54

33.1K 3.4K 648
                                    

                 DAHI tiba-tiba terasa sejuk. Sepasang kening itu berkerut-kerut sebelum kelopak mata terbuka secara perlahan. Pandangan Husna masih lagi kosong, merenung atap nipah di atas sana sambil fikirannya sedang memproses apa yang baru sahaja berlaku. Rasanya, tadi dia berada di atas bot bersama Lanun mengamati pemandangan laut, kemudian lelaki itu...

Mata Husna terbeliak. Dia baru teringat.

"Lanun!" Husna terus bangun daripada pembaringan. Tiba-tiba dadanya berombak. Nafas turut terasa sesak. Sesekali air liur ditelan. Apabila terasa ada kain lembab jatuh ke atas ribanya, terus Husna tunduk ke bawah.

Siapa pula yang letak kain ni?

"Haih, bangun daripada pengsan terus sebut nama Lanun nampak?" Sampuk suara itu, langsung menarik perhatian Husna ke sebelah kanan tilamnya. Dia sedikit tersentak tatkala baru menyedari kewujudan Orkid disitu, sedang tersenyum menyeringai dengan muka gatalnya.

Husna mula terpinga-pinga. Seraut wajahnya sudah membahang malu, cepat-cepat dia berpaling ke lain. Baru hendak sorokkan muka, sekali lagi dia terkejut apabila Odu juga turut ada di sisi kirinya.

"Itulah, kita yang kasi tolong rawat dia. Tapi nama Lanun juga yang disebut." Kata Odu dengan nada bergurau. Siap tersengih-sengih lagi.

"Ma... Mana ada! Inikan rumah Lanun, jadi saya sebutlah nama dia. Odu dengan Orkid pula buat apa dekat sini?" Soal Husna, cepat-cepat dia mengubah topik sebelum makin melanjut ke lain.

"Buat apa lagi? Rawat ko lah! Lanun bilang ko tiba-tiba pengsan atas bot dia. Habis pucat mukanya tadi tau! Itu yang kami datang ke sini. Tapi..." Orkid kembali dengan senyuman gatalnya.

"Bertuah juga ko, kan? Lanun tolong angkat. Macam mana rasanya kena angkat, seronok tak?"

PAP!

Tanpa semena-mena lengan Orkid ditampar oleh Odu. Orang itu baru sahaja bangun daripada pengsan, karang terkejut lagi sekali ada juga yang pengsan buat kali kedua. Orkid mengaduh sakit. Dia tayang muka cemberut sambil sebelah tangannya menggosok lengan yang ditampar tadi.

Husna terdiam. Matanya berkerdip buat beberapa saat. Dia... diangkat?

"Ko ni Orkid tahu mau menyakat urang (orang) sija! Cubalah tanya perkara yang lebih baik." Herdik Odu.

Orkid tersengih. Belakang kepala digosok perlahan. "Yalah, sa tanya yang baik-baik. Apa sebenarnya yang terjadi sampai ko boleh pengsan? Lanun ada buat apa-apa ka? Atau... ko ada nampak jembalang air semasa di laut tadi?"

Terkulat-kulat Husna hendak menjawab. Kalau dia beritahu tentang lamaran Lanun, makin menggila si Orkid ni nanti. Habis satu kampung dia pergi beritahu mengalahkan mak cik bawang! Jadi, dia perlu beri alasan yang lain.

"Oh itu sebab..." Husna tunduk ke bawah, bermain dengan jari-jemarinya.

"Sebab saya penat sangat hari ini. Dekat kenduri tadi pun, saya tak makan banyak sangat. Jadi perut masih lagi rasa kosong, tambah pula berada dekat tengah lautan lama-lama buatkan kepala rasa pening sedikit, jadi mungkin itu puncanya?" Bohong Husna. Padahal, hampir separuh mangkuk ambuyat ditelannya sampai perut terasa keras. Tipulah kalau perut terasa kosong!

Kepala Odu terangguk-angguk tanda faham.

"Boleh jadi sebab itu ko pengsan.  Atau... sebab ko demam juga." Ujar Odu.

Kening Husna langsung berkerut. Jari pantas menunding ke wajah sendiri.

"Saya demam?" Mata Husna membulat. Lain macam betul penangan lamaran Lanun sampai buatkan dia demam. Betul-betul mengejut ni!

MR PIRATEWhere stories live. Discover now