Sayang Papa Saya, Tak? 21

21.1K 448 33
                                    

"Lewat balik,"

Farish berpaling. Ibunya bersandar di sofa. Dia mengerling jam di dinding. Pukul sepuluh lebih. Tanpa menjawab, dia bergerak mendekati ibunya. Turut melabuhkan punggung ke sofa. Sepi. Hanya ibunya sendirian membelek majalah. Matanya memerhati sekeliling.

"Semua dah tidur,"Puan Rogayah bersuara. Farish tidak membalas.

"Dari pagi keluar, malam baru sampai rumah. Apa program yang dibuat kat sana?,"

"Saya balik awal. Tapi, lepas tu pergi jumpa Shahrir. Ada hal sikit nak bincang,"

Puan Rogayah diam. Hanya matanya tajam memandang wajah Farish yang nampak sedikit kepenatan.

"Kenapa ajak Azyan? Kenapa tak ajak Raisya?,"setelah agak lama berdiam, dia mula ajukan soalan.

"Azyan yang ajak saya. Bukan saya ajak dia, mama,"

"Kenapa tak ajak Raisya pergi sekali?,"

Farish memandang wajah ibunya yang kelihatan serius.

"Suka ke dia pergi ke tempat macam tu? Rasanya dia lagi suka dapat duit lima ratus dari saya, pagi tadi kot,"

"Itulah kamu. Cuba selami dulu hati isteri tu. Cuba kenal perangai dia macam-mana. Tak bolehlah yakin sangat dengan andaian yang kamu buat tu,"

"Kenal, mama. Kenal sangat. Minggu lepas nasib baik saya tak mati kena cekik sebab duit punya pasal,"

Puan Rogayah bulatkan mata. Sedikit terkejut mendengar kata-kata Farish.

"Kenapa? Dia buat apa? Dia cekik kamu ke?,"

Farish tersenyum nipis.

"Tak perlu ulas pasal tu lah. Memang salah saya dulu. Forget it. Cuma... yang saya rasa tak sedap hati... sikap dia kebelakangan ni,"

"Kenapa?,"

Faris menghela nafas panjang. Teringat aksi-aksi Raisya yang sedikit mengganggu emosinya. Memandang wajah ibunya yang ternanti akan penjelasan, akhirnya dia menggeleng perlahan. Berasa tidak sesuai untuk berkongsi apa yang dia rasa dengan ibunya. Hal itu terlalu peribadi rasanya.

"Tak ada apa-apa,"

Puan Rogayah merengus lembut.

"Nak cerita.... tak nak cerita...,"perlahan dia merungut.

"Tak pentinglah. Anyway, mama bawa dia ke mana hari ni?,"

"Shopping,"

Farish menggeleng perlahan. Kalau itu jawapan ibunya, dia yakin duit yang keluar pasti bukan dari wallet Raisya.

"Jangan manjakan sangat menantu mama tu,"

"Kamu tu, jangan sombong sangat dengan isteri tu. Raisya nampak aje macam tu. Tapi, mama rasa dia banyak simpan dalam hati setiap benda yang kamu cakap pada dia. Jaga sikit mulut tu. Dia tak melenting, tak bermakna dia tak kecil hati,"

"Yalah, mama. Okaylah. Saya nak masuk bilik dulu,"

"Oh ya, mama suruh Raisya tidur dalam bilik kamu dulu,"

Farish yang sudah pun mahu melangkah, tiba-tiba terhenti. Berpaling memandang wajah ibu lama. Biliknya dulu? Bermakna Raisya tidur di dalam bilik dia dan Kasih dulu.

"Mama...,"

"Kenapa? Dia pun isteri kamu kan?,"

"Tapi, kenapa bilik tu?,"

"Takkan kamu nak biarkan bilik tu terus kosong? Kamu kena belajar terima hakikat. Terima kenyataan dan teruskan hidup kamu dengan Raisya... dengan Qalish,"

"Suka hati mama lah,"Farish bersuara mendatar. Tidak mahu terus berdebat tentang orang yang telah tiada.

"Saya naik dulu, mama,"

Puan Rogayah hanya mengangguk.

Lambat-lambat dia melangkah menuju ke biliknya. Berdiri di hadapan biliknya, dia mengerling ke arah bilik yang pernah dihuni bersama Kasih. Sejak pemergian Kasih memang dia tidak lagi menggunakan bilik itu. Tidak jadi membuka pintu biliknya, dia bergerak ke bilik yang terletak selang satu bilik dari biliknya. Berdiri seketika sambil menghela nafas panjang. Bilik itu adalah bilik kenangan. Perlahan tombol dipulas. Tidak berkunci. Pintu ditolak perlahan-lahan. Kaki melangkah ke dalam bilik yang sedikit suram.

Bilik yang langsung tidak berubah. Berada di ruangan itu, terasa bagai Kasih ada di mana-mana. Tetapi cuma seketika. Di dalam kesamaran, dia melihat Qalish yang lena di dalam pelukan Raisya. Lena di katil yang pernah dia kongsi bersama Kasih. Dia mendekat. Matanya terpandang pada berhelai-helai baju yang memenuhi ruang katil. Dicapai sehelai dan diteliti. Berkerut keningnya. Diletakkan kembali dan dicapai yang lain. Semuanya gaun singkat yang boleh tahan terdedah. Teringat pada kelakuan aneh Raisya, dia jadi tidak sedap hati.

"Mama belikan,"

Pantas dia menoleh. Memandang hairan ke arah ibunya.

"Beli buat apa? Dia keluar rumah bertudung. Beli baju macam ni, apa fungsinya? Bukan dia pakai. Mahal pula tu,"

"Memanglah bukan untuk keluar rumah. Tapi untuk pakai dalam rumah,"

Farish memandang lama. Kata-kata ibunya... tingkah laku Raisya... rasanya dia sudah mampu buat kesimpulan. Bukan kerana pengaruh internet. Tetapi nampaknya isterinya sedang dipengaruhi oleh ibu mertua.

"Mama buat apa ni?,"

"Mama nak bagi kamu sedar yang dalam rumah kamu tu, ada seorang perempuan. Faham?,"

Farish melopong. Hilang kata-kata. Ibunya mengangkat kening sebelum melangkah meninggalkannya. Meninggalkan dia terkebil-kebil memikirkan komplot ibu dan isteri. Pandangan teralih ke arah Raisya yang lena. Perlahan dia menggeleng. Ibunya yang terlalu bimbangkan dirinya dan isteri yang semakin hari nampaknya semakin naïf. Tanpa sedar dia tersenyum nipis. Sekali lagi memandang baju-baju yang masih berselerak. Kemudian pandangannya singgah ke wajah Raisya dan lambat-lambat pandangan turun ke tubuh Raisya yang berbaju kelawar. Imaginasi nakalnya mula membayangkan Raisya di dalam pakaian yang dibeli ibunya itu. Dia menggeleng sambil bergerak meninggalkan bilik itu. Perasaan sebegitu tidak boleh dilayan. Dia lelaki dan dia normal.

Sayang Papa Saya Tak?Where stories live. Discover now