Sara dan Suri hanya tersengih. Yuhanis buat muka selamba.

"Sara dengan Suri dah habis round ke? Lepas ni nak pergi mana?" Ramah dan mesra sekali Omar bertanya. Yuhanis tak menjawab sebab Omar bertanya pada si kembar. Sara dan Suri saling mencuit. Salah seorang kena jadi jurucakap.

Yuhanis menghabiskan makanan, sambil mengetap gigi. Dia tak sepatutnya melayan mana-mana lelaki. Yuhanis tidak mahu mengundang dosa. Dirinya bukan single lagi walaupun keadaan rumah tangganya tidak seperti rumah tangga orang lain. Yuhanis perlu pandai menjaga maruah diri.

"Kak Hani kata nak pergi beli pakaian sukan." Lurus sahaja kata-kata Sara. Yuhanis risau jika lelaki itu mengekori mereka pula. Omar sekadar mengangguk sebagai jawapan.

"Terima kasih bagi abang tumpang meja. Taklah abang makan sorang-sorang."

Terkebil-kebil Sara dan Suri merenung Omar. Simpati agaknya.

"Selalu ke Kak Hani bawa Sara dan Suri makan KFC di sini? Mungkin kita boleh jumpa lagi. Lain kali abang pula yang belanja, okey?" Omar tersenyum sambil memandang Yuhanis di sisinya. Soalan ini diajukan kepada siapa, Yuhanis tidak pasti. Seperti bertanya pada Sara dan Suri, tapi mata lelaki itu memandang Yuhanis.

Sara dan Suri sudah terangguk-angguk. Tentu Sara dan Suri menyangka abang handsome adalah kenalan Yuhanis. Elok aje duduk dekat-dekat, macam dah kenal lama. Bercakap pun mesra aje. Sambil senyum-senyum lagi.

Yuhanis malas nak layan. Dalam kepalanya cuba merangka ayat-ayat sopan nak suruh Omar yang sudah habis makan segera beredar. Namun tak sempat sebab abang handsome telah meminta diri. Bagus! Goodbye. Tahu juga dia jaga diri.

Sedang mereka bersiap untuk bergerak keluar, seorang pelayan datang menjinjit dua beg plastik besar dengan logo KFC di kedua-dua belah tangan. Hadiah tanda terima kasih untuk si kembar sebab sudi berkongsi meja, kata pesanan penaja. Siapa lagi? Encik Omar empunya diri, melalui pelayan yang mewakili.

Aiseyman. Yuhanis pun dah lupa nak beli KFC untuk Yusri seperti yang dijanji. Dia tak boleh nak tolak sebab KFC itu bukan untuknya. Sara dan Suri sudah tersenyum-senyum gembira. Masing-masing memegang satu plastik KFC. Senyuman mereka lebar sampai ke telinga. Nampaknya tak jadilah mereka hendak meronda ke mana-mana lagi. KFC yang masih panas dah ajak balik cepat!

Selepas solat maghrib dan mengaji baru dua baris ayat, Yuhanis mengalah. Awal-awal dah tumbang sebab matanya sudah begitu berat sekali. Penat sampai tidak sempat hendak menghafal. Entah berapa lama dia terlena. Cuma tersedar ketika terdengar deringan telefon bimbitnya. Dia segera mencapai telefon yang terletak di atas meja solek. Tengah cas bateri.

"Mak dengan ayah sihat ke?" tanya Yuhanis selepas menjawab salam Puan Azmah.

"Kami dua-dua sihat. Saja mak telefon. Nak telefon siang tadi, risau pula Hani dengan Mizan ada hal ke mana-mana. Mak tak naklah kacau, bukan ada perkara mustahak pun."

"Alah mak, kan Hani dah pesan. Bila-bila mak nak cakap dengan Hani, mak call aje. Tak payah risau, baju kot ke, baju Melayu ke, kalau mak tengah pakai sari pun boleh call Hani. Hihihi," gurau Yuhanis.

"Isy budak ni, loyar buruk pula. Mak ni teringat yang mak minta Hani telefon Abang Nizam tu. Cuma mak nak pesan, Hani minta izin Mizan dulu. Dia suami Hani, mak tak mahu nanti dia salah sangka. Tak pasal-pasal dia cemburu pula."

Bercakap pun tidak, nak minta izin apanya? Lagi-lagilah cemburu. Cemburu amende? Suka pun tidak, bisik Yuhanis dalam hati.

"Okey, mak. Lain kali mak buat missed call aje, Hani akan call mak balik dengan segera. Ayah tengah buat apa, mak?" Yuhanis segera menukar tajuk. Tajuk yang jauh dari bab suami dan bab cemburu-cemburu. Nak elak dari sakit hati. Erk, sakit hati pasal suami tak cemburu? Hahaha, dia pun dah sama naik mereng macam Mr. Rock.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginWhere stories live. Discover now