KONFRONTASI

54 3 0
                                    

Naifa menatap kotak baldu di atas permukaan meja itu dengan pandangan nanar.Panas dingin dirasakan hingga ke hujung telinga dan segenap ruas jarinya juga menggeletar.Dengan wajah merah padam,dia terpaksa menggigit isi dalam pipinya bagi menahan mulut daripada menghamburkan perkataan yang meledak-ledak hendak meloncat keluar.

Ayahnya menerima lamaran daripada keluarga Haji Zainuddin tanpa bertanyakan terlebih dahulu atau mendapatkan persetujuan daripada yang empunya diri!

Alangkahhhh.....

Barangkali hatta Naifa sendiri sedar wajahnya sebentar-sebentar sudah bertukar warna namun rasa hormatnya pada sang ayah membuatkan dia menahan diri daripada tidak mengeluarkan kemarahan dalam bentuk perkataan.Bibir diketap,kening berkerut dengan nafas laju menunjang dada.

Sedikit pun dia tidak menyangka bahawa waktu cuti yang diluangkannya kali itu bertukar menjadi drama yang tidak pernah melintas dalam imaginasi paling liarnya sekali pun.Dua minggu terakhir sebelum dia berangkat ke Lubnan bagi menyertai misi MALBAT Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu itu benar-benar membuatkan dia hendak pitam.

"Ayah patut tanya saya dulu.Ayah tahukan saya dengan Farhan tu macam mana?"

Seperti penjenayah yang menunggu hukuman dijatuhkan oleh panel hakim,Naifa dengan suara serak menahan rasa menatap ayahnya dengan pandangan memohon belas kasihan.Di hadapan lelaki itu,tidak ada gelaran doktor ataupun Mejar kerana ketika itu-dia hanyalah seorang anak yang takluk sepenuhnya.

Suasana ruang tamu rumah tersebut senyap sunyi.Desir kipas di atas siling dan detak jarum jam berganti-ganti menambah ribut taufan dalam dada Naifa.Eric yang turut berada di situ hanya mendiamkan diri.Anak-anak kecil tidak kelihatan.Patutlah mendadak sahaja ahli-ahli paling berusia dalam keluarga itu berkumpul semua.Masing-masing duduk di sofa sementara Naifa duduk berhampiran kaki ayahnya dengan wajah yang seakan-akan hendak menangis.Bersila di atas lantai.

"Beritahu kami kenapa Naii tak bersetuju dengan lamaran keluarga Farhan tu.."

"Perlukah saya ulang sekali lagi?" Naifa meligas memandang bingkai wajah Eric dengan mata bergenang minta dikasihani.

"Sebutkan satu sahaja kekurangan keluarga Haji Zainuddin pada kami."

"Atau Naii ada pilihan sendiri?"

Air mata Naifa mulai mengalir perlahan tanpa dapat diempang.Eric sendiri terpaksa menahan diri daripada tidak memujuk Naifa seperti mana yang telah mereka setujui bersama sebelum ini.Kasihan dia melihat Naifa tetapi mereka perlu kuat dan berkerjasama bagi meruntuhkan tembok yang selama ini dibina anak itu bagi melindungi dirinya daripada trauma masa silamnya sendiri.

"Jika suatu hari nanti,kami telah tiada kepada siapa kami hendak amanahkan Naii?"

"Tidakkah Naii fikir sudah tiba masanya untuk Naii keluar dari dalam trauma tu? Selepas MALBAT,apa lagi?"

Satu demi satu pertanyaan itu jatuh ke dalam relung pendengaran Naifa tetapi tidak ada satu pun yang dapat dijawabnya ketika itu.Hatinya,fikirannya dan moralnya berantakan diacu centang-perenang pertanyaan sehingga lidahnya kelu untuk berkata-kata.Terkejut oleh kejutan yang langsung tidak diduga.Hilang ingatan dia buat seketika bagaikan baru direnjat elektrik.Kebas.Kaku.

Tidak perlu dibuka segala topik berkenaan hukum-hakam dari sudut mana pun.Dia tahu tetapi ada sesuatu yang menganjal di dalam hatinya dan terlalu sukar untuk diluahkan.

"Fikirkannya masak-masak,Naii.Kami hanya mahukan yang terbaik untuk Naii.Kalau betul Naii menolak lamaran Farhan,katakan kepada kami bahawa akan ada seseorang yang lebih baik daripada dia untuk kami serahkan Naii kepadanya suatu hari nanti.Itu sahaja permintaan dari ayah."

My Dear LoserWhere stories live. Discover now