71

27.5K 3.1K 543
                                    

                CUKUP lima kali suapan, tekaknya tidak lagi boleh menelan. Bubur terasa tawar, entahlah masakan yang bermasalah atau dia yang tiada selera. Boleh jadi juga dia tak selesa makan dalam keadaan seluruh tubuhnya terasa berbisa. Lantas, mangkuk bubur itu ditolak menjauh. Air putih diminum hingga tinggal separuh, kemudian barulah dia menggerakkan tubuh secara perlahan-lahan bersandar pada kepala katil.

Raf sentuh kesan tikaman pada perutnya. Masih rasa ngilu dan pedih. Tak pasti bila ia akan sembuh, tapi kata Doktor macam lama lagi dengan kondisinya yang teruk.

"Abang nak ubat tahan sakit ke?" Soal Arjuna apabila menyedari riak wajah Raf yang berkerut-kerut. Dia sudah bangun ingin mencapai ubat di atas meja, namun Raf terlebih dahulu mencelah.

"Tak perlu. Sakit sikit aje."

"Tapi, abang..."

"Duduk Juna, abang tak apa-apa." Cantas Raf. Agak tegas bunyinya.

Tidak mahu tidak, Arjuna terpaksa menurut.  Perlahan dia melabuh punggung di atas kerusi semula. Adakala dia mengeluh berat apabila melihat Raf yang jelas sedang menahan sakit. Bila nak beri ubat, menolak pula. Tak faham dia dengan perangai si abang ini, lebih rela dirinya terseksa daripada makan ubat.

Kepala Arjuna tergeleng-geleng.  Sekilas dia menjenguk mangkuk bubur di atas meja, masih banyak lagi yang tersisa. Wajah Raf kembali dipandang.

"Kenapa tak makan banyak sikit? Perut abang tu kosong, semalam tak sempat makan, kan?" Tegur Arjuna, jelas risau dengan kesihatan abangnya.

"Abang tak ada seleralah. Nanti abang lapar, abang sambunglah makan balik. Tak perlu risau. Engkau tu... bukan nampak macam perut kosong, tapi badan pun macam tak ada isi sudah abang tengok. Kau yang patut makan sekarang ni." Ujar Raf. Dia juga perasan susut badan Arjuna semakin kurus sejak kebelakangan ini. Barangkali kerana sibuk bekerja sampai lupa hendak makan.

Malah Arjuna cuma diam apabila ditegur. Kepala tunduk menekur ke bawah. Dia juga sedar tentang perubahan pada dirinya. Kali terakhir dia timbang berat badang, beratnya cuma 50kg. Tidak kena dengan ketinggiannya yang cuma 170cm. Serupa batang lidi jika dilihat daripada jauh.

"Nah, habiskan bubur abang." Mangkuk bubur itu ditolak ke arah Arjuna. Sebagai seorang abang sulung, dialah yang paling bertanggungjawab mengambil berat keatas  adik-adiknya. Walaupun mereka sudah besar, dimatanya mereka masih budak kecil yang perlukan pantauan. Sifat abangnya tak pernah pudar dari dulu, sentiasa pentingkan adik-beradik berbanding diri sendiri.

Sedangkan Arjuna pula yang rasa malu untuk mengambil bubur itu. Biarpun sebenarnya dia juga lapar dan tak makan sejak semalam.

"Bubur tukan untuk pesakit, kenapa Juna pula yang nak kena habiskan?"

"Makan ajelah. Sebelum bubur tu akan ke tong sampah sekejap lagi." Kata Raf seakan mendesak.

"Yalah..." Arjuna mengalah. Mangkuk bubur itu akhirnya dicapai. Usai baca doa, terus dia menyuap bubur ke dalam mulut. Rasanya tidaklah sedap mana, tetapi disebabkan terlalu lapar maka semua masakan terasa secukup rasa.

Tatkala Raf hanya tersenyum kecil melihat Arjuna yang selera menghabiskan sisa makanannya. Kemudian, Raf menyandarkan kepalanya ke dinding. Dibiarkan terdongak menatap gambar pemandangan laut Semporna yang tergantung di dinding itu. Entah kenapa, hatinya bagaikan kosong saat ini. Gambar itu seolah-olah tiada makna lagi buatnya.

Mana tidaknya, jika semua kenangan yang tercipta di pulau itu dibawa pergi begitu sahaja. Tanpa tinggalkan sedikit pun untuk menjadi pengubat rindunya. Kenapa? Kenapa dia dibiarkan terseksa dengan perasaan berat ini?

Satu nafas dilepaskan perlahan.

Arjuna yang baru sedar abangnya lama mendiamkan diri, langsung mengangkat muka. Menoleh ke arah yang sama Raf sedang tatap. Sekonyong-konyong bibirnya tersenyum kelat. Dia tahu apa yang bermain difikiran Raf tika ini.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now