masih sama seperti itu, atau sudah berubah kerana tekanan yang terlampau?

"Jom keluar. Opah dah tunggu tu." Pantas Kamilia mengalih topik apabila sedar dia sekali lagi sedang tenggelam dalam kenangan. Apa saja yang dia lakukan, memori nampaknya tidak pernah gagal menggamit.

Tak menunggu, Kamilia terus keluar melalui pintu dapur. Sempat disambar jag air untuk bantu meringankan berat yang perlu diangkat oleh Kamarul. Sedikit pun dia tidak peduli pada lelaki itu yang terdiam lama sebelum mengekornya keluar.

Pernah Ada (✔)Opowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz