MISI MENJINAK NAGA

69 7 0
                                    

Seperti inikah perasaan Ferdinand Magellan ketika  diberikan misi oleh Raja Charles I untuk mencari satu laluan menuju ke Kepulauan Rempah di sebelah Timur sekitar tahun 1480 dulu? Diberikan satu misi yang dianggap sangat mustahil.Jika tokoh pelayaran tersebut diberikan misi untuk mencari laluan perdagangan ke arah Timur,seorang Muhammad Farhan diberikan misi menjinak seekor naga bersisik tembaga bernama Naifa Zahra!

Nah...lalu bagaimana dia hendak memulakan semua itu? Memikirkan idea hanya sekadar untuk membuka bicara sahaja,sudah dapat dibayangkan bagaimana reaksi Naifa.Dan jika dia hendak.....wah,kerat empat puluh sekali pun Farhan belum cukup gila untuk berani membayangkannya.

Dia tahu segalanya tidak mungkin terlalu sukar jika tiada sejarah hitam antara mereka berdua tetapi malangnya pada dahi Farhan seperti telah tercetak perkataan nemesis abadi seorang Naifa Zahra.Bagaimana mungkin hendak dihilangkan prejudis tersebut dalam sekelip mata?

Naifa yang setahun lebih dahulu menerima tawaran sebagai pembantu profesor di pusat perubatan universiti tersebut sangat menjaga jarak dan perbualan mereka hanya berkisar kepada hal kerja semata-mata.Tidak lebih tidak kurang.

Lagipun akal waras Farhan selalu sahaja berdiri teguh seperti tembok besi bagi menghalang idea-idea gila yang terinspirasi daripada pelbagai sumber itu untuk memasuki fikirannya.Dan hal paling utama dia tiada masa untuk semua itu selain daripada dia juga anti sekali dengan hal-hal berbau drama.

NOKTAH.

Hendak meminta pendapat dan cadangan daripada Ammar,Fateh,Khan dan Jimmy-dia masih belum bersedia dengan reaksi yang bakal dilihatnya daripada mereka.Pasti sepasti 1x1=1 bahawa mereka akan menjadikannya bahan lelucon sekurang-kurangnya bagi tempoh masa dua minggu ke depan.Bukan dia tidak kenal perangai mereka masing-masing.

Haih..haih..ditelan mati emak.Diluah mati bapak.Hendak dibiarkan dia pula yang mati katak.
Perahu sudah di air.Pendayung sudah di tangan.Tinggal sahaja dia tidak ada keberanian dan tidak tahu pula bila  hendak memulakannya.Dan senyap-senyap Farhan terpaksa mengakui dalam banyak-banyak hal,perihal Naifa inilah satu-satunya perkara yang membuatkan dia terfikir untuk berputus asa sahaja.

Kalau sahaja dia tidak mengenali Naifa itu orangnya seperti apa,keadaan pasti tidak sesukar mana.Dia bukanlah pendekar dari alam kayangan yang memakai jubah berkibar-kibar yang turun ke bumi lalu menyelamatkan seorang gadis tatkala kuntum bunga Sakura berguguran entah dari mana.Lalu masa seakan menjadi perlahan ketika pandangan mereka saling beradu.

Bahkan bukan pula dia hero tampan bersuara merdu seperti protagonis filem-filem Hindustan yang berganti baju empat lima kali di gunung,padang pasir,hamparan rumput serta pantai-pantai hanya untuk menghabiskan satu lagu.

Jauh sekali daripada keberanian sang pemuda bermata biru pemilik hasienda serta ladang kopi ratusan ekar seperti dalam drama Latin itu.Menunggang kuda dan memetik gitar di bawah tingkap dengan memakai topi lebar Somberero.

Naifa tidak akan termakan taktik tengik begitu.Silap haribulan,dia sendiri yang mendapat.Mendapat malu dan mendapat penumbuk dua tiga biji !

Dia bukan seperti mereka.Dia hanyalah seorang pemuda yang ditimpa takdir aneh secara serentak tepat di tengah ubun-ubunnya.Pemuda marhaen yang masih punya urat malu dan belum terlalu nekad untuk menjadi seorang yang bermuka tembok. Mungkin dengan jangkaan dan segala macam idea tidak masuk akal begitu membuatkan dia gemuruh bukan kepalang setiap kali bersua muka dengan Naifa.

Memikirkan segala kemungkinan bahawa dia akan ditolak mentah-mentah oleh Naifa,antara akur dengan tidak Farhan sudah mempersiapkan mentalnya namun sekurang-kurangya biarlah segala silap faham antara mereka dijernihkan terlebih dahulu.Dia sedar pokok pangkal kemelut dalam kepalanya ketika itu adalah kerana kejadian belasan tahun yang silam.Sama sekali bukan kerana sebentuk cincin belah rotan dalam kotak baldu merah darah itu.

My Dear LoserWhere stories live. Discover now