Recik Elektrik di Kafe Rahsia

15 0 0
                                    

Pintu Kafe Rahsia terkatup rapat sewaktu kususuri jalan itu pada hari ketiga Syawal. Burung-burung gagak yang terbang dan hinggap di dahan ketapang hujung sudut bangunan kompleks beli-belah itu bagai tuan rumah yang menyambut kedatangan tetamunya. Cuaca pagi itu dingin dan langit tampak redup. Sesekali kereta dan bas melewati jalan utama dan membelok kanan ke Jalan Esfahan. Aku memperlahankan langkah dan berhenti seketika. Kedua belah tangan kuseluk ke dalam saku. Sudah ada bangku untuk pengunjung di kawasan itu. Sehelai dua daun mati kusapu ke tepi lalu duduk merehatkan diri.

     Telefon bimbit yang sejak tadi bergetar kubawa keluar dari poket depan baju panas. Entah berapa kali Ana menghantar mesej menyatakan yang dia meminta maaf kerana tidak dapat pulang merayakan Aidilfitri bersamaku. Entah mengapa Syawal kali ini aku tidak merasa sedih dengan tindakannya. Barangkali kerana saban tahun dia melakukan begitu. Sejak Ana memutuskan untuk tetap tinggal di Melbourne lagi agaknya dia memang sudah tidak mahu pulang ke tanah airnya. Tidak kuketahui sebab utamanya. Tidak mungkin kerana kos penerbangan. Ana banyak duit. Dia bekerja keras di sana membina kerjayanya sesudah graduat dari Universiti Malaya. Ana betul-betul macam bekas isteriku. Mereka mencintai kerjaya mereka lebih dari apa pun.

     Aku memandang sekilas Kafe Rahsia. Tak kusangka ia masih beroperasi sejak kali terakhir aku singgah ke sini tiga puluh tahun lalu. Kata orang, sudut kedai itu yang sebelum ini telah beberapa kali disewa restoran francais, tak ada ong. Biasanya perniagaan mereka hanya akan bertahan beberapa tahun saja. Namun hal mengarut itu tidak terjadi kepada francais Kafe Rahsia. Aku mengagak tentulah kerana cara mempromosi perniagaan mereka di media sosial dan pilihan menu yang sedap. Beberapa orang pekerja Bangladesh dan Pakistan yang lalu-lalang membawa bersama aroma minyak attar yang pekat dan menyapa hidungku. Tentulah aku masih ingat suasana ini. Tidak banyak berubah kecuali orang-orangnya. Deretan bangunan kedai di seberang jalan masih sama cuma kedainya saja bertukar. Dahulu hampir kesemuanya kedai tekstil kecuali satu lot hujung, sebuah kedai buku- Pustaka Mumin. Cerita-cerita kononnya pihak pemaju dan kerajaan hendak meruntuhkan bangunan sekitar kawasan ini tidak berlaku pun. Mar, masihkah kau bekerja di situ? Untuk kepastian, walaupun membuang masa, aku bangun dan mendekat ke kafe itu. Pintu kacanya yang gelap memantulkan kembali tubuhku yang sudah tua dan berkedut. Aku membetulkan kaca mata dan merenung ke dalam. Terdengar hiruk pikuk suara, denting kutleri dan tubuh Maria, dengan baju hitam dan topi sudunya, dengan but tebal dan subang di telinga kirinya. Ah, Mar aku di sini, pandanglah! Serasa sebak di dada. Perlahan-lahan kenangan silam bagai meluruh dari langit dan menyimbah fikiranku sekarang.

     "Tu untuk apa ya?" tegur suara seseorang di depanku.

    Pada mulanya aku buat acuh tak acuh saja. Aku sedar sejak awal pagi lagi dia sudah memerhatikan aku. Sebelum-sebelum ini aku tidak pernah nampak dia. Pekerja barukah? Aku membetulkan kopiah putih dan terus memberi senyuman kepada orang yang menyedekahkan wang mereka.

     "Assalamualaikum bang, derma ikhlas untuk tahfiz bang," kataku setiap kali orang lalu-lalang dan bila sekeping dua not diletakkan ke dalam tabung besar yang dipegang itu aku mengucapkan terima kasih dengan kepala terangguk-angguk macam burung belatuk. Pada bulan Ramadan bilangan pengunjung di laluan itu bertambah dan wang bagai luruh dari syurga.

    "Hei pak syeikh, aku tanya ni. Betul ke untuk tahfiz?" kali ini suara itu betul-betul di sebelahku.

     "Ya," jawabku sepatah. Siapakah dia ini yang berani bertanya sebegitu? Tak pernah pun seorang pekerja Kafe Rahsia bertanya kepadaku malah sebahagian daripada mereka istiqamah menyedekahkan wang untuk tabung ini.

    "Aku tak percaya beb. Baru malam tadi keluar berita orang macam kau ni kutip sehari beribu-ribu ringgit. Tahfiznya entah wujud ke tidak. Duitnya entah ke mana," katanya lagi dengan sorotan mata yang menikam.

Lelaki Perpustakaan dan Cerita-cerita LainnyaWhere stories live. Discover now