Pernah Ada 3

2.6K 180 6
                                    

Mata Kamilia masih terkebil-kebil walaupun sudah hampir setengah jam dia bergelap. Dipaksa pun lena tidak mahu datang. Lelah memejamkan mata, akhirnya dia termenung dalam gelap.

Sama saja.

Buka ataupun menutup mata, wajah Aswad tetap akan muncul.

Kamilia mengiringkan tubuh. Serentak air matanya meluncur jatuh ke bantal. Bucu bantal ditarik dan digigit kuat untuk menahan esakan yang keluar. Bunyi tangisan akan membuatkan Kamilia rasa semakin sedih. Cinta pertamanya yang kecundang membuatkan dia rasa diejek kerana dulu berdegil cuba menongkah arus.

Aswad dan Kamilia seperti langit dan bumi. Jauh tak tergapai. Apatah lagi hendak bertemu. Selama ini Kamilia fikirkan semuanya baik-baik saja. Sehinggalah dia mendengar pengumuman tentang Aswad akan ditunangkan dengan anak rakan bisnes mereka, baru Kamilia terjaga daripada mimpi. Terus Kamilia sedar diri dan mula kembali merangkak naik ke darat.

Tok, tok.

Tok tok.

Bunyi dua ketukan berselang satu saat di tingkap membuat esakan Kamilia terhenti. Terus dia bangun duduk memandang ke tingkap yang terletak betul-betul di hujung kaki katil.

Aswad?

Aswad datang?

Semerta wajah Kamilia berubah ceria. Sebelah kaki sudah turun dari katil bilamana hakikat tentang hubungannya dengan Aswad kembali menghentam.

Perlahan air mata kembali menitis ke pipi. Kamilia kembali menarik kaki yang baru hendak memijak lantai. Kamilia menggeleng seorang dalam gelap malam. Memberitahu hati, akal dan tubuh yang mereka tidak lagi boleh bertemu dengan Aswad. Mereka semua perlu hidup tanpa lelaki itu. Biar mati kering sekalipun, Kamilia tak akan benarkan dirinya dikuasai cinta.

Dulu mungkin dia masih boleh berdegil kerana Aswad tidak terikat dengan sesiapa. Tapi sekarang Aswad sudah pun punya calon isteri. Bakal bertunang, bakal berkahwin, bakal menjadi suami dan juga seorang bapa.

Kamilia tak mahu menjadi wanita yang mengganggu kebahagiaan wanita lain. Selagi boleh dielak, Kamilia akan mengelak. Dia tak mahu menjadi orang ketiga!

"Mil."

Pendengaran Kamilia tertumpu pada suara yang terdengar perlahan dari luar tingkapnya.

"Milia."

Tangan Kamilia terkepal erat.

"Kamilia."

Kamilia mengengsot naik semua ke atas katil. Bersandar di dinding sambil menekup telinga sendiri. Tapi suara Aswad masih mampu didengari.

"Bukan awak saja yang terseksa, Mil."

Sayu Kamilia memandang tingkap yang masih rapat tertutup. Suara Aswad langsung berbeza daripada selalu. Kali ini kedengaran tidak bersemangat dan sarat dengan beban yang tak dapat diungkap.

"Saya tunggu awak esok. Saya akan tunggu sampai awak muncul."

Selepas itu diam. Tiada lagi suara Aswad. Tiada juga sebarang bunyi yang menandakan lelaki itu sudah beredar. Tapi Aswad sudah pakar datang dan pergi begitu. Bijak bergerak tanpa suara.

Kamilia bangun mendekat ke tepi tingkap. Kalau masih bersisa walau sedikit pun haruman yang selalu digunakan Aswad, dia mahu menghirup wangian itu untuk menghilangkan rindu.

Pernah Ada (✔)Where stories live. Discover now