SI BERET BIRU MUDA

30 4 0
                                    

Farhan hanya mampu berdiri tegak ketika pesawat pengangkut khas tersebut perlahan-lahan mencecah ke bumi seperti seekor burung yang hinggap setelah melalui satu penerbangan panjang bahkan dia sendiri tidak tahu mahu menisbahkan rasa hatinya seperti apa tatkala itu.

Melalui ruang peninjau,beberapa buah kenderaan pengangkut mulai mendatangi pesawat tersebut dengan krew-krew darat pantas melakukan rutin tugas masing-masing sementara sebuah tangga yang lebar perlahan-lahan menjulur keluar daripada perut pesawat.

Lalu hanya dalam hitungan beberapa detik,puluhan susuk tubuh menapak perlahan menuruni tangga.Dengan pakaian seragam berwarna khaki,mafela dan berret biru muda-setiap batang tubuh itu sama sahaja dalam pandangan mata Farhan.Berjalan dalam satu kumpulan dengan hayunan langkah serentak dan seragam.

Lazim apabila difikirkan bahawa apa-apa sahaja jenis pakaian yang dikaitkan dengan pasukan keselamatan lalu dipakai pula oleh ramai orang pasti menimbulkan perasaan kagum yang tidak dapat ditahan-tahan.

Pakaian dan pergerakan yang seragam yang cukup terlatih ditambah dengan kaca mata hitam membuatkan jauh di sudut hati Farhan muncul desiran aneh yang sukar dijelaskan.Apatah lagi ketika melihat satu susuk tubuh melangkah ke arah tempatnya berdiri.Setapak demi setapak.

"Naii.."

Perlahan-lahan dia berundur ke belakang sebaik sahaja Naifa menenggelamkan batang tubuh ayahnya dalam satu pelukan yang cukup kejap selajur menciumi tangan dan dahi lelaki berusia itu berkali-kali.Melampiaskan rasa kerinduan selama belasan bulan tidak bersua muka.Kemudian kepada Kak Uya dan akhir sekali kepada Eric yang datang bersama isteri dan juga anak lelakinya itu.

Dan buat beberapa detik,Farhan tahu gadis tersebut menatapnya sekilas dari sebalik kaca mata hitam yang bertenggek pada batang hidungnya.Ucapan selamat pulang tenggelam dalam tenggorokannya sendiri dan tanpa ba bi bu,beg kanvas berceloreng yang diletakkan Naifa ke atas lantai itu diraihnya lalu dimuatkan ke dalam troli beroda.

"Ayah sengaja minta Farhan yang drive.Tak larat ayah nak memandu dari kampung.Eric pula tak dapat balik."

Sayup-sayup beberapa patah perkataan tersebut hinggap juga pada pendengaran Farhan yang mendahului mereka beberapa langkah di hadapan dan menyorong troli bermuatan beg kanvas berceloreng itu.

Farhan mendadak lupa dengan apa sahaja perkataan yang hendak disampaikannya  hatta hanya sekadar untuk memberikan salam sekalipun.Tiada angin yang bertiup menerbangkan daun-daun jauh sekali hujan renyai seperti dalam drama.Hanya anggukan sekilas dan lorekan senyum bernuansa formal sebagai balasan kepada kesudiannya menjadi pemandu bagi rombongan menyambut ketibaan pesawat pengangkut khas Tentera Udara Diraja Malaysia itu.

Satu sahaja yang berlegar dalam ruang fikirnya.Rasa bersyukur kerana Naifa selamat pergi dan selamat kembali walaupun jelas pada mata Farhan gadis tersebut jauh lebih kurus namun tampak tegap serta kulit yang juga lebih gelap.Walaupun semua itu adalah ciri yang amat bertentangan dengan seorang gadis,tetapi di mata Farhan itu adalah lambang dan kemegahan Naifa ketika berkhidmat untuk negara selama dua belas bulan di bumi Lubnan tersebut.Dan tidak semua memiliki nyali seperti yang dipunyai oleh Naifa.

Dua belas bulan yang dirasakan sangat panjang.Empat puluh lapan minggu bersamaan dengan tiga ratus tiga puluh enam hari.Lapan ribu enam puluh empat jam yang sentiasa membuatkan Farhan berharap semuanya hanya akan baik-baik sahaja sehingga bukan tidak pernah rakan-rakan karibnya itu mengatakan dia sudah hilang akal tetapi Farhan tidak pernah sama sekali mengasihani dirinya sendiri.

Selepas dua belas bulan,perduli apalah dia apa keputusan yang bakal diambil gadis tersebut kerana hanya dalam tempoh begitu dia adalah pemegang gegelung benang kepada sekeping layang-layang bernama Naifa Zahra.Kini,putus atau tidak benang tersebut,dia telah menyerahkan segala-galanya kepada takdir.

*                *               *

"Naii.."

Naifa tidak menoleh dan hanya mengerling sekilas raut wajah kakaknya melalui pantulan cermin di hadapannya ketika itu.Dengan rambut masih berlilit tuala,dia segera membukakan pintu ketika mendengar daun pintu diketuk beberapa kali.

"Saya tahu apa yang Kak Uya nak cakap.Tapi,nanti-nantilah tu.Saya masih penat ni."

"Sikit pun Naii tak kasihan ke dengan Farhan tu?"

"Saya tak ikat pun dia,kak.Dia bebas buat pilihan sementara saya tak ada."

"Akak tak pernah jumpa seorang pun yang lebih mementingkan diri daripada Naii,tau tidak? Farhan tu boleh saja pilih perempuan lain tapi dia tetap menunggu.Dialah yang menggantikan Naii semasa ketiadaan Naii di sini.Ingat sikit.Zaman sekarang ni,susah tau nak jumpa pemuda macam Farhan tu.Akak pun tak fahamlah apa sebenarnya yang Naii mahukan!"

"Kak.."

" Teruslah hidup dengan ego Naii tu.Akak nak tengok ke tahap mana ego tu boleh bawa Naii nanti."

Naii sudah hafal benar paten kelakuan kakaknya itu.Nah..benar bukan? Selepas membebelinya,Kak Uya keluar begitu sahaja dan Naii yang benar-benar mulai mengantuk itu serta-merta merebahkan dirinya ke atas permukaan katil.

Sungguh.Penatnya masih bersisa,fikiran sudah ditumpukkan dengan pertanyaan yang entah apa-apa.Baru beberapa jam dia menjejakkan kaki ke tanah air dan bukan masa yang tepat untuknya memikirkan hal tersebut.Bahkan esok malam,dia masih perlu menghadiri Mess Night yang diadakan khusus untuk meraikan kepulangan rombongan MALBAT kali itu.Penat sekali dirasakan fizikal dan mental.

"Tak apa-apakah Farhan balik malam-malam macam ni?"

Rasa haus yang merayapi kerongkongnya membuatkan Naii terpaksa juga mengheret kakinya menuruni tangga ke tingkat bawah.Malam masih awal tetapi kerana lelah,dia telah bersedia untuk masuk tidur walapun yang lain-lain masih jaga.Berbual-bual di ruang tamu dengan layar televisyen menyala terang.

"Tak apa,ayah haji.Naii boleh memandu nanti bila bertolak ke kampung.Sementara tu,ayah haji rehat-rehatlah dulu.Saya akan tengok-tengokkan rumah."

Naii memincing pandangan matanya dengan kening bertaut dari dalam kegelapan sebalik selekoh.Dari arah tempatnya berdiri,jelas pemuda itu sedang duduk bersila berhampiran kaki ayahnya dan kelihatan memicit-micit ruas betis sang ayah yang menapak ke atas permukaan lantai.

"Maafkan kami kalau Naii berkelakuan tidak wajar."

"Tak payah risaulah.Yang penting Naii dah balik dengan selamat.Biarkan dia berehat dulu.Dia masih penat tu."

"Habis tu.." Eric pula mencelah "Farhan tak penatkah?"

"Atau ayah su yang dah penat dengan saya ni?"

Gelak tawa antara tiga orang lelaki itu pecah sesama mereka tanpa mereka sedari Naii memerhatikan semuanya senyap-senyap.Bahkan ketika deruan enjin kereta Farhan kedengaran dari arah halaman hadapan lalu bergerak perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah satu setengah tingkat itu-dan entah mengapa dia betah memerhatikan kenderaan tersebut hilang lalu menyatu dengan kesuraman jalanraya.

Rasa mengantuk Naifa hilang mendadak membuatkan matanya terkebil-kebil sendiri.

*              *                *


My Dear LoserМесто, где живут истории. Откройте их для себя