BAB 8

27.4K 271 10
                                    

Majlis kenduri perlahwinanku telah berlangsung dengan sempurna, meriah dan selamat meskipun serba sederhana. Ramai keluargaku, saudara mara, jiran tertangga, rakan taulan dan kenalan telah hadir ke majlis itu. Keluargaku terutamanya Abah kelihatan amat gembira dengan kehadiran ramai tetamu. Aku dan Abang Fiqre masih dalam persalinan pakaian pengantin yang berwarna royal blue meskipun ketika itu jam telah menunjukkan ke angka 6.00 petang. Aku bersama suamiku tidak lelah untuk melayani kesemua tetamu yang hadir terutamanya rakan-rakan terdekat, yang lazimnya permintaan mereka adalah ingin bergambar dengan kami. Tidak mengapalah, layankan sahaja permintaan mereka. Sekali untuk seumur hidup, Insyaallah.

Benak fikiranku tergambar kembali memori semalam semasa majlis membatalkan air sembahyang. Tergelak aku sendiri apabila mengingati peristiwa semalam itu. Itulah kali pertama aku bersentuhan kulit tanpa beralas buat kali pertamanya. Majlis itu tidak diadakan di masjid sebaliknya dibuat di bilik tidur pengantin di rumahku sahaja. Selama ini boleh dikatakan aku amat jarang bersentuhan dengan mana-mana lelaki yang bukannya mahram kecuali dalam keadaan yang benar-benar memaksa. Sedangkan dengan Abahku sendiri pun, aku jarang berpegangan tangan.

"Faqeeha, sekarang ini Faqeeha telah pun menjadi isteri Abang yang sah. Jadi, izinkan Abang mengalungkan rantai leher ini sebagai hadiah mas kahwin daripada Abang untuk Faqeeha."

Abang Fiqre mengucapkannya dengan penuh santun dan lemah-lembut. Aku yang hanya menunduk dari tadi hanya mengangguk perlahan. Meskipun aku telah beberapa kali bertemu dengan Abang Fiqre tetapi perasaan malu masih menebal dalam diriku. Rasanya, wajahku pastinya sedang kemerah-merahan sekarang ini. Abang Fiqre membuka cangkuk rantai leher emas yang mempunyai kalung bertahtakan berlian berbentuk huruf 'F' lalu dikalungkan ke leherku.

Seusai itu, ketika Abang Fiqre menghulurkan tangan untuk bersalaman denganku, aku menjadi sedikit teragak-agak untuk menyambut salamnya. Tanganku dihulur tetapi bagaikan tidak bersungguh-sungguh kerana tanganku dihulur perlahan-lahan. Hatiku bagaikan berbelah-bahagi, fikiranku ingin menyambutnya tetapi hatiku berasa amat malu sekali. Tambahan pula pada ketika ini, ramai ahli keluarga dan rakan-rakanku yang ada bersama di bilik ini ingin merakamkan saat indah tersebut.

"Aduh, dia malu-malu pulak. Dengan suami sendiri pun nak malu ker? Cepat ler sikit salam dengan suami kau tu. Kami semua nak ambil gambar ni."

Usik Kak Ngah diiringi oleh hilaian tawa oleh tetamu yang ada di dalam bilik ketika itu. Akhirnya aku menyambut salam suamiku dan mencium tangannya dengan penuh ikhlas, hormat dan kasih-sayang. Suamiku pula meletakkan tangan kirinya di atas kepalaku lalu membacakan beberapa potong doa pendek. Sesudah itu pula, suamiku mengucup lembut dahiku dengan bibirnya yang sedikit basah. Keluarga dan rakan-rakanku tidak melepaskan peluang indah itu dengan mengambil gambar kami yang sedang bersalaman dan mencium dahi sebagai kenangan-kenangan untuk selama-lamanya.

"Ya Allah, betapa indahnya saat ini. Kau kekalkanlah kebahagiaan perkahwinan kami berdua sehingga kami menghembuskan nafas yang terakhir. Kau jadikanlah pasangan kami sebagai pasangan terakhir hidup kami di dunia ini."

Aku berdoa di dalam hati nuraniku ini bersama debaran dada yang bergoncang laju di kala Abang Fiqre mengucup dahiku. Setitis air mata penuh kesyukuran mengalir perlahan di hujung mataku. Semoga doaku ini mendapat perkenan daripada Allah. Amin.

----------------------------------

Jam telah menunjukkan ke angka 10.15 malam. Kebanyakan keluargaku masih membantu mengemaskan keadaan rumah serta peralatan kenduri yang telah digunakan pada siang tadi, ada juga yang telah tidur terutamanya anak-anak saudaraku, mungkin terlalu letih sebab banyak bermain. Maklumlah, jumpa ramai kawan-kawan yang sebaya, apa lagi, berlari dan melompat ke sini dan ke sanalah. Aku memindahkan segala saki baki lauk pauk majlis kenduri tadi dari periuk besar ke periuk yang lebih kecil manakala Abang Fiqre pula sedang menyusun meja dan kerusi yang terdapat di bawah khemah luar rumah.

Bimbinglah Aku SuamikuWhere stories live. Discover now