BAB 13

7 0 0
                                    

AFFAN pulang sekejap ke rumah malam itu meninggalkan Luth sendirian di gerai burger mereka untuk mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal. Bunyi tapak kaki seseorang memalingkan Affan ke daun pintu rumah yang terkatup. Sudah dapat meneka gerangannya, cepat-cepat Affan keluar dari bilik tidurnya menuju ke muka pintu.

Pintu terkuak sebelum sempat Affan memegang tombol.

Ayahnya pulang dengan luka dan kesan darah merah di wajah. Terkejut Affan. Tubuh tua itu dihampiri dekat untuk memapah dan dibawa masuk ke dalam rumah mereka.

"Kenapa ni ayah?" soal Affan risau.

Kaget Affan masih belum hilang. Ayahnya hanya diam tidak bersuara. Affan lekas-lekas ke dapur mengambil tuala dan air bersih untuk membasuh luka di wajah dan bibir ayahnya itu. Ubat gamat yang berada di atas almari televisyen juga diambil dan disapu berhati-hati.

"Ayah kenapa? Siapa buat ni?" tanya Affan meninggikan sedikit suaranya. Dia bukan marah dan berkasar tapi ayahnya seperti orang bisu yang tidak dapat bercakap tika ini. Geram mula memenuhi ruang kepala. Dia seperti orang tolol bercakap sendiri.

Alih-alih Affan hanya menyapu ubat gamat itu tanpa bertanya lanjut. Malas mahu bertekak. Dia perlu kembali ke gerai burger untuk menemani Luth yang sedang keseorangan. Selesai menyapu ubat, Affan bangun dari duduk dan berdiri. Kaki digerak menuju ke muka pintu. Belum sempat pintu dibuka, suara ayahnya menampar telinganya.

"Aku perlukan duit, Affan." Akhirnya, suara Encik Muhammad berbunyi.

Affan terhenti seketika dari pegangan tombol pintu. Berpaling memandang lelaki tua yang sedang memerhatikan dirinya waktu itu. Kesakitan yang menghuni di wajah dan tubuh itu turut kelihatan. Berkerut-kerut. Berlapis-lapis dahi itu. Menyeringai.

Mungkin terlalu sakit.

Affan berundur dari muka pintu. Menghampiri ayahnya dekat. Beberapa helai wang kertas diletakkan di tepi lelaki itu.

"Nah."

Ayahnya yang dari tadi memandang, Affan perhati.

"Aku perlukan RM9000 untuk bayar hutang Kwan..."

Diam.

Affan diam kerana terkejut. Pernyataan yang baru meluncur dari bibir tua itu menghentikan segala aksi Affan. Apa yang ayahnya sedang beritahu sekarang dia sekarang ini. RM9000 untuk bayar hutang? Kwan?

Siapa Kwan?!

"RM9000? Affan mana ada duit sebanyak tu, ayah!" Ternaik oktaf suara Affan waktu itu.

"Ayah buat apa sampai RM9000? Judi? Beli dadah? Takkan beli rokok sampai sekaton?" Sinis suara Affan menyelar.

Encik Muhammad hanya diam. Tidak memberi tindak balas. Affan menggaru kepala yang tidak gatal. Rambutnya diraup keras ke belakang.

Patutlah tiba-tiba ayahnya balik ke rumah. Dengan luka, cedera dan darah di wajah dan tubuh itu. Pasti baru habis dipukul oleh lintah darat!

"Kau tak perlu tahu. Yang penting aku kena bayar duit mereka sebelum lusa, Affan! Kalau tak aku mati!"

Affan menggeleng. Ketawanya makin sinis.
"Affan tak ada duit sebanyak tu. Pandai-pandai ayahlah..."

"Affan!"

Kaki Affan bawa keluar dari pintu rumah. Tidak memandang ayahnya yang sedang memekik deras. Affan bukan anak tak kenang budi tapi perasaan Affan sakit dengan semua yang ayahnya lakukan. Sungguh dia tidak punya duit sebanyak itu. Dari dulu sehingga sekarang, kenapa ini yang mereka perlu hadapi? Ayahnyq tidak pernah serik. Tidak pernah belajar. Berhutang sana sini. Dikejar oleh mereka semua dan dipukul.

DI BAWAH LANGIT YANG SAMAWhere stories live. Discover now