Part 28 - Kau Tak Pernah Jauh

1.6K 87 15
                                    

Hari ini Rafika dan Anis ke rumah Azam, memenuhi jemputan kenduri aqiqah dan doa selamat anak adiknya yang baru lahir.

Rafika yang pada awalnya memilih untuk tinggal di rumah sahaja terpaksa turut serta selepas didesak Anis. Dia akur dengan pujuk rayu Anis yang meminta ditemani. Anis segan jika pergi sendiri tanpa teman. Tambahan pula ini kali pertama berjumpa keluarga Azam setelah mereka serius berhubungan.

*****

Meriah sungguh majlis merai si kecil. Buaian dihias bak pelamin indah. Si kecil lena dalam ayunan diiringi nyanyian selawat dan kesyukuran.

Majlis diikuti dengan acara bertahnik dan memotong sedikit rambut si kecil. Kelihatan wajah gembira ayah dan ibu yang dihujani ucapan tahniah saudara mara dan rakan taulan yang berkunjung. Sesekali si kecil kelihatan terganggu bila nyenyaknya dicuit tetamu yang hadir. Semuanya tidak mahu melepas peluang melihat wajah suci yang membawa bauan dari syurga itu.

Rafika hanya melihat dari jauh turut menumpang kegembiraan. Senyuman halus tidak lekang dari bibirnya. Dia juga menunggu peluang untuk melihat si kecil dari dekat.

Anis entah di mana, mungkin sedang sibuk ditemuduga keluarga Azam. Perlahan-lahan Rafika mendekati setelah melihat tiada lagi tetamu yang mengerumun buaian si kecil. Hanya tinggal si ibu yang menemani anaknya.

"Assalamualaikum" perlahan salam diberi tidak mahu mengejutkan si ibu yang sedang ralit melihat anaknya lena.

"Waalaikumussalam" balas si ibu.

"Nak tengok baby boleh?" tanya Rafika lembut.

"Eh boleh je, apa salahnya" lantas si ibu beralih memberi laluan pada Rafika.

"Saya Rafika, saya datang dengan Anis kawan Azam" beritahu Rafika sambil menghulurkan tangan bersalam dengan si ibu.

"Oh kawan kak Anis, saya Ainul" balas Ainul menyambuy huluran tangan Rafika.

"Baik sungguh dia, nyenyak tidur" kata Rafika merujuk kepada si comel di buaian.

Sebaik sahaja Rafika menghabiskan ayatnya, mata si kecil bulat terbuka.

"Maaf" kata Rafika takut-takut. Bimbang tindakannya tadi menyebabkan si kecil terganggu.

"Eh! Takpe, eloklah dia bangun. Dah lama sangat tidurnya lepas Ainul bagi susu tadi" kata Ainul, buai dihayun perlahan.

Rafika hanya melihat wajah mulus si kecil. Teringin hendak menyentuh tetapi risau tidak disenangi si ibu. Dia faham benar sikap melindung ibu ayah sekarang ini. Maklumlah penyakit mudah disebarkan dan berjangkit. Lebih-lebih lagi pada bayi dan anak kecil yang masih lemah tahap imunnya.

"Tak nak dukung ke?" tanya Ainul.

"Errr....boleh ke?" Rafika pula bertanya kerana terkejut dengan tawaran Ainul.

"Boleh, apa salahnya" balas Ainul. Dari tadi dia tengok Rafika memandang wajah bayinya tunak.

Ainul lantas mengangkat si kecil dari buaian dan menghulurkan kepada Rafika. Rafika menyambut dengan perasaan bercampur baur.

"Arissa Putri, duduk diam-diam dekat auntie ya sayang" Ainul memanggil lembut nama anaknya. Rafika disuruh duduk di kerusi sebelah buaian supaya lebih selesa menggendong anaknya.

"Sedap namanya" kata Rafika dengan mata yang masih tidak lepas memandang si kecil yang di dalam dakapan. Si kecil turut membalas pandangan seolah memahami.

"Tahniah Ainul, comel putri" tegur Effendi tiba-tiba yang entah dari mana datangnya.

"Abang fendi! Ingatkan tak datang tadi" kata Ainul kepada Effendi yang sedang berjalan ke arahnya.

Sesat Dalam RinduWhere stories live. Discover now