20

829 74 6
                                    

20

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

20...🍃

IKUT Su pi surau sat lagi?” Soal Su Timah sambil duduk membetulkan urat. Jam pada waktu itu menunjukkan pukul 7:00 petang. Dia sudah mandi, tunggu waktu mahu ke surau. Jalan kaki saja kerana dia mahu ambil berkat perjalanannya ke surau. Bukan jauh mana surau dengan rumahnya. Kalau berjalan kaki di malam hari, perjalanan itu tidak akan terasa kerana malam hari lebih dingin. Tidak ada matahari yang cuba membakar kulit.

Rafeah belek kukunya yang tidak berwarna. Kesemua kuku jari tangannya sudah dipotong pendek. Dia juga telah mencuci pewarna kuku yang dipakainya. Dalam hati dia berharap Su Timah tidak perasankan warna merah kukunya sewaktu dia mula-mula sampai ke sini.

“Tak ikutlah, Su. Feya baru period.”

Hang tak dak senggugut dah?” Su Timah teringat dahulu Rafeah kalau kena senggugut kecoh sampai ke rumahnya. Panik Siti Salamah bercerita macam Rafeah tak pernah datang bulan.

“Ada juga. Tak kuat macam dulu dah.”

“Tak apalah kalau macam tu. Duduk kat rumah molek-molek. Kalau hang nak makan jangan segan- segan. Masuk aja dapur, hang buka tutup periuk, buka tudung saji. Semua dah ada. Kalau nak makan buah, dalam peti ais ada,” pesan Su Timah.

“Su pergi surau naik apa? Pukul berapa?”

Nok gi dah kejap lagi. Jalan kaki ja. Maliki pun ikut sekali. Tapi dia naik motor. Malas Su ikut dia naik motor. Jalan kaki sedak lagi.” Rafeah hanya mengangguk sebagai reaksi kepada bebelan Su Timah.

“Pergilah mandi dulu. Nak maghrib dah ni.”

Rafeah angguk juga.

“Feya masuk bilik dulu, Su.” Sopan suara Rafeah meminta izin.

“Hurm... yalah.”

Rafeah meninggalkan Su Timah seorang diri di ruang tamu. Ketika dia sampai di pintu bilik, Maliki muncul dari dapur. Lelaki itu memakai baju Melayu warna biru muda dan berkain pelekat.

Segak pula Maliki malam ini. Hati Rafeah berdebar-debar menatap Maliki yang tak endah kepadanya. Melintasi pintu biliknya, Maliki berpaling hanya untuk menjelingnya tajam.

Huh, pujian Rafeah untuk Maliki bertempiaran lari. Rafeah tarik semula puji-pujiannya untuk Maliki. Sebelum masuk ke dalam bilik dia sempat mencebik pada Maliki.

“Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Hang ingat aku hadap tengok jantan muka tengin?” Pantun dua kerat Rafeah hancur lebur. Pintu bilik ditutup rapat. Dia berdiri di belakang pintu sambil mengepal tangan.

Rafeah berbaring di atas katil. Sebelum berbaring, dia mengambil dahulu telefon pintarnya. Mungkin nanti dia akan menghidupkan semula telefonnya. Pasti ramai yang mencarinya. Nanti dahululah, dia mahu baring sebentar.

Wajah Maliki muncul, menari-nari di ruang matanya. Maliki pada usia 19 tahun, sepuluh tahun yang lepas.

“Masuklah.”

Rafeah sedang menonton televisyen, tergesa- gesa berlari ke muka pintu. Dia terdengar suara abang longnya. Abang long dah balik?

Yeay! Yeay! Abang long dah balik!”

Di muka pintu itu Rafeah 13 tahun yang terlalu gembira dengan kepulangan abang sulungnya terjerit sambil melompat-lompat. Perbuatannya terhenti apabila dia baru perasan Amsyar tidak keseorangan. Di sebelah Amsyar ada seorang remaja lelaki sedang memegang sebelah kasut. Terkebil-kebil mata remaja lelaki itu menatap Rafeah.

“Awat loncat-loncat macam beruk, adik? Malu dekat kawan abang long ni,” tegur Amsyar pada adik bongsunya yang terpaku menatap mereka.

Rafeah yang malu kerana tidak sedar terdapat orang lain bersama abangnya, sepantas kilat melarikan diri masuk ke dalam bilik dengan muka merah padam.

Malunya! Mana dia nak letak muka?

“Abang pun! Awat tak bagi tahu bawak kawan balik. Sapa tu? Segaknya... Macam pernah tengoklah muka dia."

Rafeah membuka pintu biliknya sedikit. Dia mengintai ke luar bilik, di ruang tamu. Mujur pintu biliknya tepat menghadap ruang tamu. Amsyar dan kawannya itu sudah duduk di atas sofa.

“Adik bongsu aku. Takkan hang dah lupa?” Dia mendengar suara Amsyar.

“Peah? Wah, dah besar adik kau. Tak sangka aku!” Kawan abangnya membalas.

“Eh, adik aku sebaya dengan adik hang kan! Kalau adik hang Chacha dah besar, takkan Rafeah kecik lagi. Akai ada ka?” Tempelak abang longnya pula.

Dia sebaya dengan adik lelaki itu? Chacha? Itu abang Chacha? Budak lelaki segak, kawan abang long itu abang Chacha? Abang Chacha yang tak pernah lekat kat rumah? Yang suka sangat masuk asrama tu ka?

Rafeah menutup semula pintu biliknya. Takut dia hendak mencuri dengar lagi. Nanti Amsyar perasan pula perbuatannya.

Lelaki itu abang Chacha? Chacha ada berapa orang abang? Satu, dua, tiga?

Eh, abang Chacha bukan ke ada seorang saja? Rafeah baru ingat itulah satu-satunya abang yang Chacha ada. Abang Chacha itu memang jarang dilihat kerana dahulu lelaki itu bersekolah di asrama penuh.

Maliki?

Aih, segaknya abang Chacha! Berdebar-debar hati remaja Rafeah melihatnya. Dup dap dup dap bunyi jantung Rafeah.

Rafeah pegang dadanya. Awat jantung dia tak mahu berhenti berdegup laju. Nafas Rafeah terengah-engah. Kenapa dengan dia? Seraut wajah Maliki ketika berusia 19 tahun semakin terbayang-bayang di ruang mata Rafeah, si sunti 13 tahun.

Ya ALLAH, gatainya dia!

DOSA Yang Bernama RAFEAH Where stories live. Discover now