Kegiatan Petang

0 0 0
                                    

Setiap petang selepas pulang kerja Izham tidak terus menyalin pakaian atau mandi sebaliknya dia akan terperosok di atas sebuah kerusi beralaskan kusyen yang kumal sambil membelek telefonnya. Dia akan melangut melayan telefon bimbitnya itu, tersengih-sengih seorang diri sambil korek taik hidung dan sesekali jemarinya rancak menaip sesuatu.

Biasanya petang sangat aman, tatkala dia asyik terduduk dengan lengan kemejanya berlipat, tubuhnya berbau masam dek peluh dan kadangkala ada anak-anak kucing yang akan menguit-nguit kakinya. Kadangkala ibu kucing akan mengiau-ngiau kuat meminta sejemput friskis yang tersimpan elok dalam balang di atas para dapur rumahnya. Dia tidak akan peduli. Dia tidak peduli barang sedikit pun. Izham akan terus ralit sehinggalah jam menunjukkan angka lapan dan emaknya yang mula membebel menyuruhnya mandi, barulah dia berlenggeng dengan tuala ke bilik air.

Petang adalah saat mengasyikkan. Tiada siapa yang menganggunya. Emaknya akan sibuk berkunjung ke rumah jirannya, Makcik Zuraidah yang becok itu dan turut berada di situ ialah Cik Senah, seorang andartu yang kaki mengumpat juga. Mereka akan mengumpat dari pukul empat setengah sampai masuknya maghrib. Begitulah kisahnya seharian di waktu petang. Izham akan kekal di kerusi buruk berhampiran pintu depan rumahnya sambil angin petang berpuput perlahan meniupkan jambul rambutnya.

Namun suatu hari Izham terbuka suatu video ceramah agama di youtube oleh seorang pendakwah bebas yang popular. Kata pendakwah itu sangat besar dosanya jika mengumpat sesama Islam. Dosanya sama seperti memakan daging saudara kita sendiri. Pendakwah itu menyamakan golongan pengumpat seperti kanibal yang tidak bertamadun dan kejam. Kerana perumpamaan yang begitu menakutkan itu, Izham tersedar yang selama ini emaknya memang selalu mengumpat. Dia fikir dia harus ingatkan emaknya supaya tidak terjerumus ke dalam neraka kelak.

Dia menyampaikan nasihat pendakwah itu pada emaknya tapi emaknya buat tak tahu saja. Kemudian dia tunjukkan video ceramah tadi barulah maknya terdiam tidak menjawab. Izham meminta supaya emaknya tidak ke rumah jiran mereka lagi. Supaya tidak menjadi seperti kanibal. Kata Izham dengan nada yang ditekan. Izham mencadangkan supaya emaknya menanam bunga atau berkebun bagi mengisi waktu petang.

Perlahan-lahan emaknya mula menyukai aktiviti petangnya. Emaknya membeli sekian banyak pasu dan ditanam dengan bunga. Setiap petang emaknya akan menyiram bunga, mengincar tanah di dalamnya dan merapikan tunas bunga.

Cuma sejak emaknya berubah hobi ini kebiasaan damai petang Izham terganggu. Tiap kali tiba saat dia menelek telefon bimbitnya emaknya akan keluar masuk menjinjing bekas terisi air paip. Sekejap masuk, sekejap keluar.Pasu berisi bunga itu disusun di sekeliling rumahnya dan bila tapak kaki emaknya yang basah itu menyarung selipar jepun yang haus hujungnya berbunyilah kelmpeh-kelempeh yang menganggu telinga. Kadang-kadang air itu tertumpah sampaikan emaknya tergelecak lalu jatuh. Dan jatuhnya pula diiringi sumpahan-sumpahan, rungutan dan carutan. Selepas siap menyiram emaknya akan mencampak saja bekas isi air itu dan sambil mengucar tanah emaknya akan menyenandungkan lagu-lagu Francesca Peter atau Nike Ardilla.

Perlakuan emaknya itu menyebabkan Izham berasa sangat terganggu dan kacau. Memang dia sudah tidak dapat khusyuk lagi menelaah telefon bimbitnya. Tumpuannya telah dirampas. Pada suatu hari ketika emaknya seperti biasa, menjinjing bekas air yang isinya teroleng-oleng, melimpah keluar, kemudian menyarung selipar jepun yang berbunyi sial selepas itu, menyiram, mencampakkan bekas air yang kosong sebelum mula membelek pasu bunganya sambil menyanyi, Izham tidak tahan lagi. Izham menggertap gigi, mengepal tinju dan mundar-mandir seperti peninju sebelum naik ke gelanggang.

Dia keluar rumah dan mengangkat setiap satu pasu itu, sambil diiringi pekikan emaknya, dia menghempaskannya satu persatu sampai pecah. Selepas melakukannya dia berasa puas. Emaknya terjerit dan melolong seperti orang gila dan menampar-nampar bahunya. Izham tidak mempedulikannya. Dia terus masuk ke rumah.

Keadaan kembali seperti biasa. Emaknya tidak lagi meneruskan hobi menanam bunga. Emaknya kembali ke rumah Makcik Zuraida untuk bersosial. Izham terus terperosok di atas kerusinya sambil ralit melayari internet. Seperti sebelumnya, petang kembali damai.

Lelaki Perpustakaan dan Cerita-cerita LainnyaWhere stories live. Discover now