Bilik

68 1 1
                                    

Bilik itu suram dan tidak menyenangkan. Jika kamu masuk ke dalamnya, ada semacam perasaan berbaur akan menyelinap ke hatimu. Melankoli, gelisah, ghairah dan kamu merasa seperti seorang rendahan. Namun saya perlu masuk juga. Bilik itu tetap sebahagian daripada rumah saya. Bilik itu gelap, dipenuhi habuk dan sawang labah-labah. Cuma ada satu almari dan kerusi. Saya duduk di atas kerusi seperti seorang dungu. Pintu almari terbuka. Saya tidak jelas siapa yang keluar.

   “Siapa itu? Tasha? Zila?” makin lama saya boleh nampak bentuknya. Seorang perempuan memakai gaun putih berenda-renda dan rambutnya perang. Dia melutut dihadapan saya dan meletakkan kedua belah tangannya ke atas peha saya seperti lelaki yang ingin mengajak kekasihnya bernikah.

   “Aku kematian suami dan aku mahu menumpukan hidupku untuk ibadat di biara berhampiran kota Jericho. Ada sejumlah wang bernilai 2.6 bilon dolar dan aku berbesar hati jika kau dapat menerimanya,” kata beliau dengan suara mendatar, separa sayu tetapi mengandungi pengharapan serta pemujukan dalam masa yang sama.

   Belum sempat saya memberikan jawapan dari kejauhan saya nampak pula seorang lelaki keluar. Dia memakai seragam tentera lengkap dengan pingat kebesaran tersemat di dada kiri, selempang merah yang hujungnya berambu, peak cap yang besar dan berbau hapak.

   “Siapa tu? Zoeyrahman? Yusuf Tony? Abas Saad?” tanya saya. Nama-nama itu terpacul kerana kali terakhir saya terfollow akaun instagram mereka tanpa pengetahuan saya. Saya syak saya telah diautofollowkan.

   “Aku bekas diktator dan ada harta banyak di bank Swiss serta resort-resort di pekan Lufkin. Pewaris aku semua sudah mati kerana dibunuh pemberontak. Aku mahu wariskan kesemuanya pada kau kerana aku tahu tempoh hidup aku di dunia ini akan berakhir,” katanya dengan penuh keyakinan.

   “Jangan percaya dia. Bolehkah kamu percayakan seorang diktator? Tidak, kamu harus ambil duit saya,” sanggah si balu. Dia sudah bangun dari melutut dan menyorot tajam pada diktator.

   “Hei perempuan tua. Entah-entah kau sudah nyanyuk dan perasan ada harta banyak. Jangan berbohong!,” tingkah si diktator pula.

   Mereka terus bertelingkah kerana masing-masing berebut mahu memberikan harta pada saya. Saya sudah tidak tahan lalu saya padam mereka dan buang ke dalam longgokan sampah. Saya tutup bilik itu serapatnya.

   Sepi. Namun saya tahu tidak lama lagi akan muncul semula orang-orang seperti mereka. Di luar sana ada isteri yang suka meminta wang, anak yang nakal, jiran yang suka mengumpat, majikan yang kerap berleter, pegawai bandaran yang asyik mengeluarkan tiket saman, pihak bank yang kerap menelefon untuk menuntut bayaran hutang dan tuan rumah yang cerewet. Mereka-mereka ini saya tak dapat padam sebab belum terjumpa tanda delete.

Lelaki Perpustakaan dan Cerita-cerita LainnyaWhere stories live. Discover now