FARHAN

104 9 1
                                    

"Mak Wok kata dia ada nampak Farhan di pasar pagi semalam."

Haih...
Mula lagilah kakak aku yang seorang ni! Naii sudah mengetap gigi.Rimas.

Kak Uya dengan Mak Wok memang sudah jadi sahabat agaknya. Mendengar nama itu disebutkan,tidak semena-mena darah Naii jadi panas.

Dia dan Farhan memang memiliki sejarah hitam yang kalau boleh tidak mahu Naii ingat semula. Suka hati dialah kalau ada yang menganggap dia seorang yang pendendam kerana tiap onar yang dilakukan Farhan terhadapnya memang sangat sukar dilupakan.

Di kampung mereka, tidak ada sesiapa yang tidak mengenali manusia bernama Muhammad  Farhan bin Haji Zainuddin itu.

Pahatkan nama itu baik-baik.Muhammad Farhan bin Haji Zainuddin!

Satu hal sahaja yang ingin Naii peringatkan. Jangan tertipu dengan nama yang berbunyi ala-ala Dai'e nusantara itu kerana hakikatnya dia tidak ubah seperti Sarip Dol Samseng Kampung Dusun!  Dan cara Kak Uya membunyikan nama itu lengkap dengan Idgham dan Qalqalah bagai membuatkan isi perut Naii tiba-tiba bergelojak.

Orang lain termasuk Kak Uya mungkin mengenalinya sebagai Muhammad Farhan anak kepada pasangan pesara guru itu tetapi sejarah hitam Naii dengannya tidak pernah mencatatkan namanya sebagai Farhan melainkan sebagai Pa'an- makhluk paling menyakitkan hati yang pernah seorang Naifa Zahra temui!

Walaupun sudah belasan tahun berlalu, insiden memalukan itu masih jelas dalam ingatan Naii.Hari di mana dia menghentam cop mohor di dahi Naii dengan tulisan Si Ulat Sagu !

Sudah tentu perkara pertama yang melintas di kepala setiap orang apabila membayangkan ulat sagu adalah satu makhluk berwarna putih yang merupakan larva kumbang sagu yang belum mengalami metamoforsis lengkap dalam kitaran hayatnya. Pendek-pendek. Gendut dan bergerak menggeliang-geliut .Berkulit lembut dan...

Ughhhhh!!

Apa signifikan serangga itu dengan Naii,dia sendiri tidak tahu. Salah Naiikah jika puluhan tahun silam dia merupakan salah seorang pelajar yang bersaiz sedikit lebih sihat daripada rakan sekelas yang lain?

Terus terang Naii katakan. Dengan saiz terlebih comel yang dikurniakan kepadanya dan gelaran yang nyata sekali membuatkan rasa rendah diri Naii naik mencanak itu membuatkan nama Muhammad Farhan menjadi suatu nama yang mendatangkan mimpi ngeri kepadanya.

Hanya kerana satu insiden pada suatu tengah hari yang panas-terik dan bagaikan saat paling tepat pula tayar basikal itu seakan-akan menyerah kepada beban berat yang dipanggulkkan kepadanya setiap hari membuatkan kedua-duanya mogok sekaligus.Leper seperti belon ditusuk jarum.

Pancit pula depan belakang dan kerana itu dia terpaksa menuntun basikal tersebut hampir 3 kilometer bersama dua puluh gantang rungutan serta beberapa gelen peluh bercampur lemak yang mencair.

Kalau nasib Naii hari tersebut ibarat sudah jatuh ditimpa tangga,nasibnya mendadak 2 kali ganda lagi teruk. Sudahlah ditimpa tangga, tangan pula terkena tahi ayam !

Dalam keadaan dia keletihan dan terdehidrasi di bawah panas malahan nyaris rasanya diserang strok haba, berdiri seperti tembok tepat di celah pagar yang separuh ditutup - di sanalah dia. Tegak menatap Naii dengan mata menyepet sambil mengepit sebuah fail pada tangan kiri. Naii kenal benar fail itu kerana ia adalah fail yang mencatatkan nasib buruk bagi pelajar yang dianggap menyalahi 1001 peraturan sekolah.

My Dear LoserWhere stories live. Discover now