Pernah Ada 7

1.9K 168 6
                                    

"Saya tak benarkan awak panggil saya Encik, Milia. Untuk awak, saya cuma Aswad."

Hening sedetik.

"Cuma Aswad." Kali ini suara lebih perlahan. Lirih dan mengharap.

Pandangan mereka bertembung lama.

Sayu.

Hanya mereka saja dapat memahami seksa yang terlukis di bening mata masing-masing.

Tiba-tiba dilanda sebak, Kamilia melarikan pandangan ke arah lain. Hujan lebat membuatkan keadaan di sekeliling nampak berkabus. Samar-samar saja kelihatan tasik besar yang berada di hadapan mereka.

"Sepatutnya saya tak pernah buang gelaran tu dari nama awak."

Pegangan Aswad di lengan Kamilia perlahan-lahan terlerai. Riak wajah si gadis yang jelas nampak sarat menanggung beban rasa membuatkan dia rasa bersalah.

"Awak menyesal simpan nama saya dalam hati awak?"

Kamilia kemam bibirnya yang bergetar. Cuba menahan tangis yang mahu pecah, tapi gagal. Menitis juga air jernih yang bergenang di mata.

"Sekurang-kurangnya beri saya peluang untuk jelaskan cerita dari pihak saya."

Geleng. Kamilia tak mahu. Apa pun kisah dari pihak Aswad, pengakhirannya masih sama. Hubungan mereka tetap akan putus di tengah jalan.

"Saya tahu awak sedih. Awak kecewa. Awak rasa tertindas. Awak rasa ditipu. Saya tahu setiap malam awak menangis sebelum tidur."

"Cukup Aswad." Kamilia memotong laju sebelum sempat Aswad meneruskan bicara.

"Berhenti seksa diri sendiri. Lepaskan hubungan kita pergi dengan aman. Anggap ...." Terkejip-kejip Kamilia menahan esakan yang membuatkan luahannya terhenti.

"... anggap semua perasaan ni tak pernah wujud antara kita."

"Semudah tu saja?"

"Perkara tu tak mudah, tapi itu saja pilihan yang kita ada."

"Pilihan lain akan wujud kalau kita mahu, Milia."

Spontan mata Kamilia menyorot tajam wajah Aswad. Tak perlu dijelaskan pun dia sudah dapat membaca apa yang cuba Aswad sampaikan.

"Jadi yang pertama dalam hidup saya."

Kaki Kamilia melangkah ke belakang. Tak mahu percaya dengan apa yang baru didengarinya.

"Asalkan awak jadi yang pertama, saya janji akan selamanya setia. Selamanya ada. Selamanya cinta."

"Aswad ...." Kamilia tergeleng. Dia bergerak menjauh sehingga tidak lagi berada di bawah payung yang sedang dipegang oleh Aswad.

"Milia, please understand ..." Aswad mengekor. Tangan dihulur panjang untuk memastikan Kamilia berada di bawah payung.

"Saya tak mahu." Pantas Kamilia berpusing. Ditarik Saiful dan sepantas kilat beredar dari kawasan itu.

Aswad membesarkan langkah. Sekelip mata sudah menghadang perjalanan Kamilia.

"I cannot do it, Milia! Saya tak boleh paksa hati saya untuk sukakan orang lain! Saya tak mahu kahwin dengan dia. Saya cuma nak awak. Awak saja yang saya nak sebagai isteri. Awak saja, Kamilia!"

Dalam hujan lebat begitu, suara Aswad tidak kedengaran setinggi yang dilontarkan. Tapi masih mampu membuatkan detik waktu di antara mereka terhenti seketika. Pertama kali dalam sejarah 10 tahun mengenali Aswad dan 5 tahun bercinta, Kamilia melihat lelaki itu dipengaruhi emosi.

"Akak ..." Saiful menarik tangan Kamilia. Bersilih ganti dia memandang si kakak dan Aswad. Mula cuak. Tak pernah melihat Abang Aswad yang sentiasa tersenyum dan penuh berhemah, tiba-tiba hilang waras begitu.

Pernah Ada (✔)Where stories live. Discover now