Janji

55 8 0
                                    

♪Music playlist♪ : http://www.youtube.com/playlist?list=PLmbmRvDWL-CxXYbhX4CxoMMdsz1ha2FtT

Tinggal di pekan nelayan telah membuatkan Jimin cukup sinonim dengan udara masin laut dan bau hanyir ikan. Pada hari-hari tertentu, dia akan pulang dengan hasil tangkapan. Sejak lima tahun lepas, bapanya telah menceburi bidang tangkapan ikan menggunakan peralatan yang lebih moden. Kini bapanya tidak lagi menangkap ikan di kawasan dekat. Sebaliknya dia pergi menangkap ikan di laut dalam bersama-sama rakan nelayan lain.

Sudah genap dua bulan bapanya berada di laut dan biasanya pada hujung-hujung bulan begini bapanya akan pulang. Tidak sabar rasanya untuk Jimin menyambut kepulangan bapanya.

Ombak tenang menghempas batu-batu pantai. Sesekali air masin tersebut berpercikan membasahi buku lali Jimin. Bayu mengelus rambutnya yang tidak berikat. Terasa kehangatan mentari petang meskipun cahayanya tidak menyilaukan mata. Kedengaran suara-suara para nelayan berbasi-basa dengan penduduk kampung dan peraih bagi menjenguk hasil tangkapan. Jimin masih duduk jauh daripada mereka, menghayati ketenangan di depan mata.

Tidak semena-mena fikiran Jimin terarah kepada mendiang ibunya. Dulu, ketika dia masih kecil, ibunya selalu membawa dia ke jeti yang telah menjadi tempat kegemarannya. Mereka akan memerhatikan kedamaian laut lepas dikala menantikan kepulangan si bapa. Biasanya akan ada sebuah dua kapal kecil atau feri yang merentasi lautan di kejauhan dan Jimin dengan seronoknya meloncat-loncat gembira. Tangan melambai-lambai ke arah kapal dan feri.

Jimin tergelak kecil. Sebabnya, setiap kali kalau Jimin berbuat begitu, ibunya akan terus mendukung lalu mencium pipinya sejurus mengusap kepalanya.
Oh, betapa rindunya Jimin kepada ibunya.

Setiap kali juga, kalau ada kapal terbang yang merentasi ruang angkasa, dia mesti akan mendongak melihatnya. Dia turut akan melompat-lompat dan melambai-lambai ceria. Oleh sebab bunyi enjin yang terlalu kuat dan bingit, Jimin akan menjerit sekuat hati.

“Mak, kapal terbang tu nak pergi mana?” Tanya Jimin menarik hujung baju ibunya. Ibunya membongkok sedikit lalu menghadiahkannya sebuah senyuman.

“Kapal terbang tu nak pergi bandar Seoul.” Jawab ibunya ringkas sebelum dia diangkat untuk dirangkul.

“Dekat bandar best tak?” Tanyanya lurus.

Ibunya terdiam sekejap, memerhatikan anak mata Jimin yang sama warnanya dengan si bapa. Warna hazel itulah yang membuatkan ibunya tertarik dengan bapanya, Junmyeon.

“Seronok sangat.” Senyuman ibunya melembut. Rambutnya diusap lagi.

Semestinya itulah jawapan ibunya. Kerana ibunya sendiri bukanlah berasal dari situ. Ibunya dahulu seorang wanita berkerjaya yang asalnya dari Seoul. Dia seorang guru dan penulis yang ditukarkan ke pekan tersebut untuk mengajar di sekolah di situ. Beberapa bulan kemudian, dia dipertemukan dengan bapanya dengan bapanya dan mereka berkahwin.

Ayahnya selalu bercerita yang ketika pertemuan pertama mereka, ibunya kelihatan sangat cantik. Walaupun penampilannya seperti wanita di bandar, dia tidak kekok untuk bergaul mesra dengan orang-orang di pekan itu. Kata ayahnya lagi, mereka jatuh cinta pandang pertama saat mereka bertemu antara satu sama lain di jeti nelayan. Ayahnya ketika itu sedang membantu datuknya mengangkat jala dan kebetulan ibunya pula sedang berbual dengan penjual ikan.

Perkahwinan mereka sememangnya mendapat tentangan keras daripada keluarga si ibu yang terdiri daripada golongan korporat. Akibatnya, ibu Jimin tidak lagi meninggalkan pekan itu dan dia juga berjanji tidak akan pulang ke Seoul.

Semuanya kedengaran tragik. Lebih-lebih lagi ketika ibunya meninggal dunia saat Jimin berusia 13 tahun. Penyakit radang paru-paru yang dihidapi tidak dapat lagi diubati. Entahlah kalau keluarga ibunya tahu atau tidak mengenai hal ini. Kalau tahu pun, bukannya mereka ambil kisah.

[C] 🌈 Di Hujung Pelangi | LH/OSHWhere stories live. Discover now