29

25.5K 2.3K 520
                                    

                    "PAPA tahu Husna ada dengan kamu." Mendengar bicara Tan Sri Raqib, terus kepala Raf terangkat memandang bapanya yang berada di hadapan. Matanya membesar disebalik kaca mata hitam. Agak terkejut. Tiba-tiba jantung berdebar. Memandang riak wajah bapanya yang kosong, dia tidak pasti sama ada orang tua itu sedang marah atau tidak keatas perbuatannya. 

Namun, jika benar Tan Sri Raqib tahu tentang hal ini? Agaknya, dia akan beritahu kepada keluarga Husnakah? Soalan itu yang paling kerap bermain dimindanya sekarang.

Tak lama selepas itu, Tan Sri Raqib menghembuskan satu nafas. Berat ditelinga Raf.

"Syukurlah, kamu dah jumpa dia sebelum apa-apa yang buruk berlaku." Ucap Tan Sri Raqib, akhirnya hati ini dapat lega buat seketika. Selama Husna menghilang, dia sememangnya yakin Raf telah turun menyelamatkan wanita itu sewaktu kejadian berlaku. Cuma, dia tidak pasti sama ada andaiannya benar atau salah.

Namun, pabila melihat sendiri reaksi spontan yang Raf tonjolkan. Dia semakin yakin, Husna memang berada bersama anaknya.

"Papa dah agak, kamu yang akan turun dulu selamatkan dia. Masa malam Husna hilang, bot kamu tak ada dekat jeti. Tertanya-tanya juga, apa yang buatkan anak papa ni berani sangat redah lautan waktu-waktu cuaca buruk begitu. Pelik. Sebab selalunya kamu akan batalkan niat untuk balik ke kampung dan rehat di bilik sahaja kalau air laut sedang bergelora."

Raf diam. Nampaknya, papa memang kenal sifat dia seratus-peratus. Tak ada peluang jika dia nak putar cerita sekalipun.

"Jaket keselamatan tu. Kamu yang tanggalkan dari tubuh dia, bukan?"

Perlahan Raf angguk kepala mengiyakannya.  Ya. Dialah yang tanggalkan sebaik sahaja membawa Husna naik ke atas bot. Sengaja dia biarkan jaket keselamatan itu terapung diatas air, supaya ada beberapa manusia kolot yang mudah-mudahan percaya bahawa Husna sudah mati.

Tetapi nampaknya, dia tidak berjaya mengaburi mata Tan Sri Raqib.

"Kenapa tak bawa dia terus balik ke sini? Kamu tahu tak Dato Idris sampai sakit bila dapat tahu anak dia tak dijumpai sampai sekarang."

"Papa pula... kenapa tak bagitahu sahaja pada dia yang Husna masih hidup, jika tahu Husna berada dengan Raf?"

Mereka saling berbalas soalan. Masing-masing mahukan jawapan. Dan tika ini, ruang bilik pejabat itu sunyi buat sejenak.

"Sebab papa nak tahu dahulu kenapa Raf bawa dia balik ke kampung tu. Pasti ada sebab, kenapa Raf tak terus hantar ke resort. Oleh sebab itu, papa tak bagitahu sesiapa pun pasal hal ini. Termasuk adik kamu sendiri." Jawab Tan Sri Raqib, menghilangkan kesunyian yang memenuhi ruang bilik tadi.

Raf menunduk kepala.

"Raf bukan sengaja tak bawa dia balik. Tapi ini demi keselamatan dia juga." Perlahan bibirnya berkata.

"Maksud kamu?" Soal Tan Sri Raqib.  Mahukan penjelasan yang lebih panjang. Lantas tubuh disandarkan ke belakang kusyen empuknya. Sambil kedua belah tangan disilang ke dada dengan gaya bersahaja.

"Red Zone." Ringkas sahaja Raf menjawab.

Sepasang kening bapanya terus terangkat. Muka berkerut. 

"Dia jatuh, dekat kawasan Red Zone." Ulang Raf, kali ini lebih panjang. Wajah diangkat kembali, memandang Tan Sri Raqib yang jelas kelihatan terkesima. Tubuh yang bersandar tadi terus menegak.

Dia tertanya, bagaimana pula Husna boleh sampai ke situ? Bukankah semua pemandu bot Ocean Resort tidak dibenarkan membawa pelancong ke sana.

"Ma... macam mana Husna boleh jatuh dekat situ? Bukan ke kamu dah beri peringatan dekat semua pemandu bot untuk tak jejak di kawasan itu? Mustahil si Zaim tu tak tahu!"

MR PIRATEWhere stories live. Discover now