Mencintai Dia... 4

14.4K 350 18

"Saya tak setuju,"

"Mama tak minta kamu setuju. Mama minta kamu nikah,"

Farish diam. Sarapan ditolak ke tepi. Hilang selera untuk menghabiskan dua keping roti di dalam piring.

"Saya ke office dulu,"ucapnya tegas sambil menolak kerusi ke belakang.

"Tunggu,"arahan Puan Rogayah tidak kurang tegasnya. Raisya diam sambil memegang erat cawan milonya. Pertelingkahan kecil dua beranak itu, dipandang melalui ekor mata. Wajah Farish yang tidak pernah senyum, pagi ini kelihatan bertambah-tambah kelat.

"Saya tak akan kahwin. Tidak dengan budak umur lapan belas tahun yang mata duitan ni, atau dengan sesiapa sahaja,"

Raisya mengangkat muka. Mengerling ke arah Farish. Tidak berpuas-hati dengan kata-kata lelaki itu. Dia bukan budak lagi. Dia sudah boleh berdikari. Sudah pandai mencari rezeki. Dan yang lebih penting, dia bukan mata duitan.

"Hanya dia yang mama yakin untuk jaga Qalish,"

"Dia boleh jaga sampai bila-bila. Saya tak kisah semua tu. Sikit pun saya tak ada masalah kalau dia jaga Qalish,"

"Sebab tu dia kena nikah dengan kamu,"

Farish merengus perlahan.

"Qalish tinggal dengan mama. Saya tak boleh jaga dia. Saya tak mampu nak jaga dia. Jadi, kenapa tiba-tiba saya kena nikah dengan budak mata duitan ni?,"

Raisya mencemik di dalam diam. Senangnya perkiraan lelaki ini. Ada anak diabaikan begitu saja. Tiada perasaan barangkali. Dan, sekali lagi. Dia bukan mata duitan!

"Itu yang mama tak nak. Qalish kena tinggal dengan ayahnya. Kalau kamu tetap nak pulang ke rumah lama kamu, kamu kena kahwin dengan Raisya. Dia akan tinggal dengan kamu. Jadi isteri kamu... jadi ibu pada anak kamu,"tegas bunyinya nada suara Puan Rogayah.

Farish diam. Cuma matanya tajam mengerling ke arah Raisya. Menyedari kerlingan itu, laju Raisya meneguk milo suam.

"Kamu buat apa di sini? Curi dengar?,"sinis Farish bertanya. Raisya menggeleng.

"Sarapanlah. Nanti Alish bangun dah tak sempat nak sarapan,"laju dia menerangkan kedudukan sebenar, walau di dalam hati, memang niatnya mahu mendengar perbalahan itu. Bukan selalu dapat melihat Farish menggunakan mulutnya itu untuk bercakap. Selalunya mulut itu cuma digunakan untuk mengunyah makanan.

Farish merengus marah. Terus berlalu tanpa sempat Puan Rogayah habiskan kata-kata. Melihat anak tunggalnya terus meninggalkan perbincangan mereka, Puan Rogayah turut merengus geram. Raisya diam sambil menyuap mee goreng ke mulut. Tidak mahu masuk campur urusan peribadi orang lain. Biarlah Puan Rogayah hilang selera makan. Biar juga Farish terus tidak berselera. Namun, dia tidak mungkin akan membiarkan sahaja hidangan penuh meja ini membazir tanpa dijamah.

"Kamu ada idea?,"

Raisya mengangkat muka.

"Hah?,"

"Tahu macam -mana cara nak pujuk Farish tu?,"

Raisya tersengih. Silap orang Puan Rogayah mengajukan soalan. Kalau ditanya tahukah dia bagaimana hendak dibelanjakan duit seratus ribu itu, maka senanglah dia menjawab. Sudah jelas di kepala apa akan dia lakukan andai duit itu berjaya dia perolehi. Ini, soalan tentang bagaimana hendak memujuk Farish. Sah-sahlah dia tidak tahu. Laju dia menggeleng.

"Pujuk Alish pandailah saya. Kalau pujuk Encik Farish, manalah saya tahu,"sambil tergelak kecil, akhirnya dia tetap memberi jawapan untuk soalan itu.

Puan Rogayah mengeluh perlahan.

"Kalau Encik Farish tak nak, kira tak jadi ajelah Puan,"

"Mana boleh...,"

Sayang Papa Saya Tak?Read this story for FREE!