27

725 44 0
                                    

27

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

27...🍃

MALIKI rasa sepanjang dia melihat Rafeah beberapa hari ini, hari inilah Rafeah paling cantik. Baru dia boleh nampak ketulusan Rafeah di samping wajah polos itu. Pujian yang sedang tergedik-gedik dalam hatinya sekarang entah dek kerana kain telekung yang sedang dipakai Rafeah atau kerana matanya yang tiba-tiba menjadi rabun.

Rafeah nampak cantik. Tidak lagi terlihat imej menggiurkan di sebalik baju kurung yang dipakai Rafeah. Saat ini Maliki bagaikan ternampak Rafeah sewaktu masih sunti, Rafeah si gadis 13 tahun yang polos dan cantik dengan wajah yang masih naif.

Jika Rafeah rasa berdebar dan terpesona, perasaan Maliki lebih kurang sama dengan perasaan Rafeah. Geram dia melihat pipi Rafeah yang merona. Gatal tangannya mahu mencubit pipi Rafeah.

“Abang Maliki!”

Ah, suara ulat beluncas! Belakangnya ditepuk. Maliki lepaskan kepala Rafeah yang dipegang sebentar tadi.

“Hai, abang...” Bibir merah jambu itu tersenyum manis pada Maliki. Matanya curi mengintai gadis di sebelah Maliki.

“Hurm.” Maliki menggumam endah tak endah.

“Abang Maliki beli barang?” Dia jeling lagi Rafeah yang seperti patung cendana di sebelah Maliki.

Siapa perempuan ini? Kenapa nampak rapat benar dengan Maliki? Kekasih baru Maliki ke?

Rafeah yang berasa tidak selesa dengan kehadiran perempuan itu meninggalkan Maliki. Telekung yang dipilih Maliki dibawa ke kaunter. Ditinggalkan di situ kerana dia masih mahu melihat-lihat baju di dalam butik ini. Mana tahu jika ada yang berkenan, boleh dia tambah koleksi.

“Siapa tu?” Mustika yang geram diacuhkan Maliki bertanya lagi. Pandangan Maliki tak lepas memerhatikan ke mana saja langkah Rafeah. Seperti risau sangat kalau Rafeah tak nampak di matanya.

Mustika mencebik. Dalam hati timbul cemburu. Dengan perempuan itu tak malu bermesra, bila dengan dia endah tak endah saja. Lupakah Maliki dahulu dialah yang paling dipuja Maliki? Apa saja sanggup dilakukan Maliki untuknya. Kenapa sekarang Maliki nampak berubah benar?

Hati Maliki yang dahulu miliknya, benarkah kini sudah berpindah ke hati yang lain? Perempuan itukah?

“Abang!” Mustika mula merengek. Dia mencubit lengan Maliki. Tidak sekuat mana, namun cukup untuk menarik perhatian Maliki.

“Apa?” Maliki bertanya malas.

“Siapa tu?” Bibir Mustika menjuih ke arah Rafeah.

“Kenapa?”

“Ika nak tahulah. Girlfriend abang ka?”

“Kalau ya kenapa?”

“Kalau ya, Ika jealous!” Jawab Mustika tidak tahu malu.

Maliki mencemuh. Apa hak Mustika hendak cemburu? Dia bukan suami Mustika. Kenapa perangai Mustika apabila dengannya tidak sedikit pun menunjukkan sifat seorang perempuan yang sudah bersuami? Di mana letaknya maruah Mustika?

“Abang, cakaplah! Betui ka itu kekasih abang?” Mustika menghentak kakinya. Maliki memutar bola matanya bosan.

“Rafeah,” ucap Maliki sepatah.

“Siapa?” Dahi Mustika berkerut. Dia tidak mendengar dengan jelas perkataan yang diucapkan Maliki.

“Rafeah. Anak arwah Pak Bulat,” ucap Maliki dengan lebih jelas.

“Itu Rafeah? Anak arwah Pak Bulat? Anak Pak Bulat yang lari dan kerja jadi pelacur tu?” Soal Mustika agak kuat.

Mata Maliki mencerlung tajam. Dia mencari Rafeah di sebalik rak baju. Rafeah terhenti di sebuah rak yang menggantungkan baju kurung moden. Dia tersentak mendengar suara Mustika yang kuat. Diterjah malu apabila semua orang yang berada di dalam kedai itu memandang ke arahnya.

Begitukah yang difikirkan orang selama ini terhadapnya? Jadi bukan setakat Maliki yang anggap dia pelacur. Lebih ramai lagi rupanya. Patutlah Maliki benci padanya. Kena tinggal sebumbung dengan pelacur, siapa yang suka?

Hati Rafeah bagai direjam batu. Matanya yang tidak pernah memanas tanpa sebab, tiba-tiba saja digenangi air. Dia bukan makhluk TUHAN yang cepat terasa. Namun saat ini hanya disebabkan Mustika, wanita yang seperti ulat beluncas yang cuba menempel pada Maliki, Rafeah jadi terluka. Jauh lebih terluka daripada sewaktu Maliki panggil dia pelacur semalam.

“Jom balik.” Rafeah tidak sedar Maliki datang mencarinya. Maliki menarik tangannya, membawanya keluar dari kedai itu.

“Telekung...” Tangannya yang ditarik Maliki cuba direntap.

“Aku dah bayar. Dah, jom balik.”

Pandangan Rafeah jatuh pada plastik yang sedang dipegang Maliki. Dia masuk ke dalam kereta yang sudah dibukakan pintu oleh Maliki. Plastik telekung yang dihulurkan Maliki disambut lesu.

Hang ada nak singgah mana-mana lagi?” Soal Maliki sambil menghidupkan enjin kereta. Rafeah menggeleng tanpa suara.

Dia memandang ke luar. Air mata yang sibuk mahu menitis ditahan supaya tidak jatuh ke pipi. Dia malu mahu memandang Maliki. Sesekali dia seperti dapat merasakan Maliki mengerlingnya, dia tidak berani mencari tahu. Dia juga tidak mahu Maliki perasan matanya merah.

DOSA Yang Bernama RAFEAH Where stories live. Discover now