Sayang Papa Saya Tak? 16

18.7K 418 37
                                    

Sambil berbaring di sofa, matanya memerhati banglo yang cukup besar padanya itu. Tidak pernah dia berani bermimpi pun untuk tinggal di dalam rumah sebesar ini. Hidupnya sudah cukup terbiasa dengan ruang empat segi bilik rumah teres kos sederhana yang dikongsi lapan orang. Bersempit dengan katil dua tingkat. Dia, Fathiya dan Rosma sebaya. Sementara kawan sebilik yang lain adalah adik-adik perempuan yang masih bersekolah rendah. Tiba-tiba hatinya disapa rindu pada adik-adik yang memang rapat dengannya. Itu belum lagi adik-adik kecil lain yang berkongsi bilik dengan Ibu Latifah. Mia dan Yaya yang baru berusia tiga tahun. Fahmi dan Ijam anak kecil berusia lima tahun yang sedang lasak. Juga kawan-kawan lelaki yang turut menginap di Rumah Asuhan Budi. Rumah teres dua pintu bersebelahan yang dijadikan tempat untuk dia dan rakan-rakan lain menumpang kasih. Sebuah dijadikan asrama untuk perempuan dan sebuah lagi dihuni budak-budak lelaki di bawah jagaan Abang Yusri.

Perlahan dia mengeluh. Rindunya. Kalaulah dia boleh balik ke sana untuk seketika. Tetapi, bagaimana pula dengan Qalish? Dia berkalih baring. Diam memandang sofa. Diam-diam bibir matanya memberat. Rindu pada Rumah Asuhan Budi. Sudah hampir sebulan dia menghuni rumah besar ini. Bersendirian hanya dengan Qalish. Duit yang mahu diberi pada Ibu Latifah pun masih diam di dalam akaunnya. Semuanya disebabkan rasa takut. Takut dimarahi Ibu Latifah. Takut kalau-kalau Ibu Latifah mengamuk dengan tindakannya. Berkobar-kobar dia bercakap dengan Fathiya tempoh hari, sudahnya, hatinya tetap kecut memikirkan kemarahan Ibu Latifah.

Perlahan dia menyapu air mata yang membasahi pipi. Sedih merindu Rumah Asuhan Budi yang jauh, dibiarkan tertumpah seketika sebelum kembali ceria meneruskan kehidupan.

"Buruk atau baik, gembira atau sedih, semua itu hadiah daripada ALLAH untuk kita. Kita kena terima dengan penuh syukur. Selalu kena bersyukur,"

Itulah kata-kata Ibu Latifah yang sering menjadi pegangan hidupnya. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya. Dia tersenyum lebar.

Dengan malas dia menggeliat lemah. Membetulkan segala tulang-temulang yang terasa mahu terlerai. Menjaga Qalish yang sudah laju merangkak sememangnya membuat dia penat. Itu belum dicampur dengan kerja-kerja lain lagi.

"Hey! What are you doing?!,"

Terkejut dengan sergahan yang tiba-tiba, dia yang baru separuh menggeliat, terus terhenti. Sudah jadi seperti mentadak yang baru habis digoyang-goyang. Dia terdongak. Tajam mata Farish memerhati. Laju dia bangkit. Terus terduduk sopan di sofa.

"Kamu buat apa ni?,"

"Menggeliat. Awak tak pernah menggeliat ke?,"

Farish mengalihkan pandangan. Masuk sahaja ke ruang utama, dijamu pula dengan Raisya yang melentok-liuk tubuh menggeliat, memang dia berasa cukup terganggu.

"Saya beri kamu satu bilik kat rumah ni, kan?,"

Raisya mengangguk.

"Jadi, kenapa tidur dengan gaya tak senonoh kat sini?,"

Raisya memandang wajah Farish yang mencuka.

"Mana ada menggeliat yang senonoh? Awak menggeliat sopan ek? Cuba buat, saya nak tengok. Boleh belajar dengan awak,"

Farish merengus geram. Sia-sia ajak Raisya bergaduh. Terus sahaja dia melangkah laju meninggalkan ruang tamu. Raisya mencemik.

"Menggeliat pun marah. Apalah punya pakcik,"bebelnya sambil mengangkat punggung. Sekilas matanya memandang jam di dinding. Hampir pukul sepuluh malam. Farish pulang lewat dari biasa. Satu keluhan panjang meniti di bibirnya. Kadang-kadang bosan sendirian di rumah. Melihat Farish yang mampu berkurung di dalam bilik lama-lama membuat dia jadi kagum. Lelaki itu tidak tahu bosankah?

Berdiri tegak di tengah-tengah ruang tamu seketika, dia kembali melabuhkan punggung ke sofa. Bosan. Mahu menonton televisyen, itu bukanlah kegemarannya. Mungkin sejak kecil dia tidak didedahkan dengan televisyen, membuat dia tidak berminat. Bermain-main dengan Qalish, anak kecil itu sudah lena. Siang tadi bukan main susah mahu tidur, belum pukul sepuluh Qalish sudah lena. Tidur? Matanya masih belum mengantuk. Raisya terkebil-kebil sambil bersila di sofa. Mahu naik ke atas mengajak Farish bersembang, rasanya itu tindakan mencari penyakit. Sudahnya, dengan malas dia mencapai majalah. Belek dua tiga muka surat, majalah dicampak semula ke meja. Kepala disandarkan ke sofa. Terkebil-kebil sendirian.

Sayang Papa Saya Tak?Where stories live. Discover now