12. STRANGER

1.7K 207 7
                                    

Irene tersedar dari lena. Demam sudah kebah. Dia meraba dahi. Tuala basah dialih perlahan. Lengan dibawa tindih di atas dahi. Dia memejam mata. Sekejap. Kemudian Irene bangun lalu duduk. Di sisinya kosong. Dia termenung sebentar.

Dia dapat ingat segala-galanya yang berlaku sekarang ini. Nama dan wajah rakan-rakannya tetapi dia masih tidak ingat lagi segala kenangan yang ditinggalkan bersama mereka.

Kemudian, Irene bangun dan turun dari katil. Kaki dibawa ke bilik air untuk membersihkan diri terlebih dahulu. Setelah selesai, dia mengenakan baju t-shirt putih dan seluar panjang hitam. Rambut merah panjang mengurai dibiarkan lepas begitu sahaja.

Dia menuruni anak tangga, rumah nampak sunyi di pagi hari. Irene menapak ke dapur dan tiada sesiapa pun di situ. Hanya teko air dan makanan di dalam bekas bertutup di atas meja. Irene melemparkan pandangan tanpa nafsu makanan lalu dia keluar dari rumah.

   "Hmm ... Hai." tegur seseorang ketika dia berjalan melintasi sebatang pokok berhadapan dengan rumahnya. Langkah Irene terhenti.

   "Ya? Siapa?" soalnya seraya menoleh belakang. Lelaki berambut merah pekat tersenyum mesra. Tanpa ada rasa was-was dia menatap lelaki itu. Tubuhnya kurus, rambut merah terpacak sikit ke atas. Boleh tahan kacak. Macam dia pernah nampak tapi di mana?

   "Kau lupa aku?" suara serak basah lelaki itu menyoal. Irene mengerut dahi, menayangkan reaksi muka tidak faham.

   "Kau siapa? Kita jumpa pun tidak." nafi Irene.

   "Aku lelaki dekat Fiesta Kebom tempoh hari." jelasnya. Dia melangkah ke depan.

   "Eh? Lelaki mana pula ni?" soal Irene lagi sambil mengundur ke belakang. Seriau pula dia lihat lelaki ini. Tiba-tiba saja muncul dan tegur. Entah-entah ada niat jahat! Dia pernah nampak lelaki ini tapi dia tidak ingat.

Melihat Irene mengundurkan diri, dia berhenti dari jauh. Dia mengukir senyuman. "Aku yang menyertai perlawanan di Fiesta Kebom. Ingat lagi?"

   "Oh! Ingat. Ada apa cari aku ..." Irene mengantung ayat. Dia pandang lelaki yang tidak dikenali itu. Air liur ditelan perlahan. "Macam mana kau tahu rumah aku dekat sini!" sambung Irene lagi. Pandangan penuh curiga dilemparkan terhadap lelaki itu.

   "Aku kebetulan lalu sini. Alang-alang ternampak kau, aku pun tegur."

Irene mengangguk perlahan. Tanpa membalas dia pusing badan ke depan dan membuka langkah. Tak ada masa mahu layan orang macam ni!

   "Nama aku Samuel."

   "Oh, okay Samuel." balas Irene mendatar. Dia berjalan tanpa mempedulikan Samuel di belakang yang terkejar-kejar.

   "Kau?"

   "Apa?"

   "Nama kau?"

   "Perlu ke sedangkan aku tak kenal kau?"

Balas Irene dingin. Samuel mengosok belakang leher. Auch, tiba-tiba menusuk ke kalbu pula dia rasa. Dia tetap tersenyum menerima layanan buruk gadis itu.

   "Janganlah sombong, aku cuma nak tahu nama. Bukannya luak pun."

   "Irene." jawab Irene tidak acuh.

   "Oh, okay."

Irene tidak membalas dia meneruskan langkah entah ke mana. Lelaki bernama Samuel ditinggalkan jauh ke belakang. Dia sendiri pun tidak tahu ke mana arah tujuannya yang sebenar. Dia main jalan sahaja.

   "Kau nak pergi mana sebenarnya?"

Soalan itu membuatkan Irene sekali lagi berhenti dari melangkah. Terkejut kerana Samuel masih lagi mengekori. Apa benda lelaki ni nak darinya?

   "Kau siapa nak tahu pasal aku? Kita kenal pun tidak!" marah Irene tetapi dengan nada suara yang terkawal. Pandangan tidak puas hati dilemparkan terhadap lelaki tersebut.

Samuel tersengih seperti kerang busuk. Muncul secara tiba-tiba di kawasan rumah tanpa diundang pula itu! Adakah ini satu kebetulan? Atau sesuatu yang disengajakan? Yang paling peliknya Samuel ini kelihatan sungguh baik, mukanya suci. Irene pun tidak tahu Samuel ini orang yang macam mana. Selalunya sekali pandang sahaja dia sudah tahu orang ni jenis macam mana, tetapi kali ini kosong. Susah dia nak terangkan melalui kata-kata.

MEREKA berjalan di dalam sebuah lorong bawah tanah setelah mereka sudah menjumpai batu yang ada di dalam peta tersebut dan di bawah batu itu terdapat satu pintu masuk. Obor-obor api terpasang dengan sendiri bila mereka membuka langkah. Sunyi. Tiada sepatah pun yang terbit dari bibir mereka. Mereka berjalan tanpa berhenti, mencari titik penghujung jalan.

   "Akhirnya kita sudah sampai!" ujar Ryan teruja sebaik sahaja keluar dari lorong yang panjang tanpa selekor. Tidak berkelip mata memandang ruang tersebut!

Teruja! Emas-emas menimbun tinggi bak gunung. Barang perhiasan berkilau-kilau dan batu permata pelbagai warna berteraburan di sana sini. Bukan itu sahaja, ada sebuah patung pahlawan emas di situ. Terlompong mulut mereka sebentar. Macam tidak percaya dengan apa yang mereka lihat! Ini ke harta karun Lycria?

   "Ini bukan satu gurauan kan?" Viez mengosok mata.

   "Biar betul? Kenapa ayahanda aku tak pernah cerita langsung pasal benda ini?" Alice mengorak langkah. Dia mengutip sejongkong emas. Isinya agak padat dan berat. Memang betul ini emas tulen!

Sedang asyik leka melihat barang-barang di situ. Mereka tidak sedar, satu-satunya patung pahlawan yang ada di situ sedang berkelip mata. Segala gerak geri mereka diperhati dari hujung rambut hingga ke hujung kaki!

Sebilah pedang menarik perhatian Viez. Dia bergerak lalu mengapai hulu pedang tersebut. Tiba-tiba patung emas tadi bertindak bergerak ke arah Viez. Ryan yang berada berdekatan terbeliak mata. Cepat-cepat dia tarik Viez dari sisi!

Bam!

Patung emas itu menghentak penumbuk pada permukaan tanah. Erina dan Alice sudah tercengang, manakala Rena melihat dengan kerutan di dahi.

   "Penceroboh!" ujarnya seakan suara robot. Ia bangun dari duduk melutut lantas mengambil pedang yang menarik minat Viez sebentar tadi. Mata pedang diacu ke depan!

   "Alice kau kata ini kerajaan kau yang punya?" Erina menyiku Alice dari sisi. Kecut pula dia melihat patung tersebut.

   "Kejap, aku pening sekarang ini. Memang ini semua Lycria punya." balasnya perlahan. Dia memicit-micit dahi. Pening. Serius harta karun ini milik dia. Tapi macam mana pula patung pahlawan itu kata dia penceroboh?

   "Patung ini penjaga tempat ini?" Erina pandang Rena.

   "Mungkin ...."ujar Rena meleret lalu melemparkan pandangan kepada Alice yang masih memicit dahi.

   "Keluar dari sini atau mati!" pekik patung tersebut. Berdesing telinga mereka! Masing-masing menekup telinga. Bingit! Patung tersebut menjulang pedang ke udara dan membuka langkah. Ura-ura mahu menyerang!

Alice nekad menapak ke depan sekaligus mematahkan tindakan patung itu untuk menyerang. Kepala berpusing pada Alice.

   "Beta Puteri Lycria." tegas Alice.

   "Lycria? Puteri Alice Waynestine?" serta merta pedang terlepas jatuh ke tanah. Lama patung itu tercegat. Ryan, Viez, Erina dan Rena berpandangan sesama sendiri. Alice kekal menatap muka patung bertopengkan besi itu. Wajahnya begitu tegang.

   "Ada apa Tuan Puteri kembali ke sini?" ujarnya seraya duduk menunduk. Dahi Alice bertaut, ayat 'kembali' itu membuatkan dia rasa pelik. Bukankah ini kali pertama dia jejak kaki di sini? Bila masa pulak dia datang ke sini?

Aduh, semakin bertambah sakit kepala Alice!





White Guardians 2 Where stories live. Discover now