"Apa yang kau fikir sampai muka merah macam itu?" Soal Lanun setelah berpaling ke belakang.

Husna tersengih. Kepala digeleng sambil sebelah tangan menggosok dahi.

"Tak ada fikir apa-apa. Cuma... kenapa kita ada dekat depan almari sekarang? Kalau awak nak beri baju awak, saya rasa... saya lebih sanggup pergi ke rumah Odu atau Orkid. Bukannya apa, saya tak pernah pinjam baju lelaki. Bukan sebab saya jijik dengan awak atau seangkatan dengannya. Tapi... tak selesa." Omel Husna sambil menundukkan kepala. Takut pula penolakannya akan mengguris hati Lanun. Dia tidak mahu lelaki itu fikir yang dia tolak kerana jijik dengan tubuhnya, tapi atas sebab yang lain.

Kemudian, dia dengar Lanun ketawa. Terus kepala Husna melangut memandangnya dengan kening berkerut.

Dia ada buat lawakkah tadi?

"Kau ingat aku nak bagi baju aku ke?"

Kening Husna berkerut. Namun kepala tetap saja diangguk. "Yalah. Habis baju siapa lagi yang ada dalam tu, selain baju awak?"

"Aku takkan sesenang itu kongsi baju aku dengan orang. Apatah lagi kepada seorang perempuan. Aku tahu takkan ada perempuan pun yang selesa pakai baju bekas lelaki. Jadi, jangan risau. Aku takkan bagi kau baju aku. Lainlah kalau..." Mata hazel Lanun naik merenung mata bulat Husna.

Bibirnya tersenyum sedikit.

"Kau isteri aku."

Tak berkelip mata Husna saat ini. Mengapa dia rasa berbunga-bunga apabila mendengar kata-kata Lanun? Isteri? Bila agaknya dia akan dapat gelaran itu?

Melihat muka Husna yang berbahang malu, bibir Lanun menyenget kecil. Dia kembali memusing menghadap almari. Pintu dibuka, kedua-duanya sekali. Ada satu kotak bersaiz sederhana yang berada di tepi lipatan kemas baju-bajunya. Lantas, kotak itu dibawa keluar.

"Aku tak pernah benarkan sesiapa pakai baju ni." Kata Lanun, sambil berpaling menghadap Husna semula. Mata mereka bertembung seketika ini. Ada senyuman nipis terbit dibibir saat kepalanya menunduk memandang kotak yang dipegang.

"Jadi... tolong pakai dan jaga pakaian ni baik-baik. Sebab ia masih bermakna buat aku." Sambung Lanun lagi. Kemudian, barulah kotak itu diserahkan kepada Husna.

Teragak-agak tangan Husna mahu mengambilnya. Dalam masa yang sama, dia tertanya-tanya siapa pemilik pakaian ini sehingga bermakna buat Lanun. Lantas, kotak dibuka. Kening sedikit terangkat. Baju kurung kedah? Banyak juga. Kenapa ada baju kurung dalam rumah ni? Husna menarik satu keluar, baju kurung berwarna merah jambu dengan corak bunga-bunga kecil.

Dia tertarik dengan yang ini. Nampak klasik dan cantik. Tentu yang pernah memakainya juga seorang yang anggun, saiz baju ini pun nampak muat-muat sahaja dengan dia. Milik siapa agaknya?

"Baju ni..." Husna mengangkat wajah memandang Lanun. Sengaja dia biarkan ayat tergantung untuk menanti sambungan daripada lelaki itu.

"Arwah mama aku punya."

Husna terdiam.

Ap... apa?

Alamak. Tak mengapakah dia pakai baju arwah emak Lanun? Timbul rasa bersalah pula mahu memakai. Terus Husna simpan semula baju kurung kedah itu ke dalam kotak. Siap ditutup rapat-rapat lagi sebelum ditolak kepada Lanun semula.

Lanun tayang riak pelik. Mengapa Husna serahkan semula? Dia... tak sudi hendak pakaikah?

"Kenapa?"

"Saya tak nak pakai baju ni. Saya... tak nak buat awak teringatkan dia bila saya pakai nanti. Saya tahulah, sebab saya pernah rasa perasaan macam itu. Pedih bila kita teringatkan kenangan lama. Kalau boleh... nak hapuskan terus. Jadi, ambillah balik. Saya rela tebalkan muka pergi minta pakaian daripada Odu." Terus kotak itu diserahkan kepada Lanun. Cepat-cepat Lanun menangkapnya daripada terjatuh ke bawah.

MR PIRATEOn viuen les histories. Descobreix ara