Ketakutan

16 0 0
                                    

Pada pengujung Ogos tahun 1974, ketika saya berumur 6 tahun dan sedang bermain di laman rumah yang panas terik menolak sebutir kereta mainan sebesar genggaman, tiba-tiba ada bayang-bayang dari belakang memayungi kilauan mentari. Saya berpaling dan kelihatan seorang pemuda berdagu tajam dan tinggi lampai merenung kepada saya. Kemudian dia berkata dengan biji mata terjegil, "Jangan bermain sampai ke pinggir hutan tu. Ada puaka yang gemarkan lidah manusia dan suka mengorek biji mata." Riak wajah dan tenungannya menggentarkan hati saya sehingga saya berlari masuk ke dalam rumah. Peristiwa itu saya ingat sampai sekarang.

Ketika saya bersekolah menengah dan menjadi AJK Pengakap, guru dan rakan-rakan bercadang untuk berkhemah ke hutan itu. Saya membantah dan menceritakan yang hutan itu berpuaka. Pada mulanya tidak ada seorang pun yang percaya tetapi kerana setiap hari saya meyakinkan mereka, akhirnya lokasi perkhemahan telah ditukar ke tempat lain. 

Menjelang dewasa, saya cukup yakin hutan itu masih berpuaka. Tiap kali memandangnya, ketakutan mengepung perasaan saya. Saya membayangkan betapa puaka itu tetap menunggu saya di dalam sana dan mungkin, mengharapkan agar saya ke sana.

Apabila saya sudah tua rontok, gigi banyak tercabut, kepala mula botak dan lebih banyak menyandar dari berjalan kerana jika saya melangkah, kaki seperti hendak tercabut, anak saya telah memberitahu bahawa dia telah ke hutan berpuaka itu. Tidak ada apa yang puakanya saya okey saja, katanya.

Saya tetap percaya puaka itu masih di dalam sana. Ada suatu ketika saya terlantar di katil wad dan tidak berdaya langsung untuk bergerak, saya masih terasa yang puaka itu sedang memerhatikan saya. Dan wajah pemuda berdagu tajam itu...

Lelaki Perpustakaan dan Cerita-cerita LainnyaWhere stories live. Discover now