BAB 11

8.1K 606 288
                                    

"Barang-barang semua ada dah, adik?." Along menyoal sambil menyarungkan stokin di kakinya.

"Ada dah kot." Jawab Ammara dengan sedikit rasa gementar. Sandwich sardin yang ibu buat disuap perlahan ke dalam mulut. Anak-anak cacing di dalam perut tak kelaparan pagi ini. Baik sahaja mereka. Sandwich sedap hasil air tangan ibu tak berjaya buatkan cacing menjerit kesukaan. Cacing baloq liat hari ini.

"Janganlah gabra tak tentu pasal pula. Relax sudahlah. Macamlah tak pernah buat pembentangan tu." Along menasihat.

"Kali ni kena buat pembentangan depan ramai orang. Cuak dia lebih." Tapak tangan dah mula berpeluh sejuk. Adui, ini masih di rumah, macamana bila dah ada di dalam dewan kuliah nanti. Terus mati agaknya sebab jantung lari tinggalkan badan.

"Relax. Selawat banyak-banyak dalam hati tu. Along harap urusan adik hari ni berjalan dengan baik." Along bangun daripada duduk dan menghampiri Ammara. Tangan kanan disuakan kepada Ammara.

"Jangan bagi Syahira tu guna-gunakan adik lagi." Bisik along di tepi telinga Ammara selepas tangannya disalami oleh adik bongsu itu.

Ammara mengangguk perlahan. "Angah kasi tahu pada along eh?."

"Hurmmm... tak sangka eh perangai dia macam tu. Berani pula tu dia mai tidoq dekat  rumah kita." Berapi telinga dia bila Redza bercerita. Muka duit syiling sungguh.

"Itulah, adik pun tak sangka perangai dia macam tu." Jawab Ammara dengan nada yang lemah. Apalah nasib badan kena hadap manusia berperangai macam itu.

"Good luck, adik." Ucap along dengan sedikit senyuman. Ammara mengangguk dengan bibir merekah tersenyum.

"Laptop, pendrive dah ada dalam beg ka, adik?." Tanya ibu dengan sebekas tipuware di tangan. Bekal sanwich sardin untuk Ammara. Banyak diletaknya dalam tipuware sebab perasan Ammara makan sedikit sahaja ketika di meja makan tadi.

"Dah kot. Adik tak naklah pergi kolej hari ni, ibu. Adik rasa macam malaikat maut nak jumpa adik time pembentangan nanti."

"Malaikat maut hari-hari usha adik. Tak sabaq nak cabut nyawa adik tu. Jangan nak buat perangai. Tak payah buat teruk sangatlah. Bukannya apa pun, pembentangan ja kan?." Hairan dengan Ammara yang tiba-tiba berperangai begini. Selalunya tak macam ini pun.

"Tapi kalau tak buat elok-elok, kena ulang paper ni semester depan. Adik tak naklah macam tu. " Adu Ammara. Wajahnya jelas pamerkan apa rasa di dalam hati. Kerisauan di tahap mega.

"InsyaAllah, semuanya baik-baik sahaja. Ibu doakan, adik dan Syahira dipermudahkan segala urusan hari ini." Ucap Puan Shamsiah sambil mengusap perlahan kepala Ammara yang sudah berbalut dengan tudung. Serba merah anaknya hari ini.

'Sikit-sikit Syahira. Kalau ibu nak tau, pasai dialah adik kena buat pembentangan sekali lagi. Dia guna slideshow yang adik buat. Firaun sangat perangai dia.' Tapi itu semua terlahir di dalam hati sahaja. Ada ketul emas di dalam mulut agaknya sebab itu sukar nak ceritakan hal ini kepada ibu. Kalau cerita, ibu percaya ke?

"Yalah. Aminnn..." Tak ada mood nak terus bercakap. Rasa macam apa yang dia hafal mudah sangat tercicir keluar daripada otak bila mulut banyak berbicara. Harapnya slideshow yang bapak singa itu buat akan berikan banyak markah untuk dirinya. Dia tak guna laptop sendiri hari ini sebab laptop itu lembab nak mampus. Angah kata nanti petang baru angah nak buat laptopnya menjadi normal. Jadinya, hari ini dia usung laptop angah untuk ke kolej. Pandai angah jaga laptop. Dari zaman Politeknik kemudian sambung pula di UTM dan sekarang ini dah bekerja, masih guna laptop yang sama. Atau mungkin juga angah kedekut.

"Jom, adik. Kelas hari ni tamat pukul berapa?."

"Pukul 5.00 petang hari ni. Sepatutnya sampai pukul 3.00 petang ja tapi ada kelas ganti pula. Hari tu, lecturer tu MC." Beg yang terisi barang keperluan digalas di bahu. Bekal yang ibu letakkan di dalam beg kertas dipegang oleh tangan kiri.

4. Buah Hati? Tanya Dia !!Where stories live. Discover now