Tak Puasa

6 0 0
                                    

Hujan lebat gila. Saya keluarkan payung dan mula berjalan. Di kiri dan kanan jalan, penuh dengan kereta. Saya melangkah perlahan sambil menggalas beg. Di dalamnya terisi beberapa buah buku yang tebal, alat tulis, komputer riba, kain pelikat, seragam kerja dan sebuku sabun Antabax. Hawa sangat dingin dan membuatkan saya menggeletar. Saya perlu berjalan sejauh beberapa kilometer sebelum sampai ke destinasi. Kaki seluar saya lipat sampai ke buku lali. Langit makin gelap. Tak lama lagi waktu berbuka. Melewati jarak lima ratus meter, saya perasan ada seseorang berjalan di belakang. Ketika sampai di bawah jejambat saya berhenti kerana hujan makin lebat seperti ada tangan gergasi mencurahkan sekang air. Saya duduk dan menguncupkan payung. Lelaki tadi pandang saya, tersengih, sebelum membuka plastik yang dijinjitnya tadi. Saya perhati ada murtabak dengan kuah cuka bawang warna kuning. Dari wajahnya, saya tahu dia seorang pekerja warga Bangladesh.

'Sejuk'
'Hmm?'
'Tak tahan'
'Tak puasa?'

Dia sengih menampakkan gerahamnya. Barisan giginya tak lengkap kerana sebatang gigi taringnya sudah tiada. Kuku jarinya yang kehitaman, mencengkam murtabak yang terlebih dulu dicirah kuah cuka, dan menyuapnya ke mulut. Hujan makin lebat. Saya tak nampak lagi bayang stesen bas yang sebelum ini dapat dilihat jelas.

Pekerja Bangladesh tadi sendawa.

'Cepatnya habis.'
'Terlalu laparlah. Hari ini kerja berat.'

Kami berbual kosong. Namanya Sobuj Ridha dan berasal dari Barisal, tidak jauh dengan ibu negara, Dhaka. Dia sudah ada kekasih di sana. Katanya juga, dia berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan.

'Sana memang payah ke cari kerja?'

Sobuj keluarkan sebatang rokok jenama Zon King. Dia unjuk kotak pada saya.

'Susah. Susah.'

'Kenapa datang sini?'

Dia menjentik rokok yang dihisap separuh itu, berdiri dan menenyehnya dengan hujung kaki.

'Pergi dulu.' Sobuj angkat tangan dan berjalan pergi.

Hujan masih lebat. Baru saya perasan Sobuj tak gunakan payung dan berjalan terhincut-hincut.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 07, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Lelaki Perpustakaan dan Cerita-cerita LainnyaWhere stories live. Discover now