Bab 27: Gadis Yang Bangkit Dari Kematian

3.8K 234 4
                                    


Gadis yang bangkit dari kematian dan zombie girl adalah nama-nama yang dikaitkan dengan Emmy Natashia, gadis yang pada awalnya di Adrujha adalah gilaan seluruh jejaka sekolah. Kini, sekembalinya ke Adrujha, dia adalah seorang "freak" yang seboleh mungkin mahu dijauhi oleh pelajar lelaki, apatah lagi perempuan. Bayangkanlah, seorang gadis yang disangka mati, namun terus diumpat oleh seluruh sekolah kerana kisah silamnya, kembali semula dalam keadaan bernafas dan sihat walfiat.

Itulah yang dirasainya ketika hari pertama selepas lebih dua minggu hidup dalam keadaan terbalik digantung dari siling sebuah rumah kayu yang yang terletak di pinggir bandar, milik seorang bomoh tua yang wujud di dalam realiti kerana sebuah laman web seram, yang dimana kebanyakan cerita yang dinaikkan di situ menjadi realiti. Sebaik sahaja ayahnya menghantar Emmy dihadapan pagar sekolah, dua orang pengawas yang sedang berjaga di satu-satunya laluan masuk, memandang Emmy dengan pandangan yang berbaur perasaan. Seperti kebiasannya, ada pemeriksaan seperti kuku, rambut dan pemakaian yang kemas di laluan masuk sekolah.

Ada renungan terkejut melihat Emmy sedang berdiri sambil tersenyum ke arah mereka. Ada juga unsur jijik yang tentunya datang selepas penyebaran video lucah zaman jahiliah Emmy ke seluruh sekolah angkara Amran. Namun, yang paling menguasai renungan dua orang pengawas itu ialah renungan penuh ketakutan ke arah batang tubuhnya yang lengkap berbaju kurung putih dan berkain biru. Yalah, bukan selalu kisah gadis yang bangkit dari kematian menjadi realiti. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja, langkah kakinya terasa berat.

Ditoleh belakang, si ayah sudah jauh meninggalkannya dengan kereta Proton Saga, menuju ke tempat kerja. Di hadapannya pula, dia bakal dihadapkan dengan ujian baru. Seluruh sekolah bakal menghadiahkannya dengan umpatan, kutukan, dan renungan yang penuh menghukum. Tiba-tibva sahaja, terbit niat untuk ponteng pada hari itu. Mungkin dia akan ke taman yang berdekatan, menghabiskan paginya dengan memandang sang burung dalam kumpulan mereka. Sekurang-kurangnya bersama dengan haiwan, tidak ada yang mahu menghakiminya. Sekurang-kurangnya, ditemani oleh alam, bisikan yang didengarinya adalah ketenangan alam yang memberikan rasa tenteram. Mereka tidak sesekali berlagak tuhan, memberinya pelbagai label dan prasangka.

"Kita masuk sama-sama," tutur satu suara membuatkan Emmy menoleh ke kiri dan kananya. Izzat, Najirah dan juga Megat Azizan sedang mengapitnya.

"Kau orang..." Emmy hilang kata-kata.

"Kita orang tahu hari pertama kau dekat sini bukanlah mudah Emmy. Sebab tu kita orang rancang nak jemput kau kat depan sekolah," kata Megat Azizan.

"Persetankan 700 orang pelajar kat dalam sana Emmy. Yang penting, kau ada kita orang," kata Najirah pula.

"Terima kasih tau," ucap Emmy, sebak dengan penghargaan yang diberikan oleh sahabatnya yang lain.

"Jangan menangis. Apa yang kita buat ni, sahabat lain dalam dunia pun akan buat. Sentiasa ada untuk sahabatnya," tambah Izzat lagi.

Emmy mengangguk. Kehadiran Izzat, Najirah dan Megat Azizan disisinya pada hari pertama di Adrujha mendatangkan keberanian yang baru. Inspirasi untuk memulakan hidup yang baru bersama dengan mereka yang benar-benar menghargai kehadirannya dalam hidup mereka. Dia terus melangkah sambil tersenyum. Selepas melepasi pemeriksaan penampilan oleh dua orang pengawas yang bertugas, dia terus melangkah masuk ke dalam sekolah.

Sekali lagi, langkahnya dimatikan oleh renungan-renungan yang sedang dilepaskan seperti busur anak panah oleh mata-mata pelajar. Mereka memandangnya serentak, seolah-olah sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke dalam Adrujha, ada loceng yang berbunyi kuat di atas kepalanya, atau seperti ada pembesar suara yang menjerit memanggil seluruh isi sekolah, memberitahu bahawa gadis paling sundal di Adrujha telah kembali dari kematian.

Menggunung (Completed)Where stories live. Discover now