08

1.3K 102 5
                                    

08

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

08...🍃

“Perempuan ni siapa, tok?”

“Eh, hang ni! Dari tadi tok duk sebut nama Feya ni, hang boleh duk tanya nama dia lagi? Hang dengar ke tak tok sembang tadi? Fikiran hang merayap ke mana?” Su Timah tergeleng.

Maliki tak menjawab. Direnung muka Rafeah. Diam-diam hujung bibirnya menyenget, sinis.

“Siapa tok?”

“Feya ni anak Pak Bulat. Takkan hang dah lupa. Rafeah, adik Orked. Adik arwah Amsyar.” Sekali lagi nama Amsyar disebut. Ketika itu Rafeah rasa seperti ada seseorang sedang menumbuk dadanya. Jantungnya bagai disepit supaya tidak dapat bernafas.

Maliki kerutkan dahi. Dia mengangkat alisnya sebelah.

“Anak Pak Bulat yang lari dari rumah dulu tu?” Dia sengaja, berharap Rafeah akan tersedak. Bolehlah Maliki padankan muka Rafeah.

Kalau Rafeah sedang minum atau makan, nescaya Rafeah akan tersedak parah. Tetapi tidak. Rafeah hanya memegang karipapnya. Tahankan rasa yang makin menyesakkan dadanya.

Kalau Maliki boleh, dia lagilah boleh berlakon. Wajahnya yang tertunduk diangkat lalu Maliki dipandang. Nampak sangat pandangan Maliki adalah pandangan menghina.

Kau tak suka aku? Kau ingat aku suka kau ke, jantan!

Kalaulah dia boleh hamburkan kata-kata kesat ke muka Maliki. Celakakan Maliki dengan segenap kekuatan suara yang dia miliki. Kalaulah dia boleh terkam dan cakar-cakar muka Maliki sampai dah tak rupa orang. Kalaulah!

Susah Rafeah hendak kawal amarahnya. Sudah lama dia tak amalkan adab dan susila dalam kehidupannya. Hanya kerana tak mahu goreskan hati Su Timah, dia terpaksa menahan diri. Su Timah masih dihormati. Bagaimanapun orang tua itu suatu ketika dahulu pernah menyayanginya seperti cucu sendiri.

Maliki membalas tatapan Rafeah dengan pandangan tidak bersahabat. Pandangan itu ditunjukkan dengan jelas, langsung tak diselindungkan. Dah kenyataan dia tak suka Rafeah, buat apa hendak berlagak suka?

“Maliki.” Su Timah menegur Maliki.

Kenapa dengan Maliki pagi ini? Apakah kerana kewujudan Rafeah?

“Maaf, tok. Maliki dah kenyang!”

Maliki pantas bangun. Meninggalkan Su Timah yang hanya mampu menggelengkan kepala.

Rafeah ketapkan gigi dalam diam menahan amarah. Lalu Rafeah pasang muka selenga. Celaka! Maliki celaka!

“Maafkan Maliki ya Feya? Mulutnya memang celopar. Selalu tak bertapis,” ucap Su Timah tidak enak hati.

Su Timah sedapkan hati Rafeah dengan mengata cucu sendiri. Hakikatnya Maliki bukan seperti itu.

Hati tuanya seakan mampu menebak. Biar apa pun alasan Maliki, tidak sepatutnya Maliki mengungkit tentang hal itu. Tidak setelah sekian tahun hal itu menjadi sejarah.

Sejarah yang telah berlalu itu jika diungkit hanya menambahkan luka. Tujuh tahun yang tak mungkin kembali itu, mencoretkan banyak tragedi. Su Timah sendiri tak mahu ingat. Apatah lagi Rafeah yang menjadi penyebab.

Rafeah memaksakan sebuah senyum di bibir. “Tak apa, Su. Tak ada yang salah dengan kenyataan itu. Ini memang Rafeah anak Pak Bulat yang lari dari rumah dulu.”

Rafeah menggigit karipap di tangan. Dia cuba menyerap rasa karipap berinti kentang dan daging di dalam mulut.

Tidak ada yang salah dengan rasa karipap itu. Rafeah mengakui dalam keadaan tekaknya tidak berupaya menelan, karipap itu tetap terasa sedap. Su Timah masih juara memasak di hatinya. Emak pun kalah kalau bertanding dengan Su Timah.

“Feya.”

Senyum segaris terbit di bibir. Rafeah suka apabila Su Timah memanggilnya seperti itu. Kebanyakan ahli keluarganya suka memanggilnya dengan nama Peah kerana bagi mereka nama itu lebih sesuai dengan Rafeah yang comot.

Rafeah selalu berharap namanya bukan Rafeah. Nama itu tidak ada nilai komersial langsung. Kalaulah dia jadi artis pada era ini, pasti dia akan diketawakan orang. Dia berharap jika masa boleh diundurkan, emak dan bapaknya memilih nama yang lebih glamor bukannya nama Rafeah lantaran ibunya terlalu meminati penyanyi Rafeah Buang. Minatkan artis, anak yang menjadi mangsa.

Disebabkan tidak sukakan namanya sendiri, Rafeah sering protes setiap kali ada yang memanggil nama penuhnya. Tidak memanggil nama penuh, mereka wujudkan pula nama timangan iaitu Peah. Huh, nama itu lebih buruk lagi!

“Feya okey tak?”

“Feya okey, Su.”

Su Timah menarik nafas. Tidak boleh dikatakan sebagai nafas lega kerana keruh wajah Rafeah memberitahu hatinya tidak sekata dengan luahan bibirnya. Rafeah pasti tersinggung walaupun tidak diberitahu.

“Kalau betul Feya okey...” Su Timah ambil pinggan kosong, sesenduk mi goreng diletakkan ke dalam pinggan.

“Habiskan mi ni. Kalau habis baru Su percaya Feya okey.” Su Timah memaksa Rafeah makan. Dia meletakkan pinggan tersebut betul-betul di hadapan Rafeah.

Rafeah merenung mi di dalam pinggan. Bukan dia tidak lapar. Sungguh dia lapar. Dia sejenis manusia yang suka makan banyak. Dia juga tidak akan menolak rezeki. Dia selalu mengamalkan pepatah, ‘rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.’ Namun, untuk pagi ini Rafeah benar-benar tidak berselera makan. Kehadirannya yang tidak dialu-alukan dan keceloparan mulut Maliki membantutkan seleranya.

Berapa orang Maliki lagi yang akan Rafeah jumpa selepas ini? Betahkah Rafeah terus di sini? Baru satu hari, hati Rafeah sudah meronta-ronta ingin pulang ke bandar. Sekurang-kurangnya di sana dia dilayan seperti puteri. Tidak ada makhluk yang berani menghakiminya. Mereka semua memujanya.

“Su tak makan sekali?” Rafeah bertanya setelah melihat Su Timah hanya menatapnya. Su Timah senyum lembut.

“Sekejap lagi. Su biasa makan pukul 10:00. Waktu pagi macam ni Su minum kopi dulu,” terang Su Timah.

Rafeah melihat cawan Su Timah yang sudah kosong. Kemudian Rafeah perhatikan perbuatan Su Timah selanjutnya. Su Timah mengambil sebuah beg kecil serupa pouch lalu mengeluarkan seberkas kecil rokok daun.

Dia menahan senyum melihat Su Timah ralit menggulung rokok daun yang disumbat tembakau. Rafeah baru teringat sekarang, Su Timah memang seorang perokok. Samar-samar Rafeah teringatkan Su Timah yang sering dimarahi oleh arwah Pak Cik Hamid, menantunya kerana menghabiskan rokok mahalnya.

Su Timah mencucuh rokok daun yang siap digulung. Dia tersengih kepada Rafeah.

“Tua-tua ni hisap rokok daun aje. Anak cucu marah Su hisap Dunhill. Cepat mati kata demo. Banyak bahan kimia.” Su Timah tertawa kecil selepas itu. Rafeah hanya balas dengan senyuman.

Setelah itu tiada lagi perbualan. Su Timah ralit dengan rokok daun dan asap. Sementara Rafeah pula berusaha menghabiskan mi gorengnya.

Tak siapa tahu pelbagai persoalan bermain di fikiran dua orang wanita berlainan generasi itu. Mereka tahu ada hutang yang perlu dilangsaikan. Ada tagihan yang perlu dijelaskan.

Mereka memilih diam. Bersoal jawab di hadapan rezeki bukanlah sesuatu yang benar. Selera yang terbantut akan terus mati. Setidaknya Rafeah tidak akan memuntahkan kembali mi gorengnya setelah mendengar hikayat dongeng yang bakal didendangkan Su Timah.

DOSA Yang Bernama RAFEAH Where stories live. Discover now