Dia perlu segera ke hospital. Wang untuk membuat bayaran bil hospital ibunya sudah mencukupi setelah beberapa malam berada dalam gelanggang.

Pulang dari hospital, seperti biasa rutin hariannya. Dia akan ke sebuah bengkel, tempat dia bekerja.

Namun, di pertengahan jalan, dia melihat sebuah kereta Honda Jazz tersadai di tepi jalan. Nuh memperlahankan motosikalnya. Ketika itu, baru dapat dilihat Hana yang sedang bersandar pada kereta.

Leka gadis itu dengan telefon bimbit di tangan.

Hana mula memandang ke arah sebuah motosikal yang berhenti di hadapan keretanya. Apabila topi keledar di kepala penunggang motosikal itu dibuka, Hana mengangkat keningnya.

Nuh turun dari motosikal, berjalan mendekati Hana. Tayar hadapan kereta dijeling sekilas.

"Pancit?" Nuh bertanya menunjuk ke arah tayar kereta.

Hana hanya mengangguk.

"Ada tayar spare?"

"Ada. Barang barang semua ada. Boleh tolong saya tukarkan?"

Nuh mengangguk membuatkan Hana terus tersenyum. Lega. Dari tadi dia cuba menghubungi seorang kawan namun tak berangkat.

Telefon bimbit disimpan. Hana melangkah ke arah belakang kereta. Nuh mengekori.

But kereta dibuka. Nuh mengeluarkan tayar kereta dari situ. Hana pula membantu mengambil peralatan dan diletakkan di sisi kereta.

Hana hanya memerhatikan Nuh yang cekap menggantikan tayar keretanya.

Selesai, Hana mengambil beg tangannya. Sekeping not RM 50 dikeluarkan dan terus dihulurkan pada Nuh.

"Tak payah lah cik. Saya tolong." Nuh menolak.

"Tak apa. Ambil saja. Tak baik macam tu. Awak dah susah susah tolong saya panas panas macam ni."

Nuh terdiam.

"Ambil Nuh, buat belanja."

Nuh pandang wajah Hana. Beria mahu dia mengambil wang itu. Perlahan lahan huluran Hana disambut.

"Terima kasih cik. Saya pergi dulu. Hati hati."

Nuh berpaling dari situ.

"Nuh." Hana memanggil membuatkan Nuh kembali menoleh padanya.

Jeda seketika. "Awak okey?"

"Kenapa cik tanya?" Seperti biasa, tiada riak yang terlukis pada wajah Nuh. Sukar dia mahu membaca apa yang tersirat pada seraut wajah itu.

"Em, tak ada apa apa. Awak dah nak balik ya?"

Nuh tidak menjawab.

"Pergilah, terima kasih tolong saya." Usai kata katanya, Hana masuk ke dalam kereta.

Nuh menjongket kening, terus berpaling dan memanjat naik di atas motosikalnya. Topi keledar disarung. Sempat menoleh pada Hana, motosikalnya laju memecut meninggalkan gadis itu.






🎸🎸🎸






"Saya dah semak kerja kerja awak setakat ni. Jadi..." Hana mendiamkan diri sambil membelek belek kertas di tangannya.

"Semua okey, cuma masih ada yang saya tak puas hati. It's okay. Lepas ni, seorang seorang datang jumpa saya." Hana mengangkat muka memandang pelajarnya yang hanya mengangguk.

Matanya terhenti pada Nuh yang turut membalas pandangannya. "Especially you, Nuh. Datang jumpa saya."

Tidak mengiyakan, riak wajah bosan pula terpamer di wajah itu membuatkan Hana menggeleng.

"Tak lulus lah kau Nuh. Cik boleh jumpa Nuh sem depan pula cik." Salah seorang pelajarnya tiba tiba bersuara. Sedikit sinis nada suaranya.

"Kenapa cakap macam tu? Saya yakin semua pelajar saya akan berjaya." Hana berkata, tidak senang dengan kata kata pelajar yang bernama Asri itu.

"Berjaya lah sangat. Perangai macam samseng boleh berjaya ke?" Kali ini perlahan Asri berkata.

Hana menggeleng. Dilihat reaksi Nuh namun lelaki itu hanya buat buat tak dengar. Hana biarkan saja apabila mereka sudah mendiamkan diri.

"Siapkan kerja. I'll leave you here." Angkat begnya, Hana melangkah keluar dari bengkel.

Hampir separuh jalan kembali ke pejabat, beg tangannya diseluk cuba mencari telefon bimbitnya.

"Alaa, tertinggal ke?" Hana mengomel sendiri. Diperiksa lagi begnya namun memang telefonnya tiada di situ.

Hana berpatah balik, kembali ke bengkel. Dari kejauhan sudah kedengaran sedikit kekecohan. Kening berkerut. Langkah dihala pantas.

Pintu ditolak dan matanya terbuntang melihat Nuh yang mencekak kolar baju Asri. Tubuh Asri sudah ditolak ke dinding oleh Nuh.

"Kau ingat kau hebat sangat? Kau ingat bila kau datang berlagak macam samseng aku takut? Aku tak heran lah. Setakat anak banduan macam kau..."

Asri bersuara keras dan belum sempat menghabiskan kata katanya, penumbuk dari Nuh singgah di wajahnya.

"Hey, Nuh!" Hana hampir menjerit. Cepat cepat dia menghampiri mereka. Pelajar yang lain hanya memandang. Langsung tidak campur tangan.

"Kau jangan libatkan keluarga aku!" Nuh menjerit. Rahangnya bergerak menahan marah.

"Kenapa? Malu? Kalau aku pun malu dilahirkan dalam keluarga sampah macam kau." Asri membalas. Berang! Hujung bibirnya sudah mengalirkan darah.

"Kau memang cari nahas!" Nuh angkat lagi tangannya, melayangkan penumbuk pada wajah Asri.

"Ada apa ni!? Hentikan, Nuh! Saya bagi amaran pada awak." Keras suara Hana.

Nuh mencerlung tajam pada Asri. Tangannya digenggam makin kemas pada kolar baju lelaki itu.

"Nuh..."

Bergetar tangan Nuh melepaskan kolar baju Asri. Begnya diambil kasar dan tanpa memandang Hana, dia melangkah keluar dari kelas.

"Nuh!" Hana memanggil namun lelaki itu langsung tidak mempedulikannya.

Hana kemudian memandang Asri. Tajam. "Asri, in my office. Now!"










❄❄❄

I Like You | ✔Where stories live. Discover now