BAB 17

6 0 0
                                    

PETANG itu ditemani langit biru.
Pada langit yang membiru itu ada cerita di antara mereka. Langit biru itu pada lapisan-lapisannya yang berarak itu ada cerita mereka semua yang tidak dikisahkan. Hanya mereka yang tahu. Dua pasang mata yang sedang ralit memandang di atas.

Di hadapan mereka, seorang kanak-kanak lelaki turut menyedut minuman yang sama tidak menghiraukan mereka-mereka yang sedang lalu lalang. Waktu-waktu begini kawasan setinggan itu sesak. Tidak kira orang tua mahupun muda.

Masing-masing sibuk dengan langkah dan kerja ke sana sini sendiri.

Seorang gadis dan seorang pemuda duduk di kerusi plastik di pinggir jalan kawasan setinggan itu sambil berbual dan memandang langit biru kesukaan mereka. Biarpun hidup mereka tidak seterang langit di atas, mereka berdua sudah cukup dengan apa yang ada. Biar kadang-kadang kelabu langit datang membawa hambarnya kehidupan, mereka tidak mungkin menyesal mahupun berputus asa.

“Macam mana dengan rawatan dialisis ibu kau, Dina?” tanya Affan, prihatin.

Anak mata dia dan Medina bersatu.

“Alhamdulillah, setakat ini aku tengok okey, tapi aku turut sakit tengok ibu aku kena lalui semua proses rawatan tu.”

Affan mendengar, penuh perhatian.

“Dua kali seminggu. Setiap kali rawatan tu aku tengok dia, aku tak sanggup, Affan. Kalaulah aku boleh bertukar tempat dengan dia.” Medina meluahkan semua yang terpendam.

“Kau kena banyakkan sabar, Dina. Aku tahu Medina seorang yang kuat.” Affan memberi kata semangat. Wajah itu ditatap lama. Bunyi suara, bunyi kenderaan dan bunyi tapak kasut orang ramai tidak mereka hiraukan. Mereka sedang berada di dalam dunia dan di langit mereka sendiri.

“Hm, macam mana dengan duit dan kos rawatan ibu kau?” Affan lambat-lambat bertanyakan.

Medina menelan liur yang terasa kesat dan payau. Memikirkan kos rawatan dan segala perbelanjaan yang ditanggung oleh dia, Medina sebak. Hanya Allah yang tahu. Bagaimana dia berjuang untuk mendapatkan wang dan menanggung kehidupan mereka bertiga sekarang.

Duit gaji dan simpanan semakin menyusut. Kos rawatan setiap kali dialisis hampir beratus. Makan dan pakai mereka.

“Aku guna duit simpanan aku.”

Affan merenung mata itu. Dia bukan tidak tahu bagaimana gigihnya seorang Medina untuk mendapatkan wang dan menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Kalaulah aku ada banyak duit. Aku sanggup dermakan buah pinggang aku untuk ibu aku. Aku sanggup lakukan pembedahan untuk pemindahan buah pinggang untuk ibu aku, Affan.”

Affan tersentak.

“Dina…”

“Betul! Aku sanggup Affan. Demi ibu aku. Aku rasa buah pinggang aku sesuai untuk ibu aku. Doktor ada cakap hari tu, tapi…” Suara Medina terhenti.

Affan mengalihkan anak mata lelakinya. Tidak sanggup memandang wajah dengan air mata itu yang kesedihan dan teresak-esak menangis.

Medina… Tolonglah kuat.

“Medina, dengar sini.” Affan memanggil nama itu sambil beriak tenang. “Aku tahu kau sedih. Aku tahu banyak benda yang kau lalui. Dan maafkan aku sebab aku tak dapat tolong kau banyak, tapi aku harap kau jangan lemah macam ni. Kau kuat! Aku tahu.”

Affan cuba memberi sokongan. Ammar di sisi mereka dari tadi hanya diam tidak mengatakan apa-apa. Wajah itu turut kelihatan sugul dan sedih.

Air matanya, dikesat.

“Maafkan aku.” Pipi yang basah dan kemerahan akibat tangisannya itu Medina kesat dengan telapak tangan. Dia terlalu mengikut kata hati. Terlalu menurut perasaan tadi.

Affan menghulurkan sapu tangannya kepada Medina. Gadis itu memandang lama sebelum   itu diambil dan berganti tangan. Dikesat lagi mata yang berair. Sapu tangan milik Affan menjadi penyelamat waktu itu.

“Aku hanya ada sedikit wang untuk bantu kau. Selebihnya aku tak ada lagi, tapi aku janji aku akan tolong kau. Hanya janji dengan aku Medina, kau kena kuat.”

Sampul kertas di tangan dihulur. Anak mata Medina tunak di sampul yang dihulurkan oleh Affan kepadanya. Dia tidak pernah meminta bantuan sebegini dari Affan. Dia bukan memberitahu masalahnya untuk meminta simpati. Dia hanya ingin berkongsi rasa dengan apa yang terbuku di dada. Dia perlukan teman berbicara untuk meluahkan.

“Aku tak nak Affan duit kau. Cukuplah selama ni kau dah banyak tolong aku. Dan aku tahu kau juga seperti aku. Struggle untuk melangsung hidup.” Medina menolak pemberian tersebut.

“Tolong Dina. Aku ikhlas. Aku tak mampu bantu banyak untuk kurangkan ujian dan masalah kau. Hanya ini yang aku terdaya. Terimalah untuk ibu kau dari aku.”

Kepala Medina geleng.  “Aku boleh usahakan sendiri Affan. Aku tak nak susahkan kau.”

“Betul kata kau, Dina. Aku juga struggle untuk melalui kehidupan aku, tapi selagi aku mampu aku akan berusaha untuk bantu dan selalu berada di sisi kau, Medina.”

“Dan kau tak pernah menyusahkan untuk aku. Kau adalah sahabat yang aku ingin selalu berada di sisi.” Tulus suara lelaki itu menusuk ke dalam hati Medina. Sepi seketika menyelubungi ruang di antara mereka. Langit biru yang memayung ruang bumi seakan meneduh duka dan pahit yang mereka lalui. Affan menoktah pandangan di mata milik Medina lama.

“Terima kasih Affan sebab selalu ada.” Lama, sebelum Medina bersuara.

“Susah dan senang aku dan kami,” sambungnya lagi.

“Selagi kau berjanji yang kau akan selalu kuat, aku berjanji dengan kau yang aku tidak akan pergi dari hidup kau. Aku akan selalu ada dengan kau.”

“Kau janji, Affan?”

“Aku berjanji pada kau, Medina.”

Kekuatan itu ada pada sahabat yang ikhlas menyayangi dan tulus bersama mengharungi susah dan senang. Ya dan itu janji seorang Affan Nadhif kepada Annur Medina. Biar Affan yang menjadi langit untuk menaungi ruang bumi seorang Medina.

Medina juga perlukan sahabat seperti Affan.

.
.

Double update tonight! Happy reading awaknyaa! ❤️

DI BAWAH LANGIT YANG SAMAWhere stories live. Discover now