Menyebut Nama Pewangi

40 0 0
                                    

Saya pernah bekerja sementara waktu cuti semester dahulu di sebuah store dan bertugas di bahagian kosmetik dan yang menjadi kesukaan saya di situ apabila terdapat pelbagai jenis minyak wangi berjenama. Setiap hari saya akan sembur minyak wangi berbeza. Namun yang membuatkan saya kurang selesa bila ada seseorang di situ yang kerap mengganggu jiwa saya.

Seorang pekerja produk kecantikan yang saya rasa produk itu bernama Rodells, atau Rodence — saya tak ingat — kerap menjeling saya dengan ekor matanya yang menakutkan. Pada boothnya ada perekat dan banner yang terdapat gambar produknya serta gambar ular bersalin kulit. Saya kerap terfikir yang produk itu mengandungi sel Ular, membuatkan juga saya terbayangkan Orochimaru (lelaki Ular dalam Naruto) tiap kali memandang pekerja itu.

Adakala suara dan dengusan nafasnya sungguh kasar bila mendekati saya. Matanya galak merenung dan tubuhnya meliuk-lentok seperti selendang cindai ditiup angin. Dia bertubuh lansing, tinggi lampai, rambut panjang lepas melepasi bahu. Dagunya tajam dan kerap memakai legging hitam serta loafer. Dia seorang trans berumur, kalau tak silap sekitar 40 tahun. Di mana-mana kalau ada kesempatan dia akan mengganggu saya dengan renungannya. Kadang-kadang bahasanya berbaur lucah yang pada mulanya saya tak ambil kisah namun pada satu hari saya memarahinya dan mengakhirinya dengan mengangkat jari hantu.

Dia tidak masuk kerja beberapa hari kemudian. Saya rasa dia minta tukar atau minggu itu dia bertugas di tempat lain. Saya tak tahu. Tidak lama selepas itu kehilangan seorang trans di floor itu berganti pula dengan trans lain. Cuma dia menjaga bahagian minyak wangi CARTIER. Saya tak suka minyak wangi Cartier. Baunya macam minyak attar Mydin Jalan Masjid India. Tajam dan menyegat. Dan, kerana pengalaman saya dengan pekerja Rodence, saya juga tak sukakan Zee, pekerja baru Cartier.

Kemudian ada seorang pekerja dari floor lain yang pindah ke floor saya. Orangnya gempal, stocky macam bouncer kelab malam Divine Bliss. Dia selalu pakai fanny pack bila keluar waktu rehat. Namanya Jafar. Saya kerap berbual dengannya jika pelanggan tak ramai. Dia anak jati KL dan menyatakan kekagumannya kerana saya ada belajar silat. Saya kata awak tak perlu belajar silat, orang tolak takkan jatuh. Kemudian Zee melintasi kami dan senyum manis (Zee tidak pernah ganggu saya) dan membuatkan saya berang. Di depan Jafar saya mula mengutuk orang seperti Zee dan saya ungkit pengalaman saya sebelum ni. Aku kata aku rela lihat mereka pupus, dihapuskan, bla bla bla. Sepanjang saya luah-marah-maki itu Jafar cuma diam. Mukanya kelat, tegang.

Masa rehat, Kak Tim telah berbisik pada saya "Zee tu gelpren Jafar tau. Untung tak Zee?" saya cuma melopong dan terkejut.

Pada sebelah petang ada dua pelanggan Afrika-Perancis masuk dan membelek minyak wangi Givenchy. Sepatutnya promoter minyak wangi itu melayan mereka tapi dia entah ke mana.

'Pretty boy, come here,' panggilnya dengan sebutan huruf R yang pelat.

'Yes? May I help you?' kata saya sopan. Salah seorang daripada mereka mengangkat sebotol 100ml dan berkata 'Can you pronounce this?' katanya.

Dengan yakin saya jawab " JI - VEN - CHI "

Serta merta mereka memburai tawa. Dan ketawa itu panjang, berlarutan. Pada masa itu saya berpaling ke sebelah kanan dan dalam jarak beberapa meter saya nampak Zee sedang melayan pelanggan, menyembur minyak wangi brut busuk dengan bibirnya anggun menyebut -  LE / KAH / TIER.

Di semseter tiga saya mengambil bahasa Perancis untuk kategori bahasa, dan kata orang bahasa itu romantik.

Lelaki Perpustakaan dan Cerita-cerita LainnyaWhere stories live. Discover now