A : 1

126 12 0
                                    

PERGINYA insan tercinta, pasti memberikan luka yang dalam di dalam hati. Pemergian yang tidak akan kembali lagi.

Seusai sahaja mengebumikan dua insan yang paling disayangi dan dihormati, dia memilih untuk membuat tahlil ketika selesai menunaikan solat magrib di Masjid Indah.

Jam tangan adidas berwarna hitam dipergelangan tangan kanannya ditilik, waktu sudah menunjukan jam empat tiga belas petang. Namun, bayang adik perempuannya masih belum kelihatan selepas tengahari tadi. Pasti masih mengurungkan diri di dalam bilik untuk mencari semangat yang baru.

"Syad, mana Dira?" Suara wanita berusia menegurnya dari arah belakang sedikit menyentak lamunannya. Wanita itu ialah Mak sedaranya, Puan Kasinah.

"Ada dekat atas, Mak Nah. Mungkin masih bersedih ," balas Syad perlahan dan menundukkan sedikit wajahnya. Bukan adiknya saja berasa kehilangan, dia juga turut terasa.

Mak Nah mengangguk faham. Faham sangat dengan perasaan dua anak sedaranya yang baru saja kehilangan tempat bergantung dan berkasih sayang. Kerana, Ibu Syad ialah satu-satunya adiknya.

Ditepuk perlahan bahu Syad. Memberikan sedikit kekuatan untuk anak sedaranya itu.

"Sabarlah Syad. Allah lebih menyayangi mereka. Doa yang baik-baik agar mereka dimasukkan ke Syurga Allah"

Air mata Syad mula jatuh setitik namun sempat diseka. Dia tidak boleh bersedih di depan orang lain lagi-lagi depan adiknya, Syadira Ashmira. Pasti gadis itu akan semakin sedih bila melihatnya turut sedih.

"Mak Nah naik atas dulu. Jumpa Dira. Kamu pergilah bersiap dulu dengan Pak Nah sebelum pergi masjid," beritahu Puan Kasinah lembut dengan anak sedaranya. Syad hanya mampu menganggukkan kepalanya perlahan sebelum Puan Kasinah pergi menuju ke anak tangga untuk ke bilik adik perempuan.

"Ya Allah, kuatlah hambamu ini"









SUDAH lebih sepuluh kali dia menilik jam tangannya, namun seperti tiada tanda-tanda bas awam yang mahu berhenti di perhentian bas itu. Langit yang tadinya biru cerah kini sudah bertukar warna menjadi muram. Sebentar lagi pasti hujan akan turun.

"Kenapa tiada bas ni? Haih... masa ni jugalah bateri telefon nak mati. Kalau tak dah lama guna grab car," omelnya sendiri sambil memandang ke kiri dan kanan.

Dia baru saja berumur 18 tahun dan dia memilih untuk mencari pekerjaan sementara waktu menunggu tawaran daripada mana-mana Universiti Awam. Mujur saja dia mendapat pekerjaan sebagai pelayan di sebuah kafeteria yang berhampiran dengan perhentian bas itu.

Sedang dia menilik jam tangannya, sebuah van putih dengan cermin tingkap yang sangat gelap berhenti di hadapannya. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Hanya dia seorang di perhentian bas itu.

Hatinya mula merasakan tidak sedap hati, lalu mengambil keputusan untuk berdiri dan pergi. Baru saja dia menapak selangkah, kedengaran pintu van itu dibuka dengan kuat. Bila dia menoleh...

"Tolong!" Terus dia menjerit dengan kuat dan nyaring saat melihat dua lelaki bertopeng hitam menghampirinya.

Dia berlari sepantas yang mungkin dari dua lelaki itu sambil menjerit meminta...

"Tolong!"

Bila dia sedikit jauh dari dua lelaki yang mengejarnya tadi, matanya terarah pada sebuah Masjid di seberang jalan raya berkembar.

Ashley AshwarWhere stories live. Discover now