40

29.3K 2.5K 240
                                    

"PAPA nak kamu tolong uruskan company kita dekat Kuala Lumpur tu.  Tentang Ocean Resort ni, biar papa yang uruskan. Kamu boleh balik sama-sama dengan Mia nanti." Ujar Tan Sri Raqib, dia sudah membuat keputusan. Setelah berhari-hari memikirkan tentang hal ini. Dia patut tinggal disini buat sementara waktu, kerana ada sesuatu yang hendak diselesaikan. 

Tatkala Nathan yang mendengarnya pula rasa tidak setuju. Kepala digeleng memandang Tan Sri Raqib yang sedang menyelak fail di atas meja.

"Mana boleh macam itu. Kalau Nathan pergi sana, siapa nak teruskan misi pencarian Husna tu? Dan takkan papa seorang sahaja nak uruskan Resort ni?"

"Raf ada. Dia boleh bantu."

"Raf?" Nathan menjuih bibir. Sedangkan dia memujuk abangnya untuk sertai misi pencarian Husna pun, lelaki itu menolak. Apatah lagi berkaitan Ocean Resort.  Bukan setakat tolak, malah ditendang lagi.

"Pa macamlah tak kenal si abang tu macam mana? Dia takkan nak uruskan Resort ni. Bukannya kita tak pernah pujuk dia, tapi dia yang berkeras kata nak hidup sendiri tanpa ada semua ni."

"Tapi Resort ni memang resort dia. Sampai bila lagi si Raf tu nak rasa bersalah? Sedangkan arwah mama pun tak pernah anggap yang Raf tu salah. Dia sahaja yang menghukum dirinya sendiri."

"Tapi Raf tetap akan rasa semua tu walaupun kita dah nafikan berkali-kali. Lagipun, abang tu ada girlfriend limited edition dekat kampung tu. Lagi susahlah nak pujuk dia untuk tinggal disini dan bantu kita." Ujar Nathan.

Automatik kening Tan Sri Raqib berkerut mendengarnya. Girlfriend limited edition? Sejak bila pula anak sulungnya itu bercinta? Kenapa dia tidak tahu?

"Mana kamu tahu dia ada girlfriend dekat sana?" Soal Tan Sri Raqib, tertanya-tanya. 

"Petang tadi dia ada bungkus mi bandung. Nathan adalah mengusik dia sikit yang dia ada teman wanita dekat kampung tu dan tak sangka dia mengaku. Patutlah sejak kebelakangan ni pelik sikit perangai dia. Rajin ulang-alik dari kampung ke sini semata-mata untuk beli makanan yang sedap-sedap."

"Kamu ada tanya ke siapa nama perempuan tu?"

Nathan geleng kepala. Dia tak sempat hendak tanya soalan itu tadi. Si Raf nampak kelam-kabut ingin balik ke kampungnya semula.

"Tak sempat. Tapi kenapa papa nak tahu?"

Tan Sri Raqib menjongket bahu. "Manalah tahu kita boleh tolong Raf masuk meminang dia? Mungkin dengan cara tu, teman wanita dia boleh pujuk Raf untuk tinggal disini?"

Pantas sebelah tangan Nathan menekup mulut. Tak percaya.  Bagaimana Tan Sri Raqib boleh terfikir idea sebernas itu? Dia pun tak terfikir sebelum ini. Lu memang power pa!

"Tapi..." Nathan kembali jatuhkan tangan ke bawah. Dia mula terfikir sesuatu. 

"Kalau teman wanita dia tu sama kepala dengan dia macam mana? Lebih pilih duduk dikampung daripada menetap dekat sini. Tak ke sama sahaja? Lagipun, abang tu tak mungkin cari teman wanita yang nak hidup di tempat macam ni. Dia tu select!"

"Ya tak ya jugakan..." Tan Sri Raqib menopang dagu sebentar. Tak dinafikan, anak sulungnya itu memang payah sikit nak dipujuk hatinya.

Dan kemudian Tan Sri Raqib mengeluh perlahan.

"Entahlah, Nathan. Papa pun tak tahu macam mana nak pujuk Raf tu untuk ambil alih Resort ni semula. Kalaulah ada insan yang boleh sedarkan dia bahawa semua ni bukan salah dia, mungkin Raf akan balik ke sini semula."

Nathan angguk kepala. Turut menyokong. Jika ada insan seperti itu, tolonglah muncul di dalam hidup abangnya. Mungkin cuma seseorang itu sahaja, yang mampu mengubah pemikiran Andikha Rafael. 

MR PIRATEWhere stories live. Discover now