Gemini

47 6 0
                                    

♪Music playlist♪ : http://www.youtube.com/playlist?list=PLmbmRvDWL-CxXYbhX4CxoMMdsz1ha2FtT

Malam sambutan Chuseok membawa kembali ingatan Jimin kepada malam dia, Sehun dan Luhan pergi ke Taman Tema Mini Pascol beberapa bulan lepas. Hanya malam ini dia ditemani oleh orang yang berbeza. Mereka tidak ke taman tema itu kerana tempat itu telah pun ditutup dan pesta Chuseok ini diadakan dekat dengan rumah api yang letaknya di hujung Tanjung Ando. Zitao dan Hanmi tetap bersemangat mengunjungi gerai-gerai karnival, mencuba segala makanan dan permainan yang ada. Zitao-yang berpakaian kasual walaupun telah dipaksa agar sama-sama memakai hanbok- memenangi banyak hadiah hasil percubaannya dalam pelbagai permainan. Ada anak patung, snek, gula-gula dan yang paling melucukan Zitao telah memenangi set periuk belanga.

"Makcik nak masak lauk kenduri ke malam ni?" Ejek Hanmi lalu ketawa terbahak-bahak melihatkan Zitao yang sudah mula merah padam mukanya.

"Kau diam kalau kau tak nak aku hempuk muka kau dengan bontot periuk ni!" Marah Zitao.

Menjelang tengah malam, setelah tangan masing-masing penuh membawakan hadiah kemenangan Zitao, Hanmi mengajak mereka pulang. Jimin tidak menolak meskipun Zitao merungut kerana terlepas peluang untuk melihat pertunjukan bunga api tepat pukul 12 tengah malam nanti. Namun, Zitao tidak jadi memprotes memandangkan bapa Hanmi garang orangnya dan Zitao tidak mahu tidur di luar rumah pada tahun baru. Jimin sengaja mengetawakannya kuat-kuat, memerli Zitao sebagai seorang lelaki pengecut.

Zitao memandu kereta Hanmi disebabkan gadis itu mengadu lenguh di kaki. Walaupun Zitao merengus dengan mengatakan Hanmi mengada-ngada, dia tetap juga menggantikan tempat Hanmi sebagai pemandu. Jimin duduk di belakang, di sebelahnya ada beberapa buah anak patung dan snek yang tidak muat dimasukkan ke dalam bonet dek set periuk belanga Zitao.

Jam pada dashboard Jimin curi pandang seketika. 11.20 malam. Ini bermakna sudah hampir dua jam dia menanti Luhan dan Sehun. Sehinggakan dia boleh terlupa akan mereka berdua setelah menghabiskan masa bersama Hanmi dan Zitao.

Kalau kitorang tak datang, kau jangan tunggu.

Dengusan nafas lemah terlepas. Kalau Sehun dah berkata begitu, mengapa pula dia perlu susah hati?

Walaupun begitu, hati kecil Jimin berbisik bahawa ada sesuatu yang tidak kena berkenaan pasangan kembar itu. Lagipun dia masih tertanya-tanya sebab musabab kepulangan mereka berdua sejak dibangkitkan oleh Yixing tempoh hari. Terlalu banyak persoalan yang belum ditemukan jawapannya. Dikeluarkan telefon bimbit daripada beg tangan kecilnya lalu dia lantas mencari log panggilan. Ada nama Luhan dan Sehun di senarai panggilan teratas. Dia masih berkira-kira sama ada hendak membuat panggilan atau tidak.

Kalau kitorang tak datang, kau jangan tunggu.

Suara Sehun terngiang-ngiang di minda. Lantas Jimin membatalkan niatnya untuk pulang ke rumah. Terus dia matikan telefon bimbitnya sebelum digenggam.

"Hanmi, nanti turunkan aku dekat depan kedai pakcik Song." Pinta Jimin.

"Eh, kenapa?" Daripada cermin pandang belakang, dapat dilihat wajah Hanmi yang mula kebingungan. Zitao menjengah ke belakang, memandang Jimin dengan bibir yang membentuk garis lurus.

"Aku nak singgah beli barang kejap." Kata Jimin memberikan alasan. Mujurlah kedai pakcik Song tutup agak lewat. Hanmi dan Zitao tidak mempersoalkan langsung alasannya itu. Ini melegakan sedikit hati Jimin. Sebab dia bukan hendak pergi ke kedai itu pun sebenarnya.

Hanmi menurunkan Jimin seperti yang diminta. Selepas mengucapkan selamat tahun baru, Jimin menunggu kelibat kereta putih Hanmi lesap dari pandangan terlebih dahulu. Kemudian, dia beredar, mengabaikan kedai kecil di belakangnya. Langkah diatur lemah menuju ke tempat kegemarannya.

[C] 🌈 Di Hujung Pelangi | LH/OSHWhere stories live. Discover now