Kalau Yuhanis tak masuk juga, bagaimana? Takkan dia nak duduk di luar sampai malam? Lambat-laun tentu dia terpaksa masuk juga.

Kalau Yuhanis masuk, aku nak buat apa, ya? Nak jerkah? Nak marah? Eh, gila apa nak marah-marah? Minah tu bukan urusan aku pun.

Kalau Yuhanis tegur, apa aku patut buat, eh? Buat tak tau? Atau jawab dan cakap baik-baik. Eh, mana boleh! Aku tak nak buat baik, nanti orang naik kepala.

Mizan bersoal jawab sendirian. Jawapannya tetap sama. Dia dah serik... Mizan tak mahu pisang berbuah dua kali. Lainlah jika dia seorang pekebun. Pasti dia suka jika semua pokok pisangnya boleh berbuah dua kali.

Mizan mencapai telefon bimbitnya yang berbunyi dari poket seluar. Matanya masih memerhati Yuhanis di luar pagar. Bilalah budak ni nak masuk? gerutu hati Mizan sambil menekan butang hijau tanpa melihat siapa pemanggilnya. Mungkin panggilan dari Sharif mengajaknya keluar. Tak pun panggilan dari Zulkifli.

"Helo," sapa Mizan acuh tak acuh dengan mata memandang tajam ke arah Yuhanis yang sedang mendekati pintu pagar. Haaa, tahu juga kau nak masuk ya?

"Hello to you too. Assalamualaikum, abang." Kedengaran suara manja di hujung talian.

Mizan terduduk tegak di atas sofa. Dia tak sangka. Dia tak jangka. Matanya nampak Yuhanis sudah melangkah ke halaman rumah! Mata di sana, telinga di sini.

Mizan terkedu. Mizan tak terkata. Salam pun dia tak jawab. Masih pandai bagi salam. Hmmm, baguslah. Itu yang terdetik dalam hati Mizan. Dia sempat melihat Yuhanis menutup pintu pagar. Siap kunci mangga lagi.

"Abang Mizan. Ini Suraya la." Suara manja itu mencecah gegendang telinga Mizan lagi. Berjela lanjutnya.

Begitu lembut dan manja sekali suara bekas isterinya. Mizan menggeleng-gelengkan kepalanya. Pandainya perempuan ini berlakon. Seperti tiada apa-apa sengketa antara mereka berdua. Begitu senang sekali dia melupakan kecurangan yang telah dilakukannya sehingga runtuh rumah tangga yang dibina atas nama cinta. Perhatian Mizan masih tertumpu kepada Yuhanis yang sudah berada di hadapan pintu rumah. Tengah buka kasut.

"Yes? So, what?" tanya Mizan hambar. Tiada minat. Matanya masih terarah kepada Yuhanis yang sedang menjinjit kasutnya pula sekarang. Yuhanis kelihatan melangkah masuk dengan tertunduk-tunduk seperti cuba melarikan mata dari memandangnya.

Tiba-tiba telefon Yuhanis pula berbunyi. Dia menggagau telefon bimbitnya dalam beg galas. Matanya turut sama buat-buat sibuk mencari. Sambil menjawab telefon, Yuhanis melangkah masuk ke dalam rumah. Dia sempat mencuri pandang sekilas ke arah Mr. Rock dengan hujung matanya. Mr. Rock juga sedang bercakap di telefon. Leganya!

Yuhanis segera mengambil peluang ini untuk melarikan diri masuk ke biliknya. Dia cuba berlagak biasa. Kakinya melangkah panjang dan laju sekali. Bukan Yuhanis tidak mahu menyapa Mr. Rock Cuma dia tidak tahu bagaimana. Bukan dia tidak mahu berbahasa cuma dia takut tersilap langkah. Nanti dituduh menggatal pula.

"Waalaikumussalam. Hani sihat. Terima kasih. Ada di mana ni?" Yuhanis menjawab perlahan salam yang diberi sambil melangkah ke ruang tamu. Terpaksa pula melintas di hadapan Mr. Rock. Kecut perut Yuhanis dibuatnya.

Di sana terpaksa, di sini pula rasa terseksa. Eee, entah apa-apa, gerutu hati Yuhanis.

Wrong timing betullah Abang Nizam ni, rungut Yuhanis. Namun panggilan ini ada juga eloknya. Blessing in disguise.

Kalau tak jawab, nanti Nizam akan berasa hati. Selalunya Nizam akan bertanya dan menyangka yang bukan-bukan. Lebih baik jawab aje, kurang sikit masalah. Yuhanis cuba mendengar cerita Nizam hari ni. Lagipun dia perlu buat-buat sibuk ketika ini, untuk mengelak dari masalah juga. Sibuk bercakap di telefon, boleh buat-buat tak nampak Mr. Rock.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginWhere stories live. Discover now