BAB 10

9 0 0
                                    

WAJAH lesu itu Medina pandang tak beralih. Dari tadi mata itu tertutup rapat dan lena dalam tidurnya. Mereka kini berada di wad kecemasan hospital. Wayar-wayar berselirat memenuhi rongga. Bekalan oksigen, nebulizer dan alatan perubatan lain yang  Medina sendiri tidak tahu untuk menyebutnya.

Tenang. Raut wajah itu tenang. Tidak lagi menahan lelah. Dada itu tidak berombak-ombak seperti ketika mula-mula tadi. Tangan wanita itu Medina elus lembut. Tautan jemari mereka menyatu lama.

“Ibu.” Perlahan Medina menyebut. Genangan air jernih di kelopak mata dikesat.

“Kuatlah ibu untuk kakak dan Ammar.”
Suara Medina berbisik lagi. Sungguh dia tidak punya siapa-siapa lagi selain ibunya dan Ammar. Mereka tidak punya ahli keluarga dan saudara mara lain di sini. Mereka perlu kuat untuk satu sama lain. Seorang doktor datang menghampiri dia yang sedang merenung wajah ibunya di sisi katil. Wajah doktor lelaki separuh abad itu jatuh kepadanya.

“Cik Medina?” soal doktor tersebut.

“Ya, saya doktor.”

“Boleh kita bercakap sebentar?”

Medina mengangguk.

Dengan tenang dan wibawanya, doktor itu hanya memandang Medina sebelum bersuara.

“Ibu Medina sudah semakin baik. Semalam keadaan sesak nafas ibu Medina agak teruk. Medina juga cakap  ibu Medina sempat muntah dan nampak betul-betul penat dan pucat ya?”

Medina angguk lemah.

Hening.

“Sakit ibu saya serius ke?”

“Setakat ini tekanan darahnya tinggi, pihak kami akan pantau keadaan ibu Medina dulu, turunkan tekanan darah tingginya. Dan pemeriksaan lanjut akan dilakukan untuk tahu tentang penyakit lain yang mungkin dihidapi.” Suara doktor memberitahu. Sekali lagi kepalanya diangguk.

“Terima kasih doktor,” ucap Medina perlahan.

“Sama-sama. Harap Medina banyak berdoa dan bersabar. Insya-Allah kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk ibu Medina.”

Wajah tenang itu Medina pandang sambil kepala dianggukkan. Seperti memberi semangat kepadanya.

“Terima kasih sekali lagi, doktor.”

Doktor tersebut mengangguk sebelum berlalu.
Katil yang menempatkan Puan Shalma dituju. Wajah pucat dan sembap itu sedang tidur dengan berselimutan kedinginan di wad kecemasan hospital. Wajah ibunya, Medina pandang lama dan menusuk bebola mata hitamnya ke sekujur tubuh itu tidak beralih.

Untuk selepas beberapa tahun itu, hati Medina mula terasa payau dan remuk. Wajah yang dilitupi hidung dengan nebulizer itu kelihatan tenang dalam tidurnya.

Telefon miliknya berdering. Diangkat perlahan nada pemanggil dan suaranya yang masih bergetar menjawab salam dari Affan yang berada di talian. Sambil tangan Medina tidak melepaskan jemari yang memaut kemas jemari ibunya.

“Macam mana dengan Achik?” Suara mengambil berat itu bertanya dari kejauhan.

Medina menelan liur yang kesat. Mencuba menahan rahang yang bergetar serta air mata yang mula memberat takungannya.

“Ibu tengah tidur. Doktor cakap dia sesak nafas mungkin disebabkan penat dan sebab tekanan darah tinggi dia. Selebihnya doktor tunggu keputusan lagi,” beritahu Medina sebak.

Kedua-duanya terhenyak dalam kebisuan. Segala yang diberitahu doktor Medina khabarkan kepada Affan yang mendengar dari corong telefon. Sehinggalah selesai.

“Kau okey?” Suara Affan memecah diamnya Medina. Dia kembali kepada detik itu. Ingatan dan fikiran yang diam tadi mula diterjah pertanyaan dari Affan di corong telefon sana.

DI BAWAH LANGIT YANG SAMAWhere stories live. Discover now