41

28.9K 2.7K 505
                                    

PUSING kanan sudah. Pusing kiri sudah. Meniarap pun sudah. Mengiring apatah lagi, cuma terbang sahaja yang belum dicuba. Tetap juga mata ini tidak mahu tutup biarpun sekitarnya sudah gelap. Akhirnya Husna memilih untuk mengubah posisi mengiring ke arah lilin yang terpasang ditepi tilamnya, merenung api yang adakalanya tersenget-senget ditiup angin luar yang masuk melalui tingkap.

Haih, kenapa dia tidak boleh tidur pula malam ini ya? Puas dia mencari cara untuk melelapkan mata tetapi tidak juga berjaya. Mungkin dengan cara merenung api itu lama-lama, dia akan rasa bosan dan tertidur tidak lama lagi.

Namun, melihat api itu menyuluh kegelapan ruangan ini tiba-tiba kotak fikirannya memutarkan memori lama suatu seketika dahulu. Wajah arwah mak, masih segar di dalam ingatannya. Dan setiap kali wajah itu hadir, menjentik rasa rindu di hati yang tiada pengubatnya. 'Husna... betul-betul rindukan Mak.'

Mata Husna terpejam sesaat. Membiarkan bayangan detik itu bermain di kepalanya.

"Husna..." Suara Mak memanggil dengan lembut sekali. Mengalihkan perhatian Husna yang masih berumur 10 tahun, sedang duduk di penjuru bilik sambil memeluk lutut. Dalam sinar cahaya lilin yang dipegang, dia dapat melihat pipi anak gadisnya yang dibasahi air mata.

Bibir Mak tersenyum kelat. Sampai sahaja di hadapan Husna, lilin itu ditaruhkan di tengah-tengah antara mereka. Kulit tangan yang agak kasar itu langsung naik menyeka air mata anak gadisnya. Mungkin dia sedang takut, tiba-tiba malam ini guruh berdentum dengan kuat sehinggakan lampu elektrik terpadam secara tiba-tiba.

"Janganlah menangis, Husna. Kita tunggu ayah balik. Kejap lagi dia betulkan lampu dalam rumah ni ya?" Pujuk Mak. Sekadar mahu Husna berhenti menangis. Walaupun dia tahu, suaminya... mungkin takkan balik lagi malam ini.

"Semalam pun mak cakap ayah akan balik. Tapi sebenarnya tidak pun. Mak selalu tipu Husna!"

Pantas Maknya menggeleng kepala. Sungguh, dia tiada niat untuk membohongi anak gadisnya. Malah, jauh di dalam sudut hati ini juga mengharapkan si Idris pulang menjenguk keadaan mereka di dalam rumah banglo yang besar ini. Apa gunanya diluar nampak megah, namun dalaman kosong serupa tak berpenghuni.

"Husna jangan cakap macam itu. Mak tak tipu Husna. Mungkin ayah sibuk sikit. Nanti dia baliklah..."

Husna diam tak berkata apa. Hanya tunduk memandang lilin di bawah.

Kemudian, bibir maknya tersenyum pahit. Dia pusing sekejap mencapai sepinggan nasi berlauk ikan rebus yang dibawa bersama sebelum kembali memandang Husna. Kesian, anaknya menahan lapar daripada pagi tadi. Ini pun mujurlah ada manusia yang baik hati memberinya beberapa ekor ikan semasa dia menunggu di jeti nelayan.

Mungkin bila Husna dapat makan, dia akan lupakan sebentar tentang kepulangan ayahnya.

"Husna... meh makan dulu. Tadi ada orang bagi mak ikan. Tapi maaflah, mak boleh rebus je. Barang dekat dapur semuanya dah habis. Yang tinggal cuma beras. Itupun dah tinggal separuh. Mungkin tawar sedikit, tapi Husna kena makan juga. Tak elok biarkan perut kosong lama-lama." Ujarnya, usai nasi dan ikan rebus itu digaul sebati lalu
disuakan ke mulut Husna. Menanti anak gadisnya membuka mulut menerima suapan, namun tidak pula Husna menganga. Masih lagi tunduk melihat lilin ditengah mereka.

Maknya mengeluh penuh berat sebelum tangan yang menyua nasi itu perlahan-lahan dijatuhkan ke bawah semula. Jelas, sinaran cahaya lilin itu menampakkan muka Husna yang sedang muram. Tiada selera hendak menelan makanan yang sama setiap hari.

"Kenapa ni, Husna?"

"Husna tak nak makan ikan. Husna nak makan benda lain. Bukan ke kita orang kaya? Kawan-kawan Husna pun selalu cakap Husna anak orang kaya. Tapi kenapa makanan mereka lagi sedap daripada Husna?"

MR PIRATEWhere stories live. Discover now