Bab 43: Hutan Maut

Start from the beginning
                                    

"Cepat... aku dah dapatkan kau dahan kayu tu. Bagitahu aku kau nak buat apa dengan benda tu," tutur Megat Azizan yang terduduk kepenatan.

"Jangan buat benda bodoh tu lagi," ucap Sofea sambil matanya meneliti kesan lecur pada lengan Megat Azizan. Matanya memancarkan seribu kerisauan. Berkerut-kerut dahinya.

"Risau juga awak dekat saya kan?" soal Megat Azizan.

"Mestilah! Awak kawan pertama saya kan?" balas Sofea, sebak.

"Sementara pasangan bercinta baru kat belakang aku tengah tenggelam dalam dunia diaorang, bagitahu aku apa gunanya unggun api yang kau nak hidupkan dalam hujan nanti?" soal Ikmal.

"Kau ingat lingkaran aku ni mampu bertahan sampai hujan turun? Nanti datang angin kuat nanti, dah cukup untuk buat bulatan garam aku ni melayang," kata Kamarul ketika dia sedang membaluti dahan kayu itu dengan sweater bajunya, membentuk gumpalan. Kemudian, dia mengeluarkan sebuah botol minyak dari beg galasnya dan dituangkan pada dahan kayu itu.

"Kau ni macam Doraemon," kata Ikmal spontan memerhati Kamarul.

"Sorry?" soal Kamarul, terhenti sejenak.

"Tak adalah. Kau sentiasa ada jalan nak lawan benda-benda ni. Semua datang dari beg galas kau. Kalau bukan doraemon, kau ni apa sebenarnya?" soal Ikmal membuatkan Kamarul tergelak kecil. Dia kemudian terus menuangkan botol minyak pada gumpalan pada hujung dahan kayu itu. Pemetik api dari poket seluar jeansnya terus dicampakkan pada gumpalan baju itu lalu menghidupkan api.

Serentak itu, angin yang kuat mula datang menderu-deru ke arah mereka. Mula-mula perlahan, namun semakin kuat. Ia datang bersama dengan bunyi guruh yang semakin galak menjerit di dada angkasa. Beberapa ketika kemudian, lingkaran garam yang dibentuk oleh Kamarul mula berterbangan dibawa oleh sang angin.

"Dekat dengan aku sekarang!" teriak Kamarul.

Megat Azizan bersama Sofea yang sedang bertenggek disebelah kirinya merapati Kamarul yang sedang menjulang obor api yang baru sahaja dihasilkannya. Begitu juga dengan Ikmal yang terus memeluk lengan kanan Kamarul.

"Ke tepi! Bagi kamu laluan! Jangan kacau kami!" teriak Kamarul apabila segerombolan semangat hutan mula menghampiri mereka. Namun, mereka semua masih lagi degil memaksa Kamarul mencucuh salah seekor Semangat Hutan dengan obor apinya. Apa lagi, api tadi dengan ajaib dan betapa pantas terus memakan seluruh tubuhnya. Semangat Hutan itu menjerit sekuat hatinya, berlari-lari untuk memadamkan api di tubuhnya. Ada Semangat Hutan yang turut terbakar terkena tempiasnya api ditubuhnya.

Untuk seketika, dalam keadaan hutan yang sedang berangin menerbangkan daun-daun kering, ratusan Semangat Hutan yang sedang mengelilingi mereka mula membuka jalan, membiarkan Kamarul terus mengetuai rakan-rakannya yang lain. Namun, disebalik laluan yang dibuka untuk mereka, betapa setiap Semangat Hutan tetap mengekori mereka dari belakang. Namun, sepertinya alam tidak langsung mahu membantu mereka. Entah kenapa ketika detik itu jugalah yang dipilih oleh sang langit untuk memuntahkan air matanya. Ia terus turun dengan lebat lalu memadamkan obor api yang sedang dipegang oleh Kamarul. Mereka berempat yang sedang berlari meninggalkan kawasan perkarangan hutan itu tergamam sebelum menoleh belakang.

"Arghhhhhhhhh!" Laungan serentak penuh kelaparan bergema, datang daripada kumpulan Semangat Hutan dibelakang Kamarul.

"Aku terlupa diaorang dalam keadaan diaorang masa kena air hujan," tutur Kamarul.

"Jadi... kita nak buat apa?" soal Ikmal.

"Lari!" teriak Kamarul.

Apa lagi, mereka berdua terus membuka langkah seribu. Kelihatan Megat Azizan spontan menyambar pergelangan tangan Sofea, lalu berlari bersama gadis itu. Namun, bukan senang untuk berlari dalam keadaan hutan yang dipenuhi becak dan lumpur, sambil air hujan sedang turun mencurah dari atas langit terbuka. Tambahan pula betapa tanah di bawah mereka adalah tidak rata, beralun-alun. Lagi-lagi dengan akar kayu yang tumbuh merata menjalar menguasai lantai hutan. Betapa beberapa kali mereka terjatuh, hampir sahaja dibaham dek Semangat Hutan yang sedang mengejar mereka dari belakang. Betapa baju mereka bukan sahaja lecun, namun turut bersalut kesan tanah yang terdapat di merata tempat.

"Woi! Tunggu! Sofea terjatuh lagi!" teriak Megat Azizan sambil berhenti berlari, lalu melutut disebelah Sofea.

"Ikmal... berhenti! Sofea!" suruh Kamarul.

"Kaki saya... terseliuh," ucap Sofea.

Megat Azizan terus menumbuk tanah dibawahnya yang berlecak itu.

"Kenapa mesti sekarang cliché ni berlaku?" teriak Megat Azizan lalu duduk bercangkung membelakangkan Sofea.

"Naik belakang saya, saya gendong awak!"

"Celaka... aku tak nak mati lagi!" teriak Ikmal sambil meneruskan larian kencangnya. Namun, dia pula tersembam apabila terlanggar akar kayu yang tidak disedarinya. Habis mukanya penuh dengan lumpur. Kamarul terus menghampiri Ikmal, membantu lelaki itu untuk berdiri.

"Kamal... Kamal... kaki aku Kamal!" teriak Ikmal ketakutan menyedari bahawa kakinya juga terseliuh.

"Naik belakang aku jugak Ikmal!" arah Kamarul. Ikmal dengan berat hati memanjat tubuh Kamarul dari belakang sebelum Kamarul bangkit berdiri, menghadap Megat Azizan yang sedang berdiri sambil mengendong tubuh Sofea di belakangnya.

"Oh tidak..." gumam Megat Azizan apabila jeritan Semangat Hutan seperti petir bergema di belakang mereka.

"Saya minta maaf..." bisik Sofea di telinga Megat Azizan.

Kamarul yang sedang berdiri seperti terpaku menyaksikan hanya beberapa meter sahaja memisahkan Megat Azizan dan juga Sofea dari gerombolan Semangat Hutan yang sedang mengejar dari belakang.

"Lari! Tinggalkan aku dengan Sofea!" teriak Megat Azizan.

"Kamarul, cepat!" Ikmal dibelakang menjerit.

Namun, Kamarul tetap tercegat memerhati. Terdapat beberapa ekor Semangat Hutan melompat dari dahan pokok dan cuba menumbangkan Megat Azizan dan Sofea. Dia menjerit menyuruh Megat Azizan dan Sofea berlari bersamanya. Sepertinya, mereka berdua, turut terpaku dengan kemunculan tiba-tiba Semangat Hutan dibelakang. Megat Azizan sudah mula memejamkan matanya, manakala Sofea semakin mengetatkan pelukan di leher Megat Azizan, seperti sudah pasrah dengan maut yang bakal menimpa.

Dan kemudian... terdapat beberapa bilah tombak terus merejam tubuh Semangat Hutan yang sedang melayang ke arah Megat Azizan dan Sofea. Tubuh mereka jatuhs eperti cempedak busuk di sekitar Megat Azizan dan Sofea.

"Jangan kau apa-apakan sahabat-sahabat aku!" Suara yang sangat dikenali oleh Kamarul menyapa cuping telinganya. Dia menoleh belakang dan kelihatan lautan lelaki dan perempuan di atas seekor kuda putih yang berkilau aneh sedang berlari deras ke arah lautan Semangat Hutan. Emmy kelihatan menunggang di atas kuda itu bersama dengan seorang wanita yang memakai baju kurung Perak yang sedang membawa sebuah busur panah.

"Kuda-kuda tu... tembus badan aku!" teriak Ikmal tidak percaya apabila pendekar-pendekar berkuda itu sekadar berjalan telus melalui mereka. Namun, apabila kuda-kuda itu mengenai Semangat Hutan, mereka semua diinjak oleh tapak kaki kuda yang dipasang besi itu.

"Orang bunian?" gumam Kamarul tidak percaya.

Lantai hutan pada tengah malam yang dicurahi oleh hujan dari langit itu penuh dengan darah Semangat Hutan yang ditebas kepala-kepala mereka oleh parang, pedang, dan kilatan yang dibawa oleh pendekar-pendekar bunian.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now