Sayang Papa Saya Tak? 17

16.5K 388 49

"Dah sebulan lebih kamu nikah kan?,"

Farish mengangkat muka.

"Bawalah Raisya dengan Qalish pergi bercuti. Kalau nak berdua saja, Qalish boleh tinggalkan dengan mama. Spend masa bersama. Boleh kenal satu sama lain. Mana tahu nanti boleh jadi elok hubungan tu,"

"Mama, rasanya sebelum saya setuju untuk nikah, benda ni kita dah bincang. Saya dah ada Kasih. Walau sekarang ni Kasih dah tak ada, kenangan dia masih ada. Saya tak perlukan sesiapa lagi dah,"

"Betul ke?,"

"Sampai saat ini, saya cuma fikirkan Kasih saja. Budak mata duitan tu pun, mungkin sibuk kira duit dia saja,"

"Tak baik kamu cakap macam tu kat Raisya. Mata duitan tak mata duitan pun, dia dah sah jadi isteri kamu. Dia jaga anak kamu betul-betul. Hargailah sikit budak tu. Dia muda lagi. Banyak yang dia mungkin tak tahu... tak faham. Tugas kamulah ajar dia,"

"Mama suruh saya singgah ni, sebab nak cakap pasal ni saja?,"

"Yalah. Daripada dia mula-mula kerja dengan kita, mana pernah dia ambil cuti? Dah jadi menantu mama pun, sibuk sangat dengan Qalish. Apa salahnya ajak dia bercuti. Lapangkan fikiran. Kamu pun boleh lapangkan sekali fikiran kamu yang makin hari nampak makin kusut tu,"

Dia menghela nafas dalam-dalam. Diam bersandar pada katil. Memerhati sekeliling bilik yang sunyi. Terfikir-fikir tentang soalan ibunya petang tadi. Soalan berbaur cadangan. Dan, kalau sekali ibunya bersuara, pasti topik itu akan terus berulang nanti. Cuma, apa yang bermain di kepalanya saat ini, adalah kebenaran kata-kata ibunya. Memang benar sejak mula bekerja dengannya, Raisya tidak pernah mengambil cuti. Cara dia menjaga Qalish juga harus dipuji walaupun perangai mata duitan gadis itu membuat dia sakit hati. Mungkin wajar cadangan ibunya itu. Sedang dia berfikir-fikir, pintu biliknya diketuk perlahan. Pasti Raisya. Dengan sedikit malas, dia bangkit menuju ke arah pintu tertutup rapat. Daun pintu di tarik perlahan. Raisya tercegat di hadapannya.

"Ada apa?,"

Raisya melarik senyum. Berdebar mahu suarakan permintaannya.

"Saya nak cakap sikit, boleh?,"

"Lima puluh ringgit seminit. Mula dari sekarang,"

Daripada bibir yang separuh senyum, terus hilang senyum di bibir gadis itu.

"Mak ai. Mahalnya. Minta ubat dengan doktor pun, doktor tak caj mahal macam tu,"

"Okay. Selamat malam,"balas Farish sambil menolak daun pintu. Pantas Raisya menahan. Dia perlu bercakap dengan Farish.

"Kejap...kejap. Lima puluh pun lima puluh lah. Saya nak cakap kejap ni,"

"Okay. Mula sekarang,"

"Eh, mana boleh. Kejap,"bantah Raisya sambil matanya melilau mencari sesuatu. Farish hanya memerhati. Raisya menyerbu masuk ke biliknya dan dia tetap menanti di pintu. Melihat apa yang dicari oleh gadis itu.

Raisya kembali padanya bersama jam tangan miliknya di tangan.

"Pinjam ya,"

Farish mengerutkan kening. Lurus pula gadis yang selama ini kepalanya penuh berselirat dengan cara untuk dapatkan duit.

"Nak cakap apa?,"

Raisya memandang seketika wajah Farish. Kemudian dia tunduk memandang jam di tangannya. Pastikan tidak lebih daripada lima minit.

"Saya nak cuti satu dua hari boleh? Saya nak ikut kawan saya pergi jumpa ibu kami. Pemilik rumah anak yatim yang saya tinggal dulu. Tapi, sebelum pergi, nanti saya ajak dia datang sini dulu. Boleh kan? Kawan saya tu perempuan. Awak tak perlu risau,"panjang lebar dia bersuara sambil mata tajam merenung jarum jam yang bergerak. Langsung tidak memandang wajah Farish. Dia perlu mengejar masa. Duit yang dikumpul bukan untuk dibuang sesuka hati.

Sayang Papa Saya Tak?Read this story for FREE!