Bab 16

5.4K 667 84
                                    

"Bro, sekarang hujan. Kau nak balik juga ke?" Boy yang baru sahaja selesai membancuh air Nescafe kegemarannya terus duduk di sofa bersebelahan Qaayed yang tengah khusyuk mengilatkan kasutnya.

Badan yang dibongkokkan sejak dari tadi terus ditegakkan sebelum Qaayed bersandar pada kusyen yang empuk dan selesa itu. Kepala direhatkan sebelum mata dipejam seketika. Soalan Boy hanya didengari sebelum dihadam.

"Aku kena balik juga sebab malam ini AJK surau di kawasan perumahan aku ada buat aktiviti sikit. Apa pula mereka akan cakap kalau aku tiada di situ." Qaayed membalas dengan tenang. Namun, matanya masih belum dibuka.

Boy hanya mengangguk perlahan lalu terus menyisip perlahan Nescafe panas yang masih mengeluarkan nafas nipis. Musim-musim hujan ini memang enak untuk menikmati minuman panas seperti ini.

"Tapi, aktiviti apa yang orang surau itu nak buat malam-malam macam ini?" Boy yang penuh tanda tanya terus meletakkan mugnya di atas meja kopi sebelum memberikan sepenuh perhatian kepada wajah Qaayed yang kacak itu. Tangan kiri menongkat kepala lalu badan juga tutut dialihkan untuk menghadap ketuanya.

"Hari ini malam Jumaat kan?"

Boy terus mengangguk laju mendengar soalan Qaayed.

"Aktiviti malam Jumaat di surau itu sudah semestinya bacaan surah Yasin. Kau tak nak join ke?" Mata terus dibuka luas sebelum wajah Boy terpampang luas di hadapan matanya. Dia berganjak ke tepi untuk menambahkan ruang di antara mereka.

"Aku tak boleh joinlah. Hari ini kan aku kena balik kampung isteri aku. Karang dia membebel tak sudah, tak pasal-pasal migraine aku datang balik." Boy terus memuncungkan mulutnya.

Bukan dia tidak mahu menyertai Qaayed pada kali ini, tapi dia benar-benar tidak boleh. Selalunya dia sering juga melepak di rumah Qaayed selepas pulang daripada surau pada hujung minggu.

Sengihan lebar terus meniti di bibir Qaayed apabila mendengar ayat yang keluar daripada mulut Boy. Dia sangat faham perasaan Boy kerana Salvataggio juga pernah dibebel teruk oleh isterinya.

Sumpah, telinga mereka seperti mahu berdarah!

Badan ditegakkan sebelum diregangkan ke kiri dan kanan. Leher juga dipusingkan secara perlahan-perlahan. Dia berasa sangat segar sekarang ini. Punggung diangkat sebelum kasut yang selesai digilapkan diambil lalu diletakkan di dalam lokernya.

Full face helmet dan sarung tangan dicapai. Kaki dilangkah mendekati Boy yang tengah khusyuk bercakap melalui telefonnya.

"Okay, sayang. Abang dah nak gerak balik. See you.

"Okay abang, sayang pun dah nak gerak ini. Bye abang, I love you!" Boy terus menumbuk perlahan lengan Qaayed apabila dia mengejek percakapannya.

Kurang asam punya budak!

Mereka berdua ketawa besar apabila mengingati gaya percakapan Qaayed tadi. Seperti kucing tersepit ekor.

"Aku balik dulu Boy."

"Hati-hati."

Anggukan diberi lalu dia terus memakai helmet dan sarung tangan sebelum terus bergerak ke arah motosikal berkuasa tinggi kesayangannya. Enjin dihidupkan dan bibirnya terkumat-kamit membaca doa naik kenderaan.

Ya Allah, aku memohon perlindungan dari-Mu.


-----


Kaki terus melangkah memijak tar jalan yang mula basah dek kerana air hujan yang turun menghentam bumi dengan lebatnya. Sesekali Firja mengesat wajahnya yang lencun disimbah gerimis hujan.

Suasana yang sejuk itu masih tidak dapat menurunkan suhu hatinya yang panas disebabkan oleh kelakuan Juan tadi. 

Aku tak pernah jumpa lelaki yang cepat membuat kesimpulan sendiri seperti dirinya. Ya, memang aku datang daripada sekolah yang semuanya berjantina perempuan. Namun jangan lupa, aku juga pernah bersekolah dengan para graduan juvana. Semua jenis perangai dan tingkah laku manusia, aku pernah jumpa.

Tapi tahap kebodohan dan keegoan Juan menyebabkan Firja meruap.

Wajah diangkat dan pandangan dihalakan ke hadapan.Suasana mulai kelam kerana malam akan menjelma dan langit mendung membawa awan hitam.

Cahaya lampu kenderaan yang bertentangan dengannya itu menerobos masuk ke dalam anak matanya. Firja terus memejamkan matanya sebelum menghadang cahaya itu menggunakan lengan kirinya.

Angin yang laju melepasi tepi tubuhnya sebelum badannya terasa hangat disimbah air. Lengan terus diturunkan sebelum dia melihat dirinya sendiri. Matanya melilau lalu memandang tepat pada motosikal yang melanggar lopak air yang kotor itu. 

Motor saja mahal, tapi tunggang seperti orang gila.

Ya Allah, banyak betul dugaan aku hari ini.

Walaupun aku basah lencun, lopak air ini mungkin akan menyebabkan kulit aku gatal. Ah, tak guna betul.

Firja cuba menarik nafas dan menghembusnya berkali-kali untuk menenangkan diri sendiri. Tanpa melihat penunggang itu berhenti atau tidak, perjalanannya diteruskan.Dia perlu pulang ke rumah dengan segera.

Tiba-tiba, hoodienya ditarik kuat sehingga menunjukkan setiap urat rambutnya. Leher yang terasa seperti dicekik dek kerana tali hoodie yang terikat terus disentuh sebelum Firja berpusing 180 darjah.

Matanya membulat melihat gerangan yang berseragam bomba di hadapannya. Wajah masih tidak kelihatan kerana ia masih ditutupi dengan helmetnya.

Firja seperti terpaku di atas jalan raya itu apabila manusia di hadapannya itu membuka topi keledarnya. Rambut yang jatuh ke dahinya itu menaikkan lagi kekacakkannya.

"Qaayed."

"Yes, I am."

Mata mereka bertembung sebelum Qaayed tersenyum manis memandang wanita di hadapannya itu.

Firja menelan liurnya sendiri. Ah, lelaki ini terlalu kacak!

Mata dilarikan daripada terus memandang pupil matanya sebelum turun ke arah hidung dan bibir. Sempurna.

Mana mungkin wujud manusia yang begitu sempurna sepertinya.

"Habis dah?" teguran secara tiba-tiba itu mengejutkan Firja. Matanya terus kembali memandang anak mata Qaayed.

"Hah?"

"Habis dah ke tatap muka ayah bakal anak-anak kau?"

Jantung Firja berdetak laju. Qaayed, kau memang nak kena!



Malaikat Tak Bersayap [✔]Where stories live. Discover now